Kuliah Subuh 22 Disember 2024, Ustaz Hairulazam Abd Rahman

Tarikh Penceramah Tajuk
22/12/2024 Ustaz Hairulazam Abd Rahman

Nota Kuliah

Ketika kita menelusuri ayat-ayat Al-Quran, Allah SWT sering kali memberikan peringatan besar dalam penghujung surah-surah yang panjang. Ayat-ayat ini menjadi wasiat besar daripada Allah SWT kepada umat manusia, mengingatkan tentang perkara asas dalam akidah dan kehidupan.

Ayat 75: "Allah SWT berfirman: “Allah memilih para rasul dari kalangan malaikat dan manusia. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat."

Allah SWT telah menetapkan bahawa hanya Dia yang berhak memilih utusan dari kalangan manusia atau malaikat. Nabi Muhammad SAW adalah nabi terakhir yang dipilih oleh Allah SWT sebagai penyampai risalah kepada umat manusia. Allah mengetahui segala yang kita lakukan, sama ada secara terang-terangan atau tersembunyi, kerana tiada satu pun yang terlepas daripada pengawasan-Nya.


Ayat ini juga menegaskan bahawa semua urusan akan kembali kepada Allah SWT. Oleh itu, kita hendaklah menyerahkan segala keputusan dan perbuatan kepada-Nya. Solat pula disebut sebagai ibadah utama yang menjadi asas dalam hubungan kita dengan Allah SWT.

Ayat 77: "Allah SWT berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman, rukuklah, sujudlah, dan sembahlah Tuhanmu. Lakukanlah kebaikan agar kamu beroleh kejayaan."

Ayat ini mengingatkan kita tentang kepentingan solat dan ibadah yang lain sebagai jalan menuju kejayaan. Ibadah seperti doa, zikir, dan membaca al-Quran juga disebut sebagai ibadah khusus kepada Allah SWT.


Selain itu, kita diajak untuk melakukan kebaikan bukan sahaja kepada Allah, tetapi juga sesama manusia. Ini termasuk berbuat baik kepada ahli keluarga, jiran tetangga, dan masyarakat umum. Nabi Muhammad SAW adalah contoh teladan terbaik dalam perkara ini, dan baginda mengajarkan kepada para sahabat agar menjadi manusia yang sentiasa memberi manfaat kepada orang lain.


Sebagai contoh ialah kebaikan Saidina Uthman ketika di akhir-akhir pemerintahannya, di mana para pemberontak, yang kebanyakannya berasal dari Mesir dan berjumlah sekitar 300 orang, telah mengepung rumah Saidina Uthman dan mendesak beliau meletakkan jawatan sebagai khalifah, namun Saidina Uthman r.a. dengan tegas menolak tuntutan tersebut. Dalam situasi yang semakin genting, beberapa orang sahabat besar datang menawarkan perlindungan dan ingin bertindak balas kepada pemberontak, namun dihalang oleh Saidina Uthman kerana beliau tidak mahu pertumpahan darah berlaku di bumi Madinah. Namun, akhirnya, Saidina Uthman terbunuh dan syahid dalam konflik tersebut.

Ayat 78: "Allah SWT berfirman: "Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya. Dia telah memilih kamu (untuk menjadi umat yang mulia), dan Dia tidak menjadikan kamu dalam agama ini sesuatu yang menyusahkan. (Ikutilah) agama bapa kamu, Ibrahim. Dia (Allah) telah menamakan kamu sebagai orang-orang Muslim sejak dahulu, dan (begitu pula) dalam (Al-Qur'an) ini, agar Rasul itu menjadi saksi atas kamu, dan agar kamu menjadi saksi atas seluruh manusia. Maka dirikanlah solat, tunaikanlah zakat, dan berpegang teguhlah kepada Allah. Dialah pelindungmu, maka Dialah sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik penolong."

Jihad adalah melakukan sesuatu dengan bersungguh-sungguh, dan ini juga termasuk dalam kategori jihad. Contohnya ialah pergi ke masjid, menuntut ilmu, dan berbuat baik kepada ibu bapa. Namun, kemuncak jihad ialah berperang untuk mempertahankan Islam.


Amalan Islam adalah mudah dan senang, serta tidak pernah menyusahkan. Contohnya ialah solat malam. Ia adalah amalan yang mudah, namun kita sering tidak merutinkannya sehingga ia dirasakan sukar. Sebaliknya, seseorang itu mampu bangun pada waktu malam untuk menonton perlawanan bola sepak dan sebagainya. Banyak unsur-unsur yang memudahkan dalam pengamalan agama contohnya solat Jamak, Qasar dan sebagainya. Namun sebenarnya, manusia itu sendirilah yang kalah kepada nafsu sendiri. Contoh lain, orang pada hari ini mampu bangun awal pagi untuk pergi bekerja walaupun dalam keadaan hujan. Namun, mereka tidak mampu melakukan perkara yang sama untuk ke masjid dalam cuaca serupa. Perhatikan di pejabat, walaupun hujan, para pekerja tetap hadir. Tetapi situasi yang sama jarang berlaku di masjid, kerana ramai yang memilih untuk solat di rumah jika hujan dan menyebabkan kehadiran ke masjid menjadi kurang.


Islam juga menggalakan umatnya berbuat baik kepada orang bukan Islam selagi mereka tidak memusuhi Islam. Di Malaysia, orang-orang bukan Islam memahami asas-asas kehidupan orang Islam dan ini menyebabkan tidak timbul sebarang isu besar sebagaimana yang berlaku di sebahagian negara lain. Dalam soal hati mereka pula ia tidak perlu dibincangkan, dan ini bertepatan dengan sebuah kisah dalam satu peperangan, Usamah bin Zaid telah membunuh seorang musuh yang mengucap syahadah kerana menyangka ia hanya untuk mengelak dibunuh. Rasulullah SAW menegur tindakan tersebut, menekankan pentingnya berhati-hati dan tidak menilai niat orang lain.


Kita semua adalah saksi di hadapan Allah, dan Nabi Muhammad SAW akan menjadi saksi bagi umatnya. Allah mengulang-ulang perintah untuk mendirikan solat, menunaikan zakat, serta berpegang teguh kepada Allah sebagai tempat perlindungan. Allah adalah sebaik-baik tempat untuk memohon perlindungan.


Gambar-Gambar
Nota
Gambar

0 Ulasan

Catat Ulasan

Post a Comment (0)

Terbaru Lebih lama