Kuliah Maghrib 25 Julai 2025, Ustaz Zarimi Abu Zih

Tarikh Penceramah Tajuk
26/07/2025 Ustaz Zarimi Abu Zih

Nota Kuliah

Katakanlah: "Tulang-tulang yang hancur itu akan dihidupkan oleh Tuhan yang telah menciptakannya pada awal mula wujudnya; dan Ia Maha Mengetahui akan segala keadaan makhluk-makhluk (yang diciptakanNya);

 

"Tuhan yang telah menjadikan api (boleh didapati) dari pohon-pohon yang hijau basah untuk kegunaan kamu, maka kamu pun selalu menyalakan api dari pohon-pohon itu".

 

Tidakkah diakui dan tidakkah dipercayai bahawa Tuhan yang telah menciptakan langit dan bumi (yang demikian besarnya) - berkuasa menciptakan semula manusia sebagaimana Ia menciptakan mereka dahulu? Ya! Diakui dan dipercayai berkuasa! Dan Dia lah Pencipta yang tidak ada bandinganNya, lagi Yang Maha Mengetahui.

 

Sesungguhnya keadaan kekuasaanNya apabila Ia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah Ia berfirman kepada (hakikat) benda itu: " Jadilah engkau! ". Maka ia terus menjadi.

 

Oleh itu akuilah kesucian Allah (dengan mengucap: Subhaanallah!) - Tuhan yang memiliki dan menguasai tiap-tiap sesuatu, dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan.

Surah Yasin 36:80—83


Sebelum ini kita telah membaca ayat-ayat sebelumnya yang menceritakan tentang kedatangan orang-orang kafir Quraisy yang bertemu Rasulullah SAW dengan membawa dulang reput. Mereka menghancurkan dulang tersebut lalu meniupnya di hadapan Baginda, menyebabkan debunya beterbangan. Kemudian mereka bertanya kepada Rasulullah, “Adakah Tuhanmu mampu menghidupkan makhluk yang telah hancur menjadi debu ini?


Pertanyaan seperti ini bukan sekadar ingin mengetahui, tetapi juga bertujuan menghina, meremehkan dan mencabar kenabian Rasulullah SAW. Mereka mahu memperlekeh Nabi dengan anggapan bahawa Tuhan Baginda tidak mampu berbuat apa-apa. Lalu Nabi menjawab, “Benar, Allah yang akan menghidupkan semula dulang itu. Allah yang mematikan kamu, dan Allah juga yang akan menghidupkan kamu, kemudian Allah akan memasukkan kamu ke dalam neraka Jahanam.” Jawapan ini ditujukan kepada mereka yang kurang ajar.


Bila Nabi bercakap pun mereka enggan menerima, kerana terlalu keras kepala. Mereka ini menjadi pemuka-pemuka penentang kebenaran. Sepertimana disebut dalam al-Quran, mereka enggan menerima kebenaran dengan sombong. Bila Nabi bercakap, mereka jawab, “Siapa kau, Muhammad? Kau bukan keturunan bangsawan.” Padahal Nabi berasal daripada keluarga terhormat dan menikahi Khadijah, seorang wanita mulia dan peniaga antarabangsa.


Namun kerana keangkuhan mereka, mereka menolak kebenaran dan memperlekehkan kenabian. Firman Allah menyebut: “Sama ada kamu beri peringatan ataupun tidak, mereka tetap tidak akan beriman.”(Surah Al‑Baqarah 2:6). Ini adalah ciri-ciri pemuka Quraisy. Seorang pemimpin seharusnya tunduk kepada kebenaran. Peristiwa ini menjadi sebab turunnya ayat berikutnya. Allah memerintahkan Nabi Muhammad SAW menyampaikan kepada mereka bahawa Allah yang akan menghidupkan sesuatu yang telah hancur, sebagaimana Dia telah menciptakannya dari tiada. Allah cukup berkuasa untuk menghidupkan semula makhluk itu.


