| Tarikh | Penceramah | Tajuk |
|---|---|---|
| 24/07/2025 | Ustaz Arselan Hakim Mohd Salleh | — |
Rumusan Kuliah
Larangan Kezaliman
Segala puji bagi Allah SWT yang telah mengurniakan keizinan dan limpah rahmat-Nya kepada sekalian hamba. Terdapat sebuah hadis Qudsi yang sangat memberi kesan terhadap kefahaman manusia tentang keadilan dan kasih sayang Allah, serta kebinasaan yang datang akibat kezaliman manusia sendiri. Nabi SAW meriwayatkan bahawa Allah berfirman:
"Wahai hamba-hamba-Ku, sesungguhnya Aku telah mengharamkan kezaliman ke atas diri-Ku, dan Aku jadikannya haram dalam kalangan kamu, maka janganlah kamu saling menzalimi. Wahai hamba-hamba-Ku, kamu semua sesat kecuali orang yang Aku beri petunjuk, maka mintalah petunjuk daripada-Ku, nescaya Aku akan memberi petunjuk kepada kamu. Wahai hamba-hamba-Ku, kamu semua lapar kecuali orang yang Aku beri makan, maka mintalah makanan daripada-Ku, nescaya Aku akan memberi kamu makan. Wahai hamba-hamba-Ku, kamu semua bertelanjang kecuali orang yang Aku beri pakaian, maka mintalah pakaian daripada-Ku, nescaya Aku akan pakaikan kamu. Wahai hamba-hamba-Ku, sesungguhnya kamu melakukan kesalahan pada waktu malam dan siang, dan Aku mengampuni seluruh dosa, maka mohonlah ampunan kepada-Ku, nescaya Aku akan ampuni kamu. Wahai hamba-hamba-Ku, kamu tidak akan dapat memudaratkan Aku, dan kamu juga tidak akan dapat memberi manfaat kepada-Ku..." — HR. Muslim no.2577
Hadis ini menggambarkan betapa Allah Maha Adil dan Maha Pengampun. Allah tidak menzalimi hamba-Nya, malah melarang sebarang bentuk kezaliman. Segala bentuk hidayah, rezeki, perlindungan dan keampunan hanya datang daripada-Nya. Firman Allah dalam Surah al-Nisa' menjelaskan bahawa Allah tidak menzalimi walau sebesar zarrah, tetapi manusia sendiri yang menzalimi diri mereka.
Setiap keburukan yang menimpa adalah hasil daripada kezaliman manusia. Bencana seperti gempa bumi, ribut, tanah runtuh, dan lain-lain, bukan berlaku secara rawak semata-mata, tetapi sebagai amaran dan peringatan atas kealpaan manusia terhadap perintah Allah. Allah telah mengutuskan 124,000 Nabi, termasuk lebih 300 Rasul, dan 25 daripadanya disebut dalam al-Quran. Namun ramai manusia tetap berpaling daripada kebenaran.
Sebahagian manusia pula mengangkat makhluk lain lebih tinggi daripada Allah. Ada yang memuja harta, artis, atlit sukan, kemasyhuran, dan kuasa, sehingga sanggup berbelanja ribuan ringgit demi hiburan tetapi berkira-kira dalam urusan agama dan kebajikan. Mereka ini tergolong dalam golongan yang menyekutukan Allah dengan sesuatu yang lain dalam kehidupan moden.
Sebahagian daripada mereka menolak hukum Allah, memperlekehkan ajaran agama, mengejek orang-orang yang menyeru kepada kebaikan, dan menimbulkan keraguan terhadap hukum syarak. Mereka juga mempersenda usaha dakwah dan menentang sesiapa yang cuba menghidupkan sunnah. Golongan seperti ini bukan sahaja kufur, malah mendorong orang lain untuk menjauh dari jalan Allah. Mereka berkata, “Ini ekstrem”, atau “Ini tak sesuai zaman sekarang”, sedangkan ia adalah syariat Allah yang kekal.
Realitinya, ramai manusia yang hidup dalam kelalaian, meninggalkan solat, berpusu-pusu ke konsert, menghabiskan masa berjam-jam untuk hiburan tetapi tidak bersolat. Ada yang meninggal dalam keadaan sedang bermaksiat. Mereka ini sebenarnya telah menzalimi diri sendiri. Syaitan menjadi sahabat mereka, dan apabila dibangkitkan, mereka akan menyalahkan syaitan. Namun syaitan menjawab: “Aku tidak memaksa dia, aku hanya menyeru, dan dia yang memilih untuk mengikuti aku.” Manusia itu pula, dalam ketakutan dan kekesalan, mahu menebus diri sendiri, tetapi semuanya telah terlambat. Tidak ada penebusan, dan tidak ada jalan keluar daripada azab yang menanti.
"Pada hari itu, seseorang tidak dapat bertanya tentang sahabatnya. Meskipun mereka diperlihatkan antara satu sama lain, orang yang berdosa ingin menebus dirinya dari azab hari itu dengan anak-anaknya, isterinya, saudaranya, kaum keluarganya yang melindunginya dan seluruh isi bumi, lalu dia mahu menyelamatkan dirinya..."— QS Al-Ma'arij (70:10–14)
Ramai yang membaca al-Fatihah dan surah-surah lain dalam solat, tetapi tidak memahami maksudnya. Ayat dibaca tanpa penghayatan, tanpa pengertian, dan tidak masuk ke dalam hati. Allah menyebut dalam Surah al-Dhuha bahawa Dia tidak meninggalkan hamba-Nya. Manusia mungkin meninggalkan manusia lain – anak meninggalkan ibu, suami meninggalkan isteri, sahabat meninggalkan sahabat – tetapi Allah tidak pernah meninggalkan hamba-Nya.
Ketika susah, senang, sihat atau sakit – Allah sentiasa bersama. Namun jika manusia berpaling, meninggalkan Allah, memilih untuk lalai dan enggan bertaubat, maka itulah pilihan mereka. Setiap pilihan ada akibatnya. Allah tidak menzalimi sesiapa pun. Barang siapa yang melakukan kebaikan, ganjarannya tetap ada. Barang siapa yang melakukan kejahatan, balasannya juga menanti. Allah menggandakan ganjaran bagi setiap kebaikan, dan membalas kejahatan dengan keadilan yang setimpal.
Gambar-Gambar
Nota
Catat Ulasan