
Surah: Al Hajj (ayat 58-60)
Ayat ini menegaskan keutamaan dan janji Allah kepada mereka yang berjuang di jalan-Nya, terutama bagi mereka yang berhijrah dan berkorban hingga terbunuh atau meninggal dunia. Allah menjanjikan rahmat dan nikmat yang besar kepada mereka serta memastikan mereka akan ditempatkan di syurga, tempat yang penuh kenikmatan. Allah juga menegaskan bahawa Dia Maha Mengetahui dan Maha Penyabar terhadap segala sesuatu.
Bagi orang yang membalas perbuatan zalim setimpal dengan yang dilakukan terhadapnya, namun kemudian dia tetap dizalimi, Allah menjamin bantuan dan pembelaan terhadapnya. Ini menunjukkan bahawa Allah Maha Pengampun dan Maha Pemaaf, dengan menekankan keadilan-Nya yang tidak akan membiarkan orang yang dizalimi tanpa perlindungan.
*******************
Allah SWT menjelaskan sifat-sifat orang yang tidak beriman kepada-Nya, khususnya kaum musyrikin Mekah antaranya ialah mereka mempunyai sifat keraguan terhadap kebenaran yang dibawa oleh Nabi SAW.
Dalam kehidupan kita sebagai umat Islam, contoh teladan kita ialah Nabi Muhammad SAW dan para sahabat baginda.
Mereka yang kisahnya diabadikan oleh Allah SWT dalam ayat-ayat Al-Quran merupakan contoh keimanan dan kesetiaan yang teguh. Allah SWT menyebut mereka yang berjihad di jalan Allah, kemudian terbunuh atau mati. Sesungguhnya Allah akan memberikan kepada mereka rezeki yang baik, dan Allah adalah sebaik-baik pemberi rezeki.
Allah SWT juga memuji orang-orang yang berhijrah di jalan-Nya, kemudian mereka dibunuh kerana mempertahankan agama Islam. Seperti yang kita maklumi, ramai sahabat Nabi yang gugur, sama ada dibunuh melalui penyiksaan, peperangan, atau kematian biasa. Namun, sifat mereka sangat mulia kerana berhijrah di jalan Allah SWT.
Allah SWT juga memuji salah satu sifat para sahabat Nabi R.A. iaitu kecintaan mereka terhadap agama Allah SWT sehingga mereka sanggup berhijrah, lalu mereka dibunuh kerana perjuangan mereka untuk agama Islam. Ayat ini juga memberi isyarat bahawa umat Islam ialah umat yang berjuang dan berjihad. Walaupun kita hidup di akhir zaman, Allah SWT telah menetapkan perjuangan untuk meninggikan kalimah-Nya sebagai satu kewajipan. Apa sahaja yang kita mampu lakukan, kita berikan sumbangan setakat kemampuan kita. Sekurang-kurangnya, usaha kita diharap menjadi nilai yang dihargai oleh Allah SWT sebagai bukti bahawa kita ingin tergolong dalam kumpulan orang-orang yang berjuang di jalan Allah SWT.
Antara bukti jihad di jalan Allah adalah menghadiri dan memakmurkan rumah Allah serta saling berpesan kepada orang-orang terdekat. Ini adalah amalan yang membuktikan seseorang berjihad di jalan Allah. Semoga Allah SWT membantu dan memberi kekuatan kepada kita semua. Mereka yang berjihad di jalan Allah SWT berdepan dengan dua kemungkinan: sama ada mati syahid atau mati biasa dalam perjuangan. Contoh jelas yang Allah SWT tunjukkan adalah keadaan saudara-saudara kita di Palestin. Mereka mempertahankan tanah suci dengan nyawa mereka, sesuatu yang perlu kita contohi. Semoga Allah SWT memberi kesabaran kepada mereka dan membalas perjuangan mereka dengan ganjaran yang baik.
Terdapat satu hadis yang masyhur, Nabi SAW bersabda: "Barang siapa yang mati dalam keadaan tidak pernah berperang atau tidak pernah berniat untuk berperang (di jalan Allah), maka matinya seakan-akan mati jahiliah." — HR. Muslim no.158. (Nota: Imam Ibnu Mubarak berpendapat bahawa situasi yang disebut berlaku khususnya pada zaman Rasulullah SAW. Namun, Imam Nawawi menjelaskan bahawa Ibnu Mubarak mempertimbangkan dua kemungkinan maksud: secara umum, ia merujuk kepada semua zaman, sementara secara khusus, ia merujuk kepada golongan munafik pada zaman Nabi yang menghindari jihad. Sikap berpaling dari seruan jihad dianggap sebagai salah satu tanda kemunafikan. (Rujuk Syarh Sahih Muslim 13/56)
Seorang ulama' masyhur menyatakan bahawa manusia, sama ada dia mahu atau tidak, apabila tiba waktunya, dia akan mati. Hanya sahaja, Allah s.w.t. memberikan peluang kepada seseorang untuk menentukan keadaan bagaimana dia akan mati. Sama ada dia ingin mati dalam keadaan yang mulia atau sebaliknya. Sesiapa yang bercita-cita untuk memberikan sumbangan kepada agama Allah s.w.t., dia akan dimuliakan dengan kematian yang mulia, meskipun dia meninggal di atas katil. Walaupun hanya di atas katil, niatnya yang ikhlas untuk menyumbang kepada agama Allah s.w.t. akan tetap diberkati.