Dalam ayat ke-80, Allah memberikan satu perumpamaan. Allah menyebut tentang pokok yang hijau boleh mengeluarkan api. Ini berlawanan dengan logik akal manusia. Biasanya, kita membakar sesuatu setelah ia kering. Tapi Allah tunjukkan, walaupun hijau dan lembab, pokok itu boleh mengeluarkan api. Menurut al-Qurtubi, ini adalah jawapan kepada kemusykilan orang-orang kafir.


Para ulama menyebut dua jenis pokok di bumi Arab yang disebut dalam ayat ini, iaitu Syajar al-Maraq dan Syajar al-‘Afad. Walaupun masih hijau, kayu daripada pokok ini boleh mengeluarkan api jika digesekkan. Ibnu Abbas menyatakan, “Dalam setiap pokok ada api yang boleh dikeluarkan daripadanya, kecuali pokok akmal.” Ini membuktikan bahawa dalam pohon yang basah mengalir air, tetap boleh keluar api. Perkara ini menunjukkan kekuasaan Allah untuk menghidupkan kembali tulang yang hancur. Allah boleh menciptakan dari sesuatu yang mustahil menurut akal manusia. Maka tidak mustahil bagi-Nya menghidupkan kembali manusia.


Ayat ke-81 menyebut: “Tidakkah diakui dan dipercayai bahawa Tuhan yang menciptakan langit dan bumi itu berkuasa menciptakan semula manusia?” Bumi dan langit yang begitu besar, dicipta Allah dari tiada. Maka menghidupkan semula manusia dari tulang belulang adalah perkara kecil bagi Allah.


Langit yang kita lihat adalah langit dunia, penuh dengan bintang, galaksi dan satelit. Betapa luasnya alam ciptaan Allah. Matahari sahaja beberapa kali lebih besar daripada bumi. Maka terlalu kecil bagi Allah untuk menghidupkan semula manusia yang telah hancur.


Kita mesti sedar bahawa segala yang kita miliki – rumah, kereta, makanan – semuanya dengan izin Allah. Kita tak mampu melakukan apa-apa tanpa pertolongan Allah. Langit, bumi, bintang, planet, semua itu bukti kekuasaan-Nya.


Ayat seterusnya, ayat 82: “Sesungguhnya keadaan kekuasaan Allah, apabila Dia menghendaki sesuatu, hanyalah berkata: ‘Jadilah’, maka jadilah ia.” Inilah keimanan. Bagi Allah, tiada apa yang mustahil. Orang Palestin di Gaza juga dibesarkan dengan didikan al-Quran. Mereka membuat roket sendiri dengan bahan sedia ada kerana tidak mampu mengimport senjata. Tapi mereka tetap bertahan kerana keyakinan mereka kepada janji Allah. Ada orang Mesir melempar botol berisi tepung dan beras ke Laut Merah dengan harapan ia sampai ke Gaza. Itulah bentuk doa dan ikhtiar. Bila Allah mahu menolong, pasti Dia akan tolong. Tapi Allah mahu melihat sejauh mana umat Islam bersatu membantu.


Kita melihat negara-negara Eropah telah bertindak, namun negara-negara Islam masih berdiam. Maka, yakinlah bahawa kemenangan akan datang, cuma belum tiba masanya.


Dalam sebuah hadis Qudsi yang panjang, Allah berfirman:


“Wahai hamba‑hamba-Ku, kalian semua tersesat kecuali yang Aku beri petunjuk; maka mintalah petunjuk kepada-Ku, niscaya Aku akan memberi petunjuk.

 

Wahai hamba‑hamba-Ku, kalian semuanya kelaparan kecuali yang Aku beri makan; maka mintalah makanan kepada-Ku, niscaya Aku akan memberi rezeki.

 

Wahai hamba‑hamba-Ku, kalian semuanya telanjang kecuali yang Aku beri pakaian; maka mintalah pakaian kepada-Ku, Aku akan membekali kalian.

