Waktu Solat Temerloh Jaya

1 Ramadan

--- hari lagi

1 Syawal

--- hari lagi

1 Muharam

--- hari lagi

Maulid Nabi

--- hari lagi

Setiausaha MTTJ Bentang Pengalaman Pengurusan Dalam Program Anjuran INFRA


23 Jun 2026
— 
Masjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah (MTTJ) terus mengorak langkah memperkukuhkan tadbir urus institusi masjid melalui penyertaan dalam Kursus Pengurusan Institusi Komuniti Luar Bandar (Fokus Masjid) Siri 2/2026 yang berlangsung pada 23 hingga 25 Jun 2026 di Dewan Gemilang, Institut Kemajuan Desa (INFRA), Bangi, Selangor.


MTTJ telah diwakili oleh Setiausaha Masjid, Tuan Haji Zulkanain Haji Hashim, yang menyertai kursus bersama 75 peserta dari seluruh negara. Program bertemakan "Masjid Pintar, Pengurusan Lestari" itu dianjurkan bagi memperkasakan pengetahuan, kemahiran dan kecekapan jawatankuasa masjid dalam melaksanakan pengurusan yang lebih sistematik, profesional serta berasaskan teknologi digital.


Sepanjang kursus tersebut, Tuan Haji Zulkanain turut diberi peluang membentangkan gerak kerja Unit Teknologi Maklumat (IT) MTTJ yang menjadi antara contoh amalan pengurusan digital di masjid. Pembentangan itu mengetengahkan peranan empat unit utama di bawah Unit IT MTTJ, iaitu Unit Data, Unit Media Sosial, Unit Grafik serta Unit Portal dan Blog yang saling melengkapi dalam menyokong pentadbiran dan penyampaian maklumat kepada masyarakat.


Melalui Unit IT, MTTJ menguruskan pangkalan data dan profil ahli kariah secara lebih tersusun, selain melaksanakan hebahan program, promosi aktiviti, penerbitan kandungan digital serta pengarkiban bahan dan dokumentasi masjid. Pendekatan ini membolehkan maklumat disampaikan dengan lebih pantas, tersusun dan mudah diakses oleh masyarakat, di samping memperkukuhkan rekod pengurusan serta dokumentasi aktiviti masjid.


Sepanjang tiga hari kursus, para peserta turut mengikuti pelbagai sesi perkongsian yang merangkumi etika dan profesionalisme jawatankuasa masjid, Standard Penarafan Masjid Malaysia, integriti dan tatakelola kewangan, pengimarahan masjid melalui inovasi digital serta potensi masjid sebagai tarikan pelancongan di Malaysia.


Kursus anjuran Institut Kemajuan Desa (INFRA) itu dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri Johor, Jabatan Agama Islam Negeri Pahang dan Pejabat Agama Islam Daerah Sepang. Penyertaan MTTJ dalam program ini membuktikan komitmen berterusan pihak masjid untuk memperkasakan tadbir urus berasaskan teknologi, sekali gus meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kepada ahli kariah.

0 Ulasan

Catat Ulasan

Post a Comment (0)

Terbaru Lebih lama