Solat Hajat Khas Untuk Saudara Syahiful Din Ismail

31 Disember 2024 — Berikutan perkhabaran Saudara Syahiful Din bin Ismail yang kini berada dalam keadaan kritikal di Hospital Kajang, para jemaah Masjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, Taman Temerloh Jaya (MTTJ) telah menganjurkan solat hajat khas untuk beliau usai solat Isyak pada malam ini dan dipimpin oleh Ustaz Mohd Asri Awang, Imam I MTTJ.

Saudara Syahiful merupakan adik kepada En. Fendi bin Ismail (FBI) yang merupakan seorang yang aktif berkhidmat untuk MTTJ terutama dalam aktiviti kebajikan, khairat kematian dan sebaran informasi untuk komuniti Temerloh Jaya.

Menurut En. Fendi, Keadaan terkini adiknya agak kritikal dan maklumat yang diterima daripada pihak doktor, adiknya kini bergantung sepenuhnya kepada bantuan mesin untuk menyokong fungsi paru-paru, buah pinggang, hati, dan pankreas. Bantuan sokongan ini telah berjalan selama hampir 20 jam, namun sehingga kini masih tiada tindak balas positif yang ditunjukkan. Tempoh sokongan alat ini dijangka akan diteruskan sehingga 72 jam bermula pada malam Isnin, 30 Disember 2024.

Setakat ini, hampir 70% organ dalaman beliau telah gagal berfungsi dengan baik disebabkan pendarahan kotor yang telah merebak ke seluruh badan. Menurut pihak hospital, ini adalah usaha dan bantuan maksimum yang boleh diberikan setakat ini.

Didoakan semoga Allah SWT mempermudahkan segala urusan En. Fendi sekeluarga dalam menghadapi ujian ini.

0 Ulasan

Catat Ulasan

Post a Comment (0)

Terbaru Lebih lama