 

Wahai hamba‑hamba-Ku, kalian melakukan kesalahan di siang dan malam; sedangkan Aku mengampuni semua dosa, maka mintalah ampun, niscaya Aku akan mengampuni kalian.”— HR.Muslim no.6737


Hadis ini menerangkan bahawa semua manusia bergantung kepada Allah. Jika seluruh manusia berkumpul memohon kepada-Nya, dan Allah memberikan semuanya apa yang diminta, ia tidak mengurangkan sedikit pun kekuasaan dan kekayaan Allah. Seperti jarum dicelup ke laut, air yang melekat di jarum itu langsung tidak memberi kesan pada keluasan lautan. Begitulah perumpamaan pemberian Allah.


Allah Maha Pemurah dan Maha Mulia. Dia hanya berkata "jadilah", maka jadilah sesuatu. Kita perlu kembali kepada-Nya, bertaubat, dan memperbanyakkan istighfar.


Akhirnya, kita sampai ke penghujung Surah Yasin. Ayat ke-83:


Maka Maha Suci Tuhan yang di tangan-Nya segala kekuasaan dan kepada-Nya kamu semua akan dikembalikan.”


Kita puji Allah dengan segala kesempurnaan-Nya. Dia tiada sebarang kekurangan. Marilah kita kembali kepada-Nya, membetulkan segala kesilapan, dan sentiasa beristighfar, penuh harapan kepada Allah, di dunia dan akhirat.


Mudah-mudahan Allah memberikan keberkatan kepada kita atas segala ayat yang telah dibacakan dan ditafsirkan dari Surah Yasin, dari awal hingga akhir.


RUMUSAN

Kisah ini bermula apabila orang kafir Quraisy datang menemui Rasulullah SAW dengan membawa seketul tulang reput. Mereka menghancurkannya dan meniup debunya, lalu bertanya dengan nada menghina, “Adakah Tuhanmu mampu menghidupkan makhluk yang telah menjadi debu ini?” Rasulullah menjawab, “Benar, Allah yang akan menghidupkan semula dulang itu. Allah yang mematikan kamu, dan Allah juga yang akan menghidupkan kamu, kemudian Allah akan memasukkan kamu ke dalam neraka Jahanam.” Jawapan ini ditujukan kepada mereka yang sombong dan menolak kebenaran.

Mereka tetap enggan beriman walaupun telah diberi peringatan. Allah berfirman dalam Surah Al-Baqarah ayat 6: “Sama ada kamu beri peringatan ataupun tidak, mereka tetap tidak akan beriman.” Allah memerintahkan Rasulullah agar menyampaikan bahawa Dia mampu menghidupkan kembali makhluk yang telah hancur, sebagaimana Dia menciptakannya dari tiada.

Dalam ayat 80, Allah memberi perumpamaan tentang pokok hijau yang boleh mengeluarkan api, walaupun kebiasaannya api berasal dari benda kering. Ulama menyebut pokok Syajar al-Maraq dan Syajar al-‘Afad yang boleh mengeluarkan api apabila digesek. Ini membuktikan kekuasaan Allah mencipta daripada sesuatu yang dianggap mustahil oleh manusia.

Ayat 81 menyebut bahawa Tuhan yang menciptakan langit dan bumi mampu menghidupkan semula manusia. Langit dan bumi yang besar dicipta Allah daripada tiada, maka menghidupkan kembali manusia adalah lebih mudah bagi-Nya.

Ayat 82 menegaskan bahawa apabila Allah menghendaki sesuatu, Dia hanya berkata “Jadilah”, maka jadilah ia. Ini menunjukkan tiada yang mustahil bagi-Nya.

Akhir surah ditutup dengan ayat 83: “Maka Maha Suci Tuhan yang di tangan-Nya segala kekuasaan dan kepada-Nya kamu semua akan dikembalikan.”

Hadis Qudsi riwayat Muslim no. 6737 menyebut bahawa semua manusia tersesat, lapar, telanjang dan berdosa kecuali yang diberi petunjuk, rezeki, pakaian dan keampunan oleh Allah. Maka hendaklah mereka meminta daripada-Nya, nescaya Allah akan memberikannya.

Gambar-Gambar
Nota
Gambar

0 Ulasan

Catat Ulasan

Post a Comment (0)

Terbaru Lebih lama