Mesyuarat Agung ke-7 Masjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah



18 Februari 2025 — Mesyuarat Agung Masjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, Taman Temerloh Jaya (MTTJ) telah diadakan di dewan solat utama MTTJ selepas solat Isyak pada malam ini dengan kehadiran Timbalan Pengerusi, Setiausaha, barisan Ahli Jawatankuasa, pegawai-pegawai masjid dan ahli khariah MTTJ.


Majlis diacarakan oleh En. Safri Harun sebelum mesyuarat sepakat melantik Imam I MTTJ, Ustaz Haji Mohd Asri Awang, sebagai Pengerusi Majlis. 


Mesyuarat dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Timbalan Pengerusi MTTJ, Dato' Haji Zainal Abidin Md Amin, yang mewakili Pengerusi, Dr. Haji Abdullah Ismail, yang masih dalam tempoh bercuti. Dalam ucapan alu-aluannya, Dato' Zainal mengharapkan agar kehadiran jemaah akan kembali melimpah seperti dahulu. Beliau turut menyatakan bahawa tujuan mesyuarat agung ini bukanlah untuk mencari kesalahan, tetapi untuk bersama-sama membina gerak kerja agar jawatankuasa dapat merancang program dengan lebih baik. Platform mesyuarat ini juga memberi ruang kepada jemaah untuk menyuarakan pandangan dalam usaha memajukan masjid. Segala cadangan yang dikemukakan akan cuba dilaksanakan, dan pihak pengurusan bersikap terbuka terhadap sebarang pandangan. Diharapkan mesyuarat berjalan dengan lancar dan tertib.


Pada jam 8.36 malam, mesyuarat dihentikan seketika bagi memberi laluan kepada azan dan solat Isyak berjemaah.


Mesyuarat disambung semula selepas solat Isyak dengan pembentangan laporan kewangan oleh Tuan Haji Hassan Samadi, Bendahari MTTJ. Dalam ucapan alu-aluannya sebelum membentangkan laporan kewangan, beliau mengambil kesempatan untuk menjelaskan isu pembinaan fasiliti MTTJ, termasuk penambahbaikan kelas KAFA dan dewan seminar MTTJ. Turut diberi penjelasan adalah berkenaan dana wakaf dan perancangan-perancangan yang sedang dan akan dijalankan oleh pihak pengurusan masjid.


Usai pembentangan dan pengesahan kewangan bagi tahun 2023/2024, sesi pertanyaan dan cadangan dibuka kepada para jemaah untuk bertanyakan soalan serta mengemukakan cadangan. Segala cadangan yang dikemukakan telah diminitkan untuk perhatian dan tindakan pihak pengurusan.


Mesyuarat berakhir pada jam 10.20 malam.


0 Ulasan

Catat Ulasan

Post a Comment (0)

Terbaru Lebih lama