Kuliah Subuh 10 Ogos 2025, Ustaz Hairulazam Abd Rahman

Tarikh Penceramah Tajuk
10/08/2025 Ustaz Hairulazam Abd Rahman

Nota Kuliah
Terjemahan Surah al-Kahfi Ayat 9-12
Ayat 9 "Adakah engkau menyangka bahawa kisah Ashabul Kahfi dan al-Raqim itu satu perkara yang menakjubkan di antara tanda-tanda (kekuasaan) Kami?"
Ayat 10 "(Ingatlah) ketika beberapa orang pemuda berlindung ke dalam gua, lalu mereka berkata: Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kepada kami rahmat daripada sisi-Mu, dan sediakanlah bagi kami petunjuk serta pimpinan dalam urusan kami ini."
Ayat 11 "Maka Kami tidurkan mereka di dalam gua itu bertahun-tahun lamanya."
Ayat 12 "Kemudian Kami bangkitkan mereka (daripada tidur itu), untuk Kami mengetahui kumpulan manakah di antara dua golongan itu yang lebih tepat kiraannya tentang berapa lama mereka tinggal (di situ)."

Surah al-Kahfi ayat 9 hingga 12

Allah SWT menceritakan tentang kisah Ashabul Kahfi. Peristiwa ini bermula apabila golongan Kristian pada ketika itu datang bertanya kepada Nabi Muhammad SAW mengenai Ashabul Kahfi dan Iskandar Zulkarnain. Pertanyaan tersebut bertujuan untuk menguji kenabian Baginda. Lalu, Allah menurunkan wahyu yang mengisahkan peristiwa bersejarah ini, sebagai jawapan kepada mereka.

Ashabul Kahfi adalah sekumpulan pemuda beriman yang berhadapan dengan ancaman terhadap akidah mereka. Bagi menyelamatkan iman, mereka melarikan diri lalu berlindung di dalam sebuah gua. Para ulama berbeza pendapat tentang lokasi sebenar gua tersebut. Ada yang mengatakan ia terletak di Jordan, ada yang berpendapat di Turki, dan ada pula yang menyatakan di Syria. Namun, pandangan yang lebih kuat mengaitkannya dengan kawasan Amman, Jordan, di mana terdapat sebuah kampung bernama Rokim yang dipercayai berkaitan dengan kisah ini.

Kehebatan kisah Ashabul Kahfi terletak pada keteguhan iman para pemuda tersebut. Mereka berdoa kepada Allah agar diberi rahmat dan petunjuk, lalu Allah menidurkan mereka dalam tempoh yang sangat panjang. Al-Quran menggambarkan keadaan ini dengan frasa “Allah menutup telinga mereka”, yakni mereka berada dalam tidur yang mendalam. Setelah sekian lama, Allah membangkitkan mereka semula untuk menjadi tanda kekuasaan-Nya, dan bagi menguji kumpulan manusia yang dapat mengira tempoh mereka berada dalam gua dengan tepat.

Sebahagian ulama tafsir menyatakan bahawa pada zaman itu wujud dua golongan yang mengetahui kisah Ashabul Kahfi. Satu golongan beriman dan mengambil pengajaran daripadanya, manakala satu lagi sekadar mengetahui cerita tersebut tetapi tidak beriman. Bagi orang beriman, nilai utama kisah ini adalah pengajaran tentang mempertahankan akidah walau dalam keadaan genting.

Perbezaan pandangan para ulama dan mazhab dalam memahami butiran kisah ini adalah sesuatu yang lumrah. Namun, perbezaan tersebut tidak seharusnya membawa kepada perbalahan, sebaliknya perlu diraikan sebagai khazanah ilmu yang memperkayakan kefahaman terhadap kisah yang penuh hikmah ini.

Pengajaran Surah Al-Kahfi Ayat 9-12

Kisah Ashabul Kahfi

No. Pengajaran Penting
1 Kisah Ashabul Kahfi diturunkan sebagai jawapan kepada ujian yang diberikan kepada Nabi Muhammad SAW oleh golongan Kristian yang bertanyakan beberapa soalan mengenai Ashabul Kahfi dan Iskandar Zulkarnain
2 Terdapat beberapa lokasi yang didakwa sebagai tempat letaknya gua Al-Kahfi iaitu di Amman Jordan, Turki dan Syria. Namun paling dipercayai ialah letaknya di Jordan
3 Contoh keteguhan iman para pemuda Ashabul Kahfi yang rela meninggalkan segala kemewahan demi mempertahankan akidah
4 Pengajaran tentang pentingnya hijrah (berpindah) dari tempat yang mengancam akidah seseorang
5 Bukti kekuasaan Allah yang mampu menidurkan manusia dalam tempoh yang sangat panjang (309 tahun)
6 Perbezaan pendapat ulama mengajar kita untuk toleransi dalam khilafiah selama tidak bertentangan dengan prinsip asas
7 Kisah ini menunjukkan bahawa Allah akan memelihara orang-orang yang beriman dan bertawakal kepada-Nya
8 Pemuda-pemuda Al-Kahfi dipuji kerana dalam usia muda mereka yang mempunyai kekuatan, fizikal, batin, mental dan sebagainya tetapi lebih mengharapkan rahmat Allah dari mengikut nafsu dunia
9 Kisah ini menjadi peringatan bahawa Allah menguji manusia dengan berbagai cara untuk melihat siapa yang benar-benar beriman
10 Pentingnya mengambil iktibar dari kisah-kisah dalam Al-Quran sebagai pedoman hidup
Gambar-Gambar
Nota
Gambar

0 Ulasan

Catat Ulasan

Post a Comment (0)

Terbaru Lebih lama