Kuliah Mahgrib 23 Julai 2025, Ustaz Suhaimi Md Saat

Tarikh Penceramah Tajuk
23/07/2025 Ustaz Suhaimi Md Saat

Nota Kuliah

Segala puji hanya bagi Allah. Dengan izin-Nya, kita dapat berhimpun pada malam ini.


Peristiwa hijrah Nabi SAW sering kali dibicarakan, namun kali ini akan ditelusuri dari sudut yang jarang disentuh. Nabi SAW keluar dari rumah untuk memulakan hijrah, meninggalkan Mekah menuju Madinah pada 27 Safar. Baginda bersembunyi di Gua Thur selama beberapa malam. Kemudian, pada 1 Rabiulawal, Baginda memulakan perjalanan ke Madinah dan tiba di Quba pada 8 Rabiulawal. Baginda menetap beberapa hari di Quba dan membina sebuah masjid di situ. Masjid tersebut masih wujud hingga ke hari ini.


Selepas peristiwa hijrah, pada setiap hari Sabtu, Nabi berjalan kaki sejauh 2.9 kilometer dari rumah Baginda ke Masjid Quba dan menunaikan solat di sana. Nabi SAW pernah bersabda bersabda bahawa sesiapa yang bersuci di rumah, kemudian pergi ke Masjid Quba dan bersolat di dalamnya, maka baginya pahala seperti menunaikan ibadah umrah. (HR.Ibnu Majah no.1412)


Pada 12 Rabiulawal, Nabi memulakan perjalanan menuju ke Masjid Nabawi. Dalam perjalanan itu, Baginda singgah di sebuah perkampungan bernama Bani Salim ketika masuk waktu Zohor dan menunaikan solat Jumaat bersama lebih seratus orang. Di tempat tersebut kini dibina Masjid Jumaat. Nabi SAW tiba di Madinah pada 12 Rabiulawal, yang juga merupakan tarikh kelahiran dan wafatnya Baginda.


Masyarakat sering menyambut Maulidur Rasul pada 12 Rabiulawal. Namun begitu, ramai yang menyangka bahawa hijrah Nabi SAW berlaku pada bulan Muharram, sedangkan peristiwa hijrah sebenarnya berlaku pada bulan Rabiulawal. Persoalannya, mengapa sambutan awal tahun hijrah ditetapkan pada bulan Muharram?


Pada zaman Nabi SAW, masyarakat Arab telah pun mempunyai takwim bulan sebanyak 12 bulan, sebagaimana yang disebut dalam Surah al-Tawbah ayat 36:


"Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi Allah ialah dua belas bulan dalam kitab Allah pada waktu Dia menciptakan langit dan bumi..."

 

Bulan-bulan ini telah digunakan sejak zaman Nabi Ibrahim A.S. Namun, mereka tidak menetapkan kiraan tahun secara sistematik.


Apabila berlaku sesuatu peristiwa besar, tahun tersebut dinamakan berdasarkan peristiwa itu, seperti Tahun Gajah. Sebagai contoh, kelahiran Nabi SAW dikatakan berlaku pada 12 Rabiulawal Tahun Gajah kerana pada waktu itu masyarakat Arab belum mempunyai sistem tahun yang tetap. Tahun kelahiran Sayidina Abu Bakar As-Siddiq pula disebut sebagai tahun ketiga selepas Tahun Gajah.


Masyarakat Arab ketika itu bergantung kepada penamaan tahun berdasarkan peristiwa-peristiwa besar, bukan kepada angka tahun yang konsisten seperti yang digunakan pada hari ini.


Takwim hijrah tidak diasaskan pada zaman Nabi SAW, meskipun peristiwa hijrah telah berlaku. Bahkan, sepanjang pemerintahan Sayidina Abu Bakar al-Siddiq selama dua tahun, sistem tahun hijrah masih belum diwujudkan. Takwim ini hanya mula diasaskan ketika pemerintahan Sayidina Umar al-Khattab.


