
23 April 2025 – Bertempat di Dewan Seminar MMasjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah (MTTJ), Taman Temerloh Jaya, telah berlangsung Taklimat Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) 2025. Program bermula pada jam 3.00 petang ini dihadiri oleh ibu bapa penjaga calon UPKK 2025 dan guru-guru KAFA bertugas.
Majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh En. Zulkarnain Hashim, Pengerusi KAFA MTTJ merangkap Setiausaha Masjid. Dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa pendidikan KAFA berperanan besar dalam membentuk sahsiah dan akidah anak-anak. Meskipun sering dianggap tidak sepenting akademik arus perdana, pendidikan KAFA sebenarnya menyediakan asas rohani yang kukuh bagi membina kecemerlangan menyeluruh. Beliau turut menyatakan bahawa KAFA merupakan permulaan penting dalam membimbing hala tuju kehidupan anak-anak serta menegaskan perlunya perancangan program yang lebih tersusun untuk meningkatkan pencapaian pelajar.
Sesi diteruskan dengan taklimat utama oleh Guru Besar KAFA Imtiyaz, Ustazah Fazidah Kamarudin, yang memberikan penerangan terperinci berkenaan peperiksaan UPKK. Dalam taklimat tersebut, beliau berkongsi prestasi keputusan UPKK tahun terdahulu sebagai penanda aras, dan turut mengingatkan tentang pentingnya kehadiran penuh murid dalam kelas KAFA. Beliau menyarankan agar ibu bapa dan pelajar sama-sama memanfaatkan teknologi untuk tujuan ulangkaji dan pengukuhan ilmu.
Selain itu, Ustazah Fazidah turut memaklumkan bahawa tahun ini merupakan tahun kedua pelaksanaan format baharu UPKK yang melibatkan sembilan subjek, setelah diperkenalkan pada tahun lalu. Pelaksanaan ini sekaligus menuntut kerjasama yang lebih erat antara guru dan ibu bapa dalam memastikan anak-anak membuat persediaan yang rapi dan menyeluruh.
Taklimat ini juga bertujuan untuk mengesahkan pendaftaran calon-calon UPKK bagi tahun 2025 agar tiada murid tercicir daripada sistem.
Beliau turut mengumumkan bahawa kelas tambahan akan dilaksanakan bermula Mei 2025 bagi membantu persediaan pelajar, dan perincian lanjut berkenaan jadual kelas tersebut akan dimaklumkan dalam masa terdekat.
Taklimat khas ini berakhir pada jam 4.08 petang.


















Catat Ulasan