Kuliah Subuh 28 September 2025, Ustaz Hairulazam Abd Rahman

Tarikh Penceramah Tajuk
28/09/2025 Ustaz Hairulazam Abd Rahman

Nota Kuliah


Surah Al-Kahfi, ayat ke-27 hingga 28.

Firman Allah SWT, maksudnya:

“Dan bacalah (wahai Muhammad) apa yang diwahyukan kepadamu daripada Kitab Tuhanmu (Al-Quran). Tidak ada seorang pun yang dapat mengubah kalimah-kalimah-Nya, dan engkau tidak akan menemukan tempat perlindungan selain daripada-Nya. Dan bersabarlah engkau bersama orang-orang yang menyeru Tuhannya di waktu pagi dan petang dengan mengharap keredaan-Nya. Dan janganlah kedua matamu berpaling daripada mereka kerana mengharapkan perhiasan kehidupan dunia, dan janganlah engkau mengikuti orang-orang yang hatinya telah Kami lalaikan daripada mengingati Kami serta menurut hawa nafsunya, kerana keadaannya itu adalah melampaui batas.”


Ayat ini datang selepas berakhirnya kisah panjang tentang Ashabul Kahfi. Bermula daripada ayat awal sehingga ayat sebelumnya, kita telah melihat kisah mereka secara terperinci.


Dalam ayat ini, Allah SWT memerintahkan Nabi Muhammad SAW supaya terus menyampaikan agama Allah. Prinsip utama yang ditetapkan di sini ialah kalimah Allah itu tetap, tidak berubah, nyata dan tegas.


Demikianlah Al-Quran, yang bukan sekadar membawa kisah-kisah, tetapi juga menjelaskan prinsip-prinsip asas agama. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya:

“Aku tinggalkan kamu di atas jalan agama yang jelas dan terang benderang, malamnya seperti siangnya. Tidak ada yang menyimpang daripadanya kecuali orang yang binasa.”


Agama Islam ini jelas dan nyata, bukan hanya difahami oleh umat Islam, bahkan agama-agama lain juga mengetahuinya. Namun mereka enggan menerima Islam kerana tidak mahu meninggalkan hawa nafsu mereka.


Allah SWT juga menegaskan bahawa tempat perlindungan sebenar hanyalah kepada-Nya.


Seterusnya, pada ayat 28, Allah SWT mengingatkan Nabi SAW supaya bersabar bersama sahabat-sahabat baginda yang miskin dan hamba, tetapi ikhlas beribadat kepada Allah.


Kisah ini diceritakan melalui riwayat Sa‘ad bin Abi Waqqas RA, antara 10 sahabat yang dijanjikan syurga. Beliau menceritakan bahawa orang-orang Quraisy cuba memujuk Nabi SAW dengan syarat supaya baginda memisahkan majlis antara pemimpin Quraisy dengan para sahabat yang miskin. Namun Allah SWT menurunkan ayat ini sebagai penegasan bahawa sahabat-sahabat miskin itu lebih mulia di sisi Allah kerana keikhlasan mereka.


Allah menegaskan bahawa mereka yang beribadat pada waktu pagi dan petang adalah hamba-hamba yang ikhlas. Inilah sebabnya wirid dan zikir selepas Subuh dan Maghrib sangat ditekankan dalam Islam, kerana pagi dan petang adalah waktu yang diberkati.


Begitulah indahnya susunan Islam – membahagikan waktu antara ibadat, bekerja, berehat dan bermasyarakat. Semua dengan aturan yang jelas dan sempurna.


Kalau tiada kerja sekarang, banyak lagi yang boleh kita usahakan pada waktu ini. Jadi, tambahlah amalan: buat 4 rakaat sebelum (Zuhur) dan 4 rakaat selepasnya sekali-sekala. Kalau dibuat setiap hari, bimbang pula timbul perasaan ujub; maka cukuplah 4 sebelum dan 4 selepas sekali-sekala.


Mengapa? Sebab Nabi menyebut dalam satu hadis: sesiapa yang menunaikan solat sunat qabliyah 4 rakaat sebelum (Zuhur) dan 4 rakaat selepasnya, dia tidak akan disentuh oleh api neraka.


Kita pada hari ini boleh mendengar dengan jelas sabda Nabi dan ayat-ayat Al-Quran yang menyebut amalan-amalan: siapa yang melakukannya akan masuk syurga, dan siapa yang melakukannya akan diselamatkan daripada neraka. Maka amalkanlah.


Nabi bersabda: selepas Subuh dan selepas Maghrib, bacalah “Allahumma ajirni min an-nar” sebanyak tujuh kali. Sesiapa yang membacanya tujuh kali selepas Subuh dan tujuh kali selepas Maghrib—waktu petang pun boleh juga—maka dia tidak akan disentuh oleh api neraka.


Subuh ialah waktu rehat (tenang), dan rehat itu juga satu bentuk ibadah jika dilakukan dengan betul. Inilah juga waktu yang disebut qailulah. Para ulama besar menjadikan waktu qailulah (tidur sekejap 10–15 atau 20 minit) sebagai rutin yang memberi kekuatan. Kajian-kajian Barat juga menunjukkan tidur sekejap pada siang hari memberi manfaat. Selepas Subuh pun boleh, tetapi biarlah sebentar sahaja—umpama kita yang sudah pencen; pukul 2 tidur, pukul 4 bangun semula—begitulah kiasnya.


