INFO
Sedang memuatkan jadual terkini...
```

Waktu Solat Temerloh Jaya

1 Ramadan

--- hari lagi

1 Syawal

--- hari lagi

10 Zulhijjah

--- hari lagi

Maulid Nabi

--- hari lagi

Kuliah Subuh 15 Disember 2024, Ustaz Hairulazam Abd Rahman

Tarikh Penceramah Tajuk
15/12/2024 Ustaz Hairulazam Abd Rahman

Nota Kuliah

“Wahai manusia! Satu perumpamaan telah diberikan, maka dengarlah dengan baik: Sesungguhnya segala apa yang kamu seru selain Allah tidak akan dapat menciptakan seekor lalat sekalipun, walaupun mereka bersatu melakukannya. Dan jika lalat itu mengambil sesuatu daripada mereka, mereka tidak akan dapat mengambilnya kembali. Lemahnya mereka yang meminta dan yang diminta. (74) Mereka tidak menghormati Allah dengan sebenar-benar penghormatan. Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Maha Perkasa.” — Al-Hajj 22:73-74.


Ayat ini adalah kesinambungan daripada perbincangan sebelumnya, di mana Allah SWT mengkritik perbuatan syirik yang dilakukan oleh kaum Quraisy pada waktu itu. Kritikan ini disampaikan dengan hujah logik yang dapat diterima akal. Walaupun Islam berlandaskan wahyu yang mesti ditaati, ajaran ini turut memberikan ruang kepada akal untuk memahami kebenaran.


Islam tidak sekadar bersandarkan akal manusia semata-mata, tetapi ia menunjukkan kebenaran melalui logik dan dalil yang jelas. Allah SWT mengajak golongan musyrik pada zaman tersebut untuk berfikir. Apabila Allah berfirman dengan seruan "Ya ayyuhan-nas" (wahai manusia), ia adalah salah satu cara Al-Quran menarik perhatian manusia melalui gaya bahasa yang unik.


Al-Quran sering menggunakan dua bentuk seruan: "Ya ayyuhallazina amanu" (wahai orang-orang yang beriman) dan "Ya ayyuhan-nas" (wahai manusia). Seruan "Ya ayyuhallazina amanu" ditujukan kepada orang-orang beriman, yang telah menerima Islam sebagai pegangan hidup. Apabila Allah menggunakan seruan "Ya ayyuhan-nas", ia membawa mesej yang ditujukan kepada seluruh umat manusia, tidak kira mereka Islam ataupun kafir, untuk mengajak mereka berfikir tentang ajaran Allah SWT.


Sebagai contoh, Allah berfirman, "Wahai manusia, telah dibuat perumpamaan bagi kamu, maka dengarlah." Dalam bahasa Arab, perkataan untuk "dengar" boleh disebut dalam pelbagai bentuk seperti "Isma'", "Istami'", dan "Fastami'u". Ketiga-tiganya bermaksud mendengar, tetapi dengan tahap yang berbeza. Contohnya, "Fastami'u" membawa maksud mendengar dengan penuh perhatian dan teliti terhadap apa yang disampaikan oleh Allah SWT.


Allah SWT menjelaskan bahawa apa sahaja yang disembah selain daripada-Nya adalah tidak benar. Dalam kalangan musyrikin, mereka menyembah selain Allah, melibatkan amalan seperti sujud kepada berhala atau makhluk tertentu, serta berdoa kepada selain Allah, sama ada kepada berhala, roh, atau wali tertentu. Doa merupakan sebahagian daripada ibadah kepada Allah SWT. Namun, terdapat perbahasan di kalangan ulama berkenaan doa yang disandarkan kepada selain Allah, seperti memohon kepada wali-wali. Secara asasnya, doa hanya layak ditujukan kepada Allah SWT.


Apabila seseorang memohon kepada selain Allah, walaupun secara tidak langsung, ia boleh menjadi penyimpangan akidah. Sebagai umat Islam, kita diajar bahawa doa adalah ibadah utama kepada Allah SWT. Kita memohon langsung kepada-Nya, dengan penuh yakin bahawa hanya Allah yang berkuasa mengabulkan permintaan kita.


Dalam masyarakat tertentu, seperti di Pakistan atau India, masih terdapat tradisi tertentu yang bercampur aduk antara adat dan kepercayaan. Contohnya, jika seseorang itu Syiah, mereka menggunakan Saidina Ali, Saidina Hassan dan Saidina Hussin sebagai perantaraan dengan menyeru nama mereka dengan perkataan Madad. Mereka menyebut istilah madad untuk menggambarkan doa atau permohonan mereka. Mereka meminta pertolongan melalui perantaraan itu.


Dalam Islam, doa merupakan ibadah yang hanya boleh ditujukan kepada Allah S.W.T. Berdoa atau meminta pertolongan kepada selain Allah dianggap sebagai syirik kerana ia meletakkan sesuatu sebagai sekutu Allah. Orang-orang kafir mengakui bahawa Allah adalah tuhan, tetapi mereka menggunakan berhala sebagai perantara. Firman Allah menjelaskan bahawa berhala atau perantaraan lain yang disembah tidak memiliki kuasa, bahkan tidak mampu mencipta sesuatu sekecil lalat sekalipun (Al-Hajj 22:73).


"Mereka tidak menghormati Allah dengan sebenar-benar penghormatan. Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Maha Perkasa." — Al-Hajj 22:74


Berbeza dengan orang beriman yang mengakui, patuh dan taat kepada Allah SWT. Dan ada kesan baik terhadap ketaatan. Apa sahaja ibadah yang dilakukan, sebagaimana hadis; Sesungguhnya Allah itu lemah lembut dan Dia menyukai kelembutan dalam segala hal.— HR. Muslim no.2594


Walaupun Allah menyatakan juga Dia Maha Perkasa, namun Allah memberi peluang kepada hamba-hambanya yang mahu bertaubat. Allah memberi kebaikan hanya kepada sifat lemah lembut, dan tidak untuk orang yang bersifat kasar dan keras.


Manusia hanya mampu diketuk hatinya dengan sifat lemah lembut. Ketegasan dituntut, tetapi gunakan perkataan yang baik untuk menyampaikan sesuatu. Perkataan yang buruk tidak membawa kebaikan. Contohnya Nabi SAW yang sangat bersabar walaupun diperlakukan dengan tidak baik, tetapi Nabi tetap berdakwah dengan lemah lembut.


Salah satu kejayaan dakwah Nabi kerana dihiasi dengan sifat lemah lembut, sebagaimana sebuah kisah diriwayatkan oleh Imam Muslim (427); suatu ketika, seorang Arab Badwi masuk ke masjid Nabi Muhammad SAW dan secara tidak sengaja kencing di sudut masjid. Para sahabat marah dan ingin menghalangnya, tetapi Rasulullah SAW melarang mereka bertindak kasar. Baginda menyarankan untuk membiarkan lelaki itu selesai terlebih dahulu. Setelah itu, Rasulullah memanggilnya dengan lembut dan berkata bahawa masjid adalah tempat untuk berzikir dan solat, bukan tempat untuk kencing. Baginda kemudian meminta sahabat membersihkan air kencing itu dan menasihatinya dengan penuh hikmah. Kisah ini mengajarkan kita bahawa dalam mendidik, kelembutan dan kesabaran lebih utama daripada kekasaran.

Gambar-Gambar
Nota
Gambar

0 Ulasan

Catat Ulasan

Post a Comment (0)

Terbaru Lebih lama