Kuliah Maghrib 10 Ogos 2025, Dr. Haji Abdullah Ismail

Tarikh Penceramah Tajuk
10/08/2025 Dr. Haji Abdullah Ismail

Nota Kuliah

Pesanan Penyuluh Hidup


Dalam menjalani kehidupan, terdapat pesanan berharga yang boleh dijadikan panduan agar hati sentiasa terpandu, jiwa terarah, dan langkah berada di jalan yang benar. Pertama, rahsiakanlah segala kesilapan atau perbuatan yang pernah kita lakukan. Dosa itu hakikatnya sesuatu yang meresahkan hati. Kadangkala, tutur kata yang kasar atau tindakan yang tergesa-gesa akan meninggalkan rasa bersalah yang mendalam. Oleh itu, simpanlah rahsia itu hanya untuk dirimu dan Allah SWT, jangan diluahkan di media sosial atau kepada orang yang tidak sepatutnya.

Kedua, peliharalah kehidupan ini dengan menjaga dua keredaan yang paling agung — keredaan ibu dan keredaan bapa. Betapa hebatnya jika seseorang mampu meraih kedua-duanya, kerana keredaan mereka membawa kepada keredaan Allah. Apabila berdepan kesusahan, mohonlah pertolongan hanya kepada Allah melalui dua jalan utama: kesabaran dan solat. Segala ujian yang datang menuntut kita untuk bersabar, dan setiap masalah wajar diserahkan kembali kepada Allah melalui solat yang khusyuk.

Ketiga, janganlah terlalu bimbang terhadap dua perkara: rezeki dan ajal. Rezeki itu telah dijamin oleh Allah, sebagaimana para sahabat Rasulullah SAW yang dijanjikan syurga, tujuh daripada mereka merupakan hartawan yang dermawan. Abdul Rahman bin ‘Auf RA, misalnya, pernah terlewat hanya sekali untuk takbiratul ihram, lalu menginfaqkan seluruh hartanya di jalan Allah. Begitu juga dengan ajal, ia pasti datang, namun yang perlu kita risaukan ialah persediaan menghadapinya.

Keempat, ada dua perkara yang tidak boleh dilupakan sepanjang hayat, iaitu Allah SWT dan Hari Akhirat. Sebelum menulis atau mengulas sesuatu, ingatlah kepada Allah. Sentiasa sedar bahawa hidup ini hanyalah persinggahan, dan kehidupan sebenar menanti di akhirat. Nabi Muhammad SAW hanya hidup di dunia selama 63 tahun, namun Baginda bahagia di sisi Allah kerana seluruh kehidupannya diisi dengan ketaatan. Satu hari di akhirat bersamaan seribu tahun di dunia, dan bagi orang beriman, waktu di Padang Mahsyar hanya seketika, antara Zuhur dan Asar, sebagaimana disebut dalam hadis sahih.

Kelima, ada dua perkara yang tidak perlu diingati selama-lamanya: kebaikan yang kita lakukan kepada orang lain, dan kesalahan orang lain terhadap kita. Lupakan kedua-duanya.

Keenam, sentiasalah mendekatkan diri dengan empat insan utama dalam hidup: ibu, bapa, saudara lelaki, dan saudara perempuan. Sebelum hadirnya isteri dan anak-anak, merekalah yang dahulu ada bersama kita.

Akhir sekali, jangan pernah menahan sifat dermawan terhadap empat kelompok ini: isteri yang banyak berkorban, anak-anak yang menjadi amanah, keluarga yang menjadi darah daging, dan sahabat-sahabat yang setia. Berbuat baik dan berbelanjalah kepada mereka dengan ikhlas.

RINGKASAN
5 Perkara Penting Sebagai Panduan Hidup
1. Simpan rahsia dan masalah kepada dua pihak sahaja: Jangan luahkan masalah diri di media sosial atau kepada orang ramai. Simpan kepada diri sendiri dan Allah SWT. Allah Maha Mendengar dan Maha Mengetahui, serta mampu mengubah segalanya melalui doa.
2. Jaga reda ibu bapa: Kejayaan seorang anak sangat berkait dengan keredaan ibu dan bapa. Doa dan restu mereka menjadi kunci keberkatan hidup anak-anak. Ajarkan anak sejak kecil untuk menjaga hati orang tuanya.
3. Mohon bantuan Allah dengan sabar dan solat: Setiap ujian perlu dihadapi dengan sabar dan solat. Dua tindakan ini adalah amalan yang diperintahkan oleh Allah dan menjadi kunci kelapangan rezeki dan penyelesaian masalah.
4. Jangan risaukan rezeki dan ajal: Rezeki tidak akan tersalah alamat, dan ajal pasti datang pada waktunya. Yang penting ialah usaha dan persediaan rohani yang berterusan sebagai bekal akhirat.
5. Jangan lupa Allah dan hari akhirat: Kehidupan dunia hanyalah sementara. Sentiasa ingat Allah dan bersiap untuk akhirat kerana kehidupan selepas mati jauh lebih panjang. Gunakan kehidupan dunia sebagai bekalan untuk hari pembalasan.
6. Kedermawaan: Jangan tahan kedermawaanmu kepada mereka; isteri, anak-anak, keluarga dan sahabat.
Gambar-Gambar
Nota
Gambar

0 Ulasan

Catat Ulasan

Post a Comment (0)

Terbaru Lebih lama