Perkataan rezeki dalam ayat ini merupakan rezeki di akhirat iaitu syurga. Nabi SAW bersabda, "Apabila kamu memohon syurga kepada Allah, maka mohonlah Firdaus”.— HR. Bukhari no.7423.
Sebagai umat Islam, kita perlu sedar bahawa dunia ini hanyalah tempat untuk mengumpul pahala. Kita bekerja dengan niat yang baik dan berusaha sebaik mungkin, menjadikan setiap usaha sebagai persiapan bertemu Allah s.w.t. Tidak salah untuk sibuk dengan urusan dunia, asalkan tidak melalaikan tanggungjawab kita kepada-Nya.
Kisah dari hadis HR. Muslim no.2807: Pada hari Kiamat, seseorang yang hidupnya penuh kemewahan semasa di dunia dibawa dan dicelup sebentar ke dalam neraka. Setelah merasakan sedikit azabnya, segala kenikmatan hidupnya terlupakan, dan dia mengakui bahawa dia tidak pernah merasakan kesenangan semasa di duna.
Sebaliknya, seseorang yang hidupnya penuh kesulitan di dunia dicelup sebentar ke dalam syurga. Setelah merasakan sedikit kenikmatan syurga, segala kesusahan hidupnya hilang dari ingatan, dan dia mengakui bahawa dia tidak pernah merasai kesusahan.
Inti hadis ini adalah peringatan bahawa nikmat atau derita dunia tidak sebanding dengan apa yang menanti di akhirat.
Dunia bukanlah segalanya, tetapi ia adalah ruang bagi kita untuk mengumpul pahala yang akan dibawa ke akhirat. Contoh terbaik dalam hal ini ialah mengikuti jejak langkah Nabi Muhammad SAW dan para sahabat yang dididik langsung oleh baginda. Sahabat-sahabat Nabi lebih memahami ajaran Islam dan ada di antara mereka yang berniaga sehingga menjadi jutawan. Mereka memanfaatkan kekayaan yang diperoleh di dunia untuk meraih pahala dan melakukan amal kebaikan, menunjukkan bahawa harta dan kelebihan duniawi dapat digunakan sebagai alat untuk mencapai keredhaan Allah.
Dalam sebuah kisah Ibnu Umar pernah bertanyakan kepada seorang lelaki yang kuat beribada dan berzikir. Ditanyakan kepada orang itu siapakah yang menanggung kehidupannya kerana dia menggunakan sebahagian masanya untuk beribadat sahaja. Orang itu lalu menjawab, abangnya yang menanggung dirinya. Ibnu Umar selanjutnya menyatakan bahawa abang orang itu adalah lebih baik kedudukannya berbanding dirinya. Kisah ini membawa maksud kita tidak boleh mengabaikan dunia, sebaliknya menjadikan ruang-ruang yang ada di dunia ini sebagai sumber ibadat untuk mendapatkan syurga di akhirat kelak.
Allah SWT telah menjanjikan kemenangan kepada umat Islam. Umat Islam di Palestin kini sedang diuji dengan ujian berat melalui peperangan dan penindasan. Namun, janji Allah itu pasti akan tiba pada waktu yang telah ditentukan. Cepat atau lambat, kemenangan yang dijanjikan bergantung sepenuhnya pada ketentuan masa di sisi Allah SWT.
Pengajaran
- Nabi menggalakkan umat baginda meminta syurga iaitu syurga Firdaus iaitu syurga yang paling tinggi, walaupun merasakan diri tidak layak.
- Manusia selalu disibukkan dengan dunia, namun yang buruknya ialah kesibukan tersebut membuatkan manusia menjadi lalai kepada tanggungjawab terhadap Allah.
- Nilai kematian seharusnya menjadi cita-cita kerana ia merupakan jalan pertemuan untuk menemui Allah, dan berdoalah semoga dimasukkan ke dalam syurga kerana itu adalah rezeki yang paling besar dari Allah.
- Kita tidak tahu jenis ujian yang Allah berikan. Kadang-kadang, ujian itu hadir untuk mengingatkan kita agar tidak lalai. Semoga kita sentiasa diingatkan oleh Allah dan dibantu dalam setiap keadaan, dan jika diuji dengan sedikit sakit, biarlah itu menjadi peringatan untuk menguatkan ingatan kita terhadap-Nya, sebagaimana yang diajarkan dalam Al-Quran.
- Salah satu perkara yang silap yang dilakukan oleh umat pada masa kini ialah meramal kiamat.
Gambar-Gambar










Nota

Catat Ulasan