Pada 12 September yang lalu, seorang pelajar cemerlang lepasan Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang, Arish Al Azim Al Hafiz bin Samsi, 18 tahun, telah berangkat ke Morocco bagi melanjutkan pengajian dalam bidang Pengajian Islam di Madrasah Al-‘Ulum Al-Islamiyah, Jāmi‘ah Al-Qarawiyyīn, Casablanca, Morocco.
Beliau akan mengikuti pengajian dalam beberapa disiplin utama, iaitu Qawā‘id al-Fiqh, Usul Fiqh, Fiqh Muqārin, Syariah, serta ilmu bahasa Arab seperti Nahu dan Ṣarf. Semoga perjalanan ilmu beliau dipermudah dan diberkati Allah SWT.
Majlis pelepasan rasmi yang diadakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 2.30 pagi itu telah disempurnakan oleh Speaker Dewan Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar bin Haji Shamsuddin, bersama Ketua Pegawai Operasi Yayasan Pahang, Tuan Haji Abdul Razak Abu Musa Saari. Seramai 13 pelajar lepasan Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang turut diraikan dalam majlis bersejarah itu. Kesemua mereka mendapat tajaan penuh Yayasan Pahang dan Kerajaan Morocco sehingga ke peringkat kedoktoran (PhD).
Ikon Masjid Temerloh Jaya
Arish, dilahirkan pada 15 Oktober 2007 di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh, memulakan pendidikannya di Tadika Faqeh Temerloh, sebelum meneruskan persekolahan di Maahad Tahfiz Faqeh Temerloh dan kemudiannya ke Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang. Sejak di bangku sekolah rendah lagi, beliau telah menunjukkan minat mendalam terhadap pengajian al-Quran dan ilmu agama.
Ketika di Tingkatan Satu, Arish mencatat pencapaian luar biasa apabila berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran dalam tempoh hanya 15 hari. Ini membuktikan kesungguhan dan keupayaannya sebagai seorang pelajar tahfiz yang berdedikasi. Pada peringkat menengah atas, beliau menamatkan Ujian Syahadah 18 juzuk dengan pangkat Mumtaz, dan memperoleh 8A cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024.
Arish bukan sahaja menyerlah dalam bidang akademik, malah turut aktif dalam aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan. Beliau pernah dua kali dinobatkan sebagai Ikon Kanak-kanak Masjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah (MTTJ), iaitu pada tahun 2013 (ketika berusia 7 tahun) dan 2019 (ketika berusia 13 tahun). Sejak kecil, beliau istiqamah menunaikan solat berjemaah lima waktu di masjid dan menjadi contoh teladan kepada generasi muda di kariah setempat.
Selain itu, Arish aktif menggerakkan Biro Pendidikan dan Sahsiah Remaja Masjid MTTJ serta terlibat sebagai imam tarawih di beberapa masjid sekitar Kuantan dari tahun 2021 hingga 2025. Beliau juga kerap dijemput menjadi imam dalam program Khatam Subuh di Masjid Negeri Pahang dan pernah bertugas sebagai qari bacaan al-Quran di Radio Pahang FM sempena Ramadan 2023. Penglibatan konsisten dalam kegiatan masjid dan program dakwah menjadikan Arish sosok remaja yang disegani serta menjadi contoh dalam kalangan masyarakat.
Pada masa yang sama, Arish dikenali sebagai seorang remaja yang istiqamah dalam solat berjemaah lima waktu, selain mengekalkan rutin murojaah dan tasmik al-Quran bersama bapanya setiap kali selepas solat di Masjid Temerloh Jaya.
Kecemerlangan Seimbang
Dalam bidang kokurikulum, Arish turut membuktikan kemampuan yang seimbang antara jasmani dan rohani. Beliau memiliki tali pinggang hitam antarabangsa dalam seni bela diri Taekwondo dan bertugas sebagai jurulatih bertauliah. Selain itu, beliau juga aktif dalam sukan renang, bola tampar, dan aktiviti mendaki (hiking). Malah, beliau pernah meraih pingat gangsa di peringkat kebangsaan dalam acara renang. Arish juga pernah menerima Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda peringkat gangsa dan perak hasil penglibatan aktif dalam pelbagai aktiviti belia dan kesukarelawanan.
Selain itu, peranan guru-guru pakar tuisyen akademik yang mengajar Arish secara konsisten telah membantu beliau meraih keputusan UPSR yang sangat cemerlang
Sementara itu, Yayasan Pahang dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pihaknya amat berbangga dengan kejayaan para pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian ke luar negara, khususnya dalam bidang pengajian Islam. Pihak yayasan berharap mereka akan terus cemerlang di bumi barakah Morocco serta pulang kelak sebagai ilmuwan yang dapat menabur bakti kepada negeri dan negara.
Arish kini telah memulakan langkah baharu dalam menuntut ilmu di bumi barakah itu dengan azam untuk menjadi seorang ilmuwan al-Quran yang mampu menyumbang semula kepada pembangunan insan dan kemajuan Islam, khususnya di Negeri Pahang dan di Malaysia secara amnya.
Semoga kejayaan Arish menjadi inspirasi buat semua. Kejayaan tidak hadir secara kebetulan, tetapi lahir daripada pelbagai faktor yang saling melengkapi. Di sebalik pencapaian seorang anak, terdapat ibu bapa yang sabar membimbing serta mendoakan tanpa henti. Masyarakat pula menjadi lingkungan yang menyokong, memotivasikan dan membuka ruang perkembangan.
Kejayaan ini juga membuktikan bahawa kedekatan dengan masjid mampu menyuburkan jiwa, ditanam dengan ilmu, disiplin dan keberkatan. Apabila doa, usaha, bimbingan keluarga dan sokongan komuniti bergabung, lahirlah generasi yang kuat jiwanya dan tinggi cita-citanya. Kisah Arish mengingatkan kita bahawa kejayaan hakiki ialah kekal dekat dengan Allah, berakhlak mulia dan memberi manfaat kepada orang lain.
Catat Ulasan