Ketika itu, wilayah Islam semakin meluas. Surat-surat rasmi dihantar oleh khalifah ke pelbagai tempat termasuk Mesir, Syam dan Basrah di Iraq. Namun, disebabkan ketiadaan sistem tahun yang tetap, timbul kekeliruan apabila sesuatu perintah diminta dilaksanakan pada bulan tertentu, tetapi surat tersebut hanya sampai beberapa bulan kemudian. Tambahan pula, jarak perjalanan yang jauh menyebabkan kelewatan penyampaian surat, lalu menimbulkan kekeliruan mengenai tarikh sebenar pelaksanaan sesuatu arahan. Abu Musa al-Ash’ari, salah seorang sahabat Nabi SAW, menulis kepada Sayidina Umar dan menyatakan kekeliruan ini. Lalu, Sayidina Umar mengumpulkan para sahabat di Madinah untuk membincangkan perkara tersebut yang memberi kesan kepada urusan pentadbiran negara.


Maka timbul cadangan untuk menetapkan tahun permulaan bagi umat Islam. Antara cadangan yang dikemukakan ialah menjadikan tarikh kelahiran Nabi SAW sebagai tahun pertama. Namun cadangan ini ditolak oleh Sayidina Umar kerana sistem tahun berdasarkan kelahiran telah pun digunakan oleh orang Nasrani, yang menetapkan kelahiran Nabi Isa A.S. sebagai permulaan takwim Masihi.


Ada juga cadangan agar tahun kewafatan Nabi SAW dijadikan sebagai permulaan. Namun akhirnya, para sahabat bersepakat mengambil peristiwa hijrah sebagai asas pengiraan tahun Islam kerana hijrah merupakan titik tolak perubahan besar dalam sejarah umat Islam.


Satu lagi perkara yang perlu diputuskan ialah bulan yang akan dijadikan sebagai bulan pertama dalam takwim Islam. Para sahabat mencadangkan bulan Rabiulawal kerana peristiwa hijrah berlaku pada bulan tersebut. Sekiranya Rabiulawal dijadikan bulan pertama, maka susunan bulan selepasnya ialah Rabiulakhir, Jamadilawal, Jamadilakhir, Rejab, dan seterusnya.


Ada juga cadangan untuk menjadikan bulan Ramadan sebagai bulan pertama kerana keistimewaannya. Sekiranya Ramadan dipilih, maka Syawal menjadi bulan kedua dan Syaaban sebagai bulan ke-12. Namun, cadangan ini turut ditolak.


Akhirnya, seorang sahabat mengemukakan cadangan agar bulan Muharram dijadikan bulan pertama. Cadangan ini diterima oleh Sayidina Umar. Alasannya, musim haji yang berlangsung pada bulan Zulhijjah menandakan penyempurnaan rukun Islam. Selepas menunaikan haji, umat Islam kembali dalam keadaan suci, dengan semangat dan azam baharu. Oleh itu, bulan Muharram yang datang selepasnya sesuai dijadikan sebagai permulaan tahun baru Islam.


Dengan demikian, ditetapkan bahawa takwim Islam bermula dengan bulan Muharram, meskipun peristiwa hijrah berlaku pada bulan Rabiulawal. Penetapan ini merupakan hasil ijmak para sahabat, yang memilih peristiwa hijrah sebagai asas pengiraan tahun Islam kerana ia menandakan permulaan era baharu bagi umat Islam.



 HIJRAH NABI 


Hijrah Nabi SAW berlaku ketika Baginda berusia 53 tahun. Untuk memahami sejarah ini, kehidupan Nabi SAW boleh dibahagikan kepada tiga fasa: 40, 13, dan 10 tahun.

40 tahun: Dari kelahiran hingga usia 40 tahun, iaitu sebelum dilantik menjadi Rasul. Fasa ini merangkumi zaman kanak-kanak, remaja, perkahwinan, dan kehidupan sebelum menerima wahyu.