Solat Asar pula ringkas; bahkan tidak termasuk dalam sunat muakkad yang sangat dituntut untuk solat sunat sebelum Asar. Mengapa? Kerana manusia ketika itu sibuk bekerja, maka solat difokuskan secara ringkas. Betapa cantiknya susunan ibadat dalam Islam yang serasi dengan ritma kehidupan manusia.


Itulah yang disebut dalam ayat berkenaan waktu pagi dan petang. Allah SWT memerintahkan Nabi SAW: bersabarlah engkau wahai Muhammad bersama para sahabatmu yang miskin—yang dipandang hina oleh manusia—sedangkan mereka mulia di sisi Allah. Mereka sentiasa beribadat pada waktu pagi dan petang, yuriduna wajhahu—hanya mencari reda Allah SWT. Inilah sifat pada darjat paling mulia: apabila manusia beramal, apa sahaja perbuatan, tidak ada tujuan lain selain mencari reda Allah—bahasa mudahnya, mencari pahala, bukan pujian manusia.


Selepas Allah memuji para sahabat, Allah berfirman kepada Nabi SAW: jangan engkau palingkan pandangan daripada mereka kerana mengharapkan perhiasan dunia. Maksud mudahnya: jangan tinggalkan sahabat-sahabat ini (peringatan untuk ummah) semata-mata kerana hendak melayan pemimpin Quraisy Mekah yang menilai manusia berdasarkan dunia. Walaupun tawaran mereka kelihatan menarik, itu tidak diizinkan Allah. Mengapa? Kerana mereka mahu masuk Islam dengan niat membezakan manusia—itu sama sekali tidak dibenarkan. Hanya kerana kaya dan berkedudukan, mereka mahu majlis berasingan; ini tidak diizinkan Allah. Terpulang kepada mereka: jika mahu kepada Islam, maka masuklah tanpa meletakkan syarat perbezaan.


Allah juga memberi kata putus: “Wala tuti‘ man aghfalna qalbahu ‘an zikrina wattaba‘a hawahu”—jangan engkau taati orang yang hatinya Kami lalaikan daripada mengingati Allah dan yang mengikuti hawa nafsu. Mereka belum beriman; cirinya: tidak meletakkan Allah sebagai keutamaan, mengikuti hawa nafsu, dan hidup melampaui batas. Inilah rujukan kepada pemimpin-pemimpin Quraisy. Adapun para sahabat—walaupun dipandang hina oleh manusia—mereka mulia di sisi Allah.


Ayat ini juga dibincangkan oleh para ulama tafsir. Ketika meneliti tulisan asy-Syahid Sayyid Qutb rahimahullah dalam Fi Zilal al-Quran, perlu difahami bahawa karya tersebut lebih berbentuk renungan dan penghayatan sastera Islami berbanding tafsir teknikal. Sayyid Qutb seorang penulis Arab yang mahir bahasa dan sastera; bahasanya tinggi dan puitis, menjadikan sebahagian bahagian agak sukar difahami tanpa penguasaan bahasa Arab yang baik. Beliau sendiri menegaskan bahawa tulisannya bertujuan membawa pembaca “di bawah naungan Al-Quran”—menghayati suasana hati para sahabat ketika ayat diturunkan.


Antara ungkapan beliau yang menarik ialah tentang mīzān (neraca): neraca langit dan neraca bumi—yakni penilaian Allah berbanding penilaian manusia. Yang kita wajib pegang ialah neraca Allah: takwa sebagai ukuran, bukan kemuliaan dunia yang menjadi pandangan manusia. Inilah punca kerosakan bila martabat manusia diukur dengan dunia semata-mata. Islam tidak menafikan kepentingan dunia; bahkan Al-Quran dan hadis mengisyaratkan agar umat mengambil berat urusan dunia. Pepatah masyhur yang sering dinisbahkan (sebagai hikmah) berbunyi: beramallah untuk dunia seakan-akan hidup selamanya, dan beramallah untuk akhirat seolah-olah mati esok hari—yakni bersungguh-sungguh dalam kedua-duanya, namun jangan menyalahi neraca Allah.


Kesilapan berlaku apabila kemuliaan diukur pada harta dan kedudukan: yang berharta, berjawatan, berkereta mewah dimuliakan; yang sederhana dipandang rendah. Hal seperti ini boleh menyusup dalam keluarga—anak yang berkereta mewah lebih dipuja daripada yang sederhana—sedangkan itu bukan ukuran kemuliaan di sisi Allah. Maka berdoalah agar Allah memperelokkan neraca dalam hati kita, menguatkan kesabaran, dan meneguhkan kehormatan pada neraca takwa.


Walaupun para sahabat itu miskin, hormatilah mereka; mereka mulia di sisi Allah. Orang yang tidak beriman tidak berhak meletakkan syarat kepada Rasulullah SAW; jika mereka mahu menerima Islam, terimalah tanpa mencipta perbezaan kelas. Pada ayat-ayat berikut (yang akan dibincangkan seterusnya), Allah sekali lagi menegaskan perkara ini.

Gambar-Gambar
Nota
Gambar

0 Ulasan

Catat Ulasan

Post a Comment (0)

Terbaru Lebih lama