Kuliah Maghrib 5 Mei 2025, Ustaz Muhammad Faiz Syahmi Shahabuddin

Tarikh Penceramah Tajuk
05/05/2025 Ustaz Muhammad Faiz Syahmi Shahabuddin

Nota Kuliah

 ADA APA DENGAN BULAN ZULKAEDAH?

                                                                                                                                     

Alhamdulillah, kini kita telah melangkah ke bulan Zulkaedah – salah satu daripada bulan yang dimuliakan dalam Islam. Setiap kali masuk bulan ini, amat disunatkan untuk membaca doa menyambut bulan baharu, menandakan penghargaan dan persediaan rohani dalam menyambut detik-detik yang istimewa.


Apakah yang istimewa tentang bulan Zulkaedah?


Dari segi bahasa, "Zul" bermaksud "memiliki", manakala "Qa’dah" berasal dari akar kata yang bermaksud "duduk". Bulan ini diberi nama sedemikian kerana pada bulan inilah kaum Musyrikin Quraisy tidak keluar berperang. Mereka menghormati bulan ini sebagai salah satu bulan haram, yakni bulan yang diharamkan untuk melakukan pertumpahan darah.


Allah SWT menyebut dalam Surah At-Taubah ayat 36 bahawa terdapat 12 bulan dalam setahun, dan daripada jumlah itu, empat bulan adalah bulan haram. Bulan-bulan tersebut ialah Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram, dan Rejab. Di dalam bulan-bulan ini, umat Islam diperintahkan agar tidak menzalimi diri sendiri dengan melakukan maksiat. Seperti yang disebut oleh Ibn Abbas, larangan ini bermaksud larangan melakukan dosa yang lebih berat dalam bulan-bulan tersebut kerana kemuliaannya di sisi Allah.


Lihatlah betapa besarnya rahmat Allah. Walaupun umat Islam baru sahaja selesai berpuasa sebulan di bulan Ramadan, Allah tidak menjadikan bulan Syawal sebagai bulan haram. Sebaliknya, Allah memberi kita rehat dan kelapangan sebelum masuk ke bulan Zulkaedah yang penuh hikmah ini.


“Sesungguhnya masa telah berputar sebagaimana keadaannya ketika Allah menciptakan langit dan bumi. Setahun terdiri daripada dua belas bulan, daripadanya terdapat empat bulan yang haram (suci): tiga daripadanya mengikut turutan iaitu Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram, dan yang keempat adalah Rejab.”— HR. Bukhari no.4662

 

Bagi mereka yang belum sempat menunaikan puasa enam Syawal, ketahuilah bahawa menurut Imam al-Syafie, seseorang masih boleh mengqada’ puasa enam pada bulan Zulkaedah. Namun, ganjaran pahala tidaklah sama seperti mereka yang menunaikannya dalam bulan Syawal. Bahkan, kata Imam Syafie lagi, jika seseorang belum menyempurnakan puasa Ramadan dan tidak menggantinya, kemudian terus menunaikan puasa enam, maka dia tidak akan mendapat pahala seperti berpuasa setahun penuh, kerana syarat utama puasa enam adalah setelah sempurna puasa Ramadan.


Satu lagi keistimewaan bulan Zulkaedah ialah semua empat kali umrah yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW berlaku dalam bulan ini. Ini menunjukkan keutamaan bulan Zulkaedah sebagai bulan yang sangat sesuai untuk memperbanyakkan ibadah, termasuklah ibadah umrah.


Sebagai tambahan, terdapat satu hadis yang menyebut bahawa umrah di bulan Ramadan menyamai pahala haji bersama Nabi SAW. Rasulullah SAW bersabda:

"Sesungguhnya umrah pada bulan Ramadan menyamai haji bersamaku."— HR. Bukhari no.1782


 

ISLAM DAN IMAN


Maksud Islam dari Sudut Bahasa:
Islam dari segi bahasa bermaksud menyerah diri. Apa jua hukum yang telah ditetapkan, seseorang itu akan patuh dan mengikutinya. Contohnya seperti seorang penjenayah yang menyerah diri — maka dia mestilah mengikut segala peraturan yang ditetapkan.
Begitulah juga seorang Muslim, hendaklah mengikut sahaja apa yang telah Allah tetapkan.

Maksud Islam dari Sudut Syarak:
Islam dari sudut syarak ialah satu cara hidup. Hanya Islam yang mengajar umatnya adab dan panduan dari saat bangun tidur hingga kembali tidur. Malah Islam turut mengajar tentang bab bersuci, bahkan hingga cara mencuci najis besar, sesuatu yang tidak diajar oleh agama lain. Islam juga membawa makna merendah diri dan tidak sombong.


Sifat sombong ialah menolak kebenaran dan merendahkan manusia lain. Penyakit sombong ini sangat berbahaya — jika tidak dibuang, ia boleh terbawa hingga ke mati. Allah berfirman:

“Hari yang mana harta dan anak-anak tidak memberi manfaat, melainkan orang yang datang kepada Allah dengan hati yang sejahtera.”— Surah Ash-Shu'ara (26): Ayat 88–89

Hati yang sejahtera antaranya ialah yang bersih daripada sifat sombong.

Reda dengan Segala Ketetapan Islam:
Islam dari segi syarak juga bermaksud patuh dan mengikut segala suruhan serta menjauhi segala larangan. Reda dengan semua hukum, meskipun tidak mengamalkannya. Contohnya seperti hukum faraid dan poligami — wajib percaya dan reda walaupun tidak diamalkan.

Perbezaan Istilah dalam Bahasa dan Syarak:
Pembahagian maksud dari segi bahasa dan syarak berlaku selepas kedatangan Islam.
Contohnya:

  • Solat dari segi bahasa bermaksud doa, tetapi apabila Islam datang, maksudnya juga merangkumi sembahyang.


Perbezaan Antara Islam dan Iman:
Jika disebut Islam dan Iman dalam satu ayat, maka maksudnya adalah berbeza.
Namun jika disebut secara berasingan dalam ayat yang berlainan, maka keduanya membawa maksud yang sama.

  • Islam merujuk kepada amalan zahir.
  • Iman merujuk kepada amalan batin.

Contoh lain:

  • Fakir ialah orang yang tiada sebarang pendapatan.
  • Miskin ialah orang yang ada pendapatan, tetapi tidak mencukupi.


Kesimpulan:
Islam dan iman tidak boleh dipisahkan. Sesiapa yang bersifat dengan Islam, maka dia juga bersifat dengan iman, dan begitulah sebaliknya.

 

Gambar-Gambar
Nota
Gambar

0 Ulasan

Catat Ulasan

Post a Comment (0)

Terbaru Lebih lama