13 tahun: Bermula dari usia 40 tahun, apabila dilantik sebagai Rasul, Nabi SAW berdakwah di Mekah selama 13 tahun.

10 tahun: Tempoh selepas hijrah ke Madinah sehingga kewafatan Baginda.

Jumlah keseluruhan tempoh hayat Baginda ialah 40 + 13 + 10 = 63 tahun.


Dalam rajah berkaitan, warna hijau melambangkan zaman sebelum kerasulan (40 tahun), warna jingga bagi 13 tahun kerasulan di Mekah, dan warna biru mewakili 10 tahun di Madinah. Pada usia 53 tahun, Nabi SAW berhijrah ke Madinah.


Umat Islam ketika itu berhijrah secara senyap kerana tidak dibenarkan melakukannya secara terang-terangan. Mereka keluar tanpa membawa harta benda. Bagi yang memiliki kebun, rumah, ladang atau ternakan, semuanya ditinggalkan. Ada yang hanya membawa apa yang mampu disembunyikan.


Pada masa itu Mekah mempunyai sistem kawalan ketat terhadap penghijrahan. Sesiapa yang keluar dari Mekah ke Madinah tidak lagi dianggap sebagai warga Mekah. Segala harta, anak, dan hubungan kekeluargaan dianggap terputus. Segala yang ditinggalkan tidak lagi diiktiraf sebagai milik mereka.


Apabila tiba di Madinah, golongan Muhajirin sangat memerlukan sokongan. Penduduk Madinah, iaitu golongan Ansar, menyambut kedatangan mereka dengan penuh kasih sayang. Setiap orang Ansar mempersaudarakan diri dengan seorang Muhajirin. Mereka sanggup menawarkan harta dan tempat tinggal, malah ada yang menawarkan untuk menceraikan salah seorang isteri mereka bagi dikahwinkan dengan sahabat Muhajirin.


Namun, sahabat Muhajirin seperti Abdul Rahman bin Auf menolak pemberian harta dan memilih untuk berniaga sendiri. Beliau hanya meminta ditunjukkan lokasi pasar.


Para sahabat meninggalkan segala-galanya demi Allah dan Rasul. Mereka kehilangan rumah, kekayaan dan keluarga, namun tetap reda. Tidak ada seorang pun dalam kalangan Ansar yang mempertikaikan pengorbanan mereka, bahkan semua menyambut dengan penuh keikhlasan.


Para sahabat diberikan gelaran Radiyallahu ‘Anhu, bermaksud "Allah reda kepada mereka", sebagai penghormatan atas pengorbanan dan keimanan mereka. Bagi lelaki disebut Radiyallahu ‘Anhu, bagi wanita Radiyallahu ‘Anha, manakala Radiyallahu ‘Anhuma digunakan bagi dua orang, seperti Sayidina Abu Bakar dan anaknya, Aisyah.


Abu Bakar al-Siddiq merupakan satu-satunya sahabat yang seluruh ahli keluarganya memeluk Islam, termasuk ayah, ibu, anak dan cucu. Para sahabat memperoleh keredaan Allah kerana kesanggupan mereka meninggalkan segala-galanya demi agama.


Persoalannya, jika diminta untuk meninggalkan rumah, kereta, kebun, dan segala harta milik kita pada hari ini, sanggupkah kita melakukannya? Pengorbanan para sahabat amat besar. Oleh sebab itu, peristiwa hijrah merupakan antara peristiwa terbesar dalam sejarah Nabi SAW dan para sahabat.


Dalam Islam, tidak dianjurkan untuk mewakafkan seluruh harta kepada agama hingga mengabaikan ahli keluarga. Pernah ada seorang sahabat yang ingin mewakafkan semua hartanya, namun Nabi SAW tidak membenarkannya. Baginda bersabda:


“Sepertiga itu sudah banyak. Tinggalkanlah waris-waris kamu dalam keadaan berharta, lebih baik daripada meninggalkan mereka dalam keadaan miskin.”


