Tadabbur Surah al-Kahfi Ayat 21–22
Allah menceritakan bagaimana keadaan Ashabul Kahfi akhirnya diketahui oleh masyarakat setelah mereka tidur ratusan tahun. Salah seorang daripada mereka keluar ke pasar untuk membeli makanan, namun wang yang dibawa adalah wang lama sehingga menimbulkan kehairanan orang ramai. Perkara itu akhirnya sampai kepada pengetahuan raja yang pada ketika itu sudah beriman kepada Allah. Apabila pemuda itu dihadapkan kepada baginda, maka terbongkarlah kisah tentang pemuda-pemuda terdahulu yang melarikan diri demi mempertahankan iman mereka.
Selepas peristiwa itu, Ashabul Kahfi kembali ke gua lalu Allah mewafatkan mereka. Masyarakat ketika itu berbeza pendapat tentang bagaimana cara untuk mengenang kisah tersebut. Ada yang mencadangkan supaya dibina tugu peringatan, dan ada pula yang mencadangkan pembinaan rumah ibadah atau masjid di atas gua tersebut. Namun, Islam datang dengan bimbingan yang jelas bahawa membina masjid di atas kubur adalah dilarang kerana ia boleh membawa kepada syirik, sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang melaknat kaum Yahudi dan Nasrani kerana menjadikan kubur nabi-nabi mereka sebagai tempat ibadah.
Dalam ayat berikutnya, Allah menceritakan tentang perdebatan masyarakat berhubung jumlah sebenar Ashabul Kahfi. Ada yang mengatakan mereka berjumlah tiga orang bersama seekor anjing, ada yang berpendapat lima orang bersama seekor anjing, dan ada pula yang menyebut tujuh orang bersama seekor anjing. Allah menegaskan bahawa hakikat sebenar bilangan mereka hanyalah diketahui oleh Allah semata-mata. Namun, dalam beberapa kitab tafsir, terdapat pandangan sahabat Nabi seperti Ibn ‘Abbas RA yang menyebut bahawa bilangan mereka adalah tujuh orang, dan pendapat ini dianggap lebih kuat kerana disokong oleh sebahagian riwayat. Walaupun begitu, Al-Quran tetap menegaskan bahawa angka sebenar bukanlah perkara pokok untuk diperdebatkan.
Pengajaran yang besar daripada ayat ini ialah bahawa fokus utama bukanlah pada jumlah pemuda, nama mereka, atau lokasi gua, tetapi pada keteguhan iman mereka dalam mempertahankan akidah. Jika perkara itu penting, sudah tentu Rasulullah SAW menekankannya kepada umat. Begitu juga dengan isu peninggalan Nabi, kebanyakannya yang ada pada hari ini hanyalah replika, dan tidak pernah ditekankan oleh baginda untuk dipelihara sebagai syiar. Bahkan, terdapat kisah bagaimana cincin Nabi ï·º yang pernah digunakan untuk cap mohor surat jatuh ke dalam sebuah telaga pada zaman Khalifah Uthman RA. Namun, beliau tidak mengarahkan agar telaga itu dikorek atau dicari semula cincin tersebut kerana ia bukan perkara pokok dalam agama, sebaliknya yang utama ialah meneruskan dakwah dan menjaga urusan umat.
Selain itu, ayat ini juga memberi pengajaran bahawa perbezaan pandangan adalah dibenarkan dalam perkara cabang, selagi tidak melampaui batas. Namun, umat Islam diingatkan supaya tidak menjadikan perbezaan itu sebagai punca kepada perbalahan dan perpecahan. Apa yang lebih penting ialah mengekalkan adab dalam berbeza pendapat, serta memastikan fokus utama tetap kepada menjaga iman, aqidah, dan ukhuwah.
Kesimpulannya, Surah al-Kahfi ayat 21–22 mengajar kita bahawa bukti kebangkitan adalah benar sebagaimana Allah memperlihatkan kisah Ashabul Kahfi. Ia juga memberi amaran agar kita tidak terjerumus dalam amalan bidaah seperti membina masjid di atas kubur, serta menasihatkan kita agar tidak berdebat tentang perkara ghaib yang tidak mendatangkan manfaat. Apa yang paling penting daripada kisah ini ialah bagaimana para pemuda Al-Kahfi mempertahankan iman mereka dengan penuh keberanian, sanggup meninggalkan keselesaan hidup demi menjaga aqidah, dan yakin sepenuhnya dengan janji Allah SWT.
Catat Ulasan