Nabi SAW mengajarkan agar wujud keseimbangan antara infak dan tanggungjawab terhadap keluarga.


Berbalik kepada peristiwa hijrah, Nabi SAW pergi ke Gua Thur yang terletak di sebelah selatan Mekah untuk bersembunyi sebelum memulakan perjalanan ke Madinah yang terletak di sebelah utara. Baginda bersembunyi selama beberapa hari di situ.


Asma' binti Abu Bakar, yang sedang mengandung ketika itu, memainkan peranan penting dalam penghantaran bekalan. Suaminya ialah Zubair bin al-Awwam. Asma’ merupakan anak kepada Abu Bakar al-Siddiq, manakala Zubair bertanggungjawab menyampaikan maklumat kepada Nabi SAW. Mereka berulang-alik ke Gua Thur dengan penuh berhati-hati agar tidak meninggalkan sebarang kesan.


Nabi SAW telah mengatur strategi dan perancangan dengan amat teliti. Ketika musyrikin Quraisy tiba di hadapan gua, mereka tidak menyangka bahawa Nabi berada di dalamnya kerana terdapat sarang labah-labah menutupi pintu gua. Sarang tersebut kelihatan seperti telah lama wujud.


Allah menjadikan sarang labah-labah itu sebagai pelindung. Musuh menyangka tiada sesiapa di dalam kerana sekiranya seseorang baru sahaja masuk, pasti sarang itu telah rosak. Kekuasaan Allah begitu jelas dalam peristiwa ini.


Usaha, ikhtiar dan strategi telah dilakukan, kemudian diserahkan sepenuhnya kepada Allah. Apabila seseorang bertawakal sepenuhnya, pertolongan Allah pasti akan datang.


RUMUSAN

Peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW dari Mekah ke Madinah merupakan titik perubahan besar dalam sejarah Islam. Baginda memulakan hijrah pada 27 Safar dan bersembunyi di Gua Thur selama beberapa malam sebelum meneruskan perjalanan dan tiba di Quba pada 8 Rabiulawal. Di sana, Baginda membina Masjid Quba dan kemudian bergerak ke Madinah pada 12 Rabiulawal, tarikh yang juga merupakan hari kelahiran dan kewafatan Baginda.

Walaupun peristiwa hijrah berlaku pada bulan Rabiulawal, tahun baru Hijrah bermula pada bulan Muharram. Hal ini ditentukan pada zaman pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab setelah timbul kekeliruan dalam pentadbiran kerana ketiadaan sistem penandaan tahun. Para sahabat bersepakat memilih peristiwa hijrah sebagai asas kalendar Islam kerana ia menandakan permulaan era baharu umat Islam. Muharram dipilih sebagai bulan pertama kerana ia datang selepas bulan haji, ketika umat Islam kembali dalam keadaan suci dan bersedia dengan azam baharu.

Hijrah merupakan pengorbanan besar para sahabat. Mereka meninggalkan harta, keluarga dan tanah air demi Islam. Golongan Muhajirin disambut dengan penuh kasih sayang oleh golongan Ansar yang menawarkan tempat tinggal dan harta. Namun, sahabat seperti Abdul Rahman bin Auf lebih memilih untuk berdikari dengan berniaga.

Perjalanan hijrah juga dirancang dengan teliti. Asma’ binti Abu Bakar dan suaminya memainkan peranan penting dalam menyampaikan bekalan dan maklumat. Allah SWT melindungi Nabi SAW dengan sarang labah-labah di pintu gua, menyebabkan musuh menyangka tiada sesiapa di dalam. Peristiwa ini membuktikan kehebatan tawakal setelah usaha maksimum dilakukan.

Hijrah bukan sekadar perpindahan fizikal, tetapi simbol perubahan dan pengorbanan demi keimanan dan perjuangan Islam.

Gambar-Gambar
Nota
Gambar

0 Ulasan

Catat Ulasan

Post a Comment (0)

Terbaru Lebih lama