Kuliah Maghrib 8 Mei 2025, Ustaz Arselan Hakim Mohd Salleh

Tarikh Penceramah Tajuk
08/05/2025 Ustaz Arselan Hakim Mohd Salleh

Nota Kuliah

Perbincangan kita memasuki bahagian akhir Kitab Amar Ma’ruf Nahi Mungkar.


Terdapat beberapa hadis Qudsi dalam Kitab Amar Ma’ruf Nahi Mungkar ini. Hadis pertama ialah pesanan Nabi SAW supaya melaksanakan amar ma’ruf nahi mungkar. Pesanan ini bukan hanya untuk para sahabat, tetapi sampai juga kepada umat kini. Persoalannya, adakah pelaksanaan amar ma’ruf nahi mungkar pada hari ini setanding dengan pelaksanaan para sahabat terdahulu?.


Amar ma’ruf nahi mungkar bermaksud menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Untuk melakukannya, ia memerlukan kuasa. Oleh itu, lihatlah sejauh mana kuasa yang dimiliki dan gunakan sebaik mungkin, sama ada sebagai ibu bapa, ketua jabatan, pemimpin negeri, atau negara.


Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah RA, disebut bahawa Nabi SAW masuk ke rumah dan kemudian keluar. Pada waktu itu, dapat difahami bahawa wahyu telah turun kepada Nabi SAW. Tanda turunnya wahyu dikenali melalui perubahan pada wajah baginda. Para sahabat dapat mengenali perubahan wajah Nabi SAW ketika baginda gembira, sedih, atau ketika menerima wahyu. Nabi SAW tidak bercakap dengan sesiapa sehinggalah baginda duduk dan mengucapkan syukur kepada Allah. Kemudian baginda bersabda:


"Wahai manusia, sesungguhnya Allah berfirman kepada kalian: Suruhlah melakukan kebaikan dan cegahlah kemungkaran. Jika tidak dilakukan, maka Allah tidak akan menerima doa kalian." (HR. Tirmidzi no. 2499)

Allah tidak memakbulkan doa jika amar ma’ruf nahi mungkar diabaikan. Walaupun banyak berdoa dan memohon kepada Allah, permintaan itu tidak akan dikabulkan jika suruhan ini tidak dipenuhi.

Sebagai contoh, dalam keluarga: jika anak-anak tidak bersolat, tidak berpuasa, atau tidak menjaga aurat, maka tanggungjawab ibu bapa ialah menegur dan membetulkan. Ketua keluarga mempunyai kuasa untuk melaksanakan amar ma’ruf nahi mungkar di dalam rumahnya. Begitu juga di tempat kerja, ketua perlu menasihati staf untuk menunaikan solat dan menegur kesalahan yang berlaku. Jika tidak ditegur, maka ketua itulah yang akan dipersoal di akhirat.


Nabi SAW bersabda:
"Sesiapa yang melihat kemungkaran, hendaklah mengubahnya dengan tangan (kuasa). Jika tidak mampu, hendaklah dengan lisan (nasihat). Jika tidak mampu juga, hendaklah dengan hati. Dan itu adalah selemah-lemah iman." (HR. Muslim no. 49)

Mengubah dengan tangan bermaksud menggunakan kuasa. Seorang bapa boleh menegur dan mendenda anak kerana dia berkuasa. Pemimpin boleh menggantung tugas, memotong gaji, kerana mereka ada kuasa. Namun jika seseorang hanya mampu dengan kata-kata, maka tegurlah dengan lisan. Jika tidak mampu menegur secara terang, sekurang-kurangnya benci dalam hati. Jika tidak ada kebencian dalam hati terhadap kemungkaran, maka tiada lagi tanda iman.


Terdapat juga golongan yang Allah firmankan dalam al-Qur’an sebagai golongan terbaik kerana melaksanakan amar ma’ruf nahi mungkar. Selagi umat ini melaksanakan tanggungjawab itu, mereka adalah umat terbaik. Tetapi jika meninggalkannya, maka mereka akan menerima kemurkaan Allah.


Satu lagi ayat menyebut bahawa orang-orang beriman lelaki dan perempuan saling menasihati antara satu sama lain kerana mereka melaksanakan amar ma’ruf nahi mungkar. Itulah tanda kasih sayang – saling mengajak kepada kebaikan. Jika melihat orang tidak ke masjid, tegur. Jika tidak boleh sekali, ulang dua kali, tiga kali, lama-kelamaan mungkin akan melembutkan hati orang itu.


Allah juga melaknat kaum Bani Israel melalui lisan Nabi Daud dan Nabi Isa kerana mereka tidak mencegah kemungkaran. Mereka membiarkan maksiat berleluasa walaupun ulama-ulama mereka ramai. Zina, pembunuhan, dan kerosakan berlaku tanpa teguran, menyebabkan mereka dilaknat.


Kisah ini adalah peringatan supaya jangan membiarkan kemungkaran tersebar. Sekarang banyak cara menegur – boleh guna TikTok, Facebook, Instagram, dan sebagainya. Gunakanlah semua medium itu untuk menyampaikan kebaikan dan mencegah keburukan.


Dalam satu hadis, Nabi SAW bersabda:
"Akan muncul pemimpin-pemimpin (amir) yang sebahagiannya melakukan perkara sesuai dengan syarak, dan sebahagian lagi menyalahi syarak. Maka sesiapa yang membenci kemungkaran dalam hati, dia selamat. Sesiapa yang menyokong dan meredhai pemimpin itu dalam maksiat, dia berdosa." (HR. Muslim no. 2580)

Sahabat bertanya kepada Nabi SAW, adakah perlu memerangi pemimpin seperti itu? Nabi SAW menjawab:
"Selagi mereka masih mendirikan solat bersama kalian, maka jangan perangi mereka." (HR. Muslim no. 2581)

Ini menunjukkan bahawa solat adalah garis sempadan dalam menilai kepimpinan. Nabi SAW, para sahabat dan para khalifah bukan sahaja pemimpin negara tetapi juga imam dalam solat.

Ada kisah tentang Yusuf Hajjaj al-Thaqafi yang menjadi gabenor Kufah. Beliau digeruni kerana pernah membunuh lebih sejuta orang, termasuk sahabat-sahabat Nabi. Namun apabila beliau menjadi imam solat, para sahabat tetap bersolat di belakangnya kerana hadis Nabi SAW menyebut selagi pemimpin itu masih mendirikan solat, maka jangan diperangi.


Walaupun tiada ulama mendekatinya dan beliau meninggal dunia dalam keadaan dipulaukan, jasanya tetap dikenang kerana beliaulah yang meletakkan baris dan tanda dalam al-Qur’an. Beliau juga memastikan orang yang tidak bersolat dihukum. Sesiapa yang solat subuh berjemaah, akan terselamat daripada hukuman.


Nabi SAW menyebut:
"Sesiapa yang menunaikan solat subuh berjemaah, maka dia berada dalam lindungan Allah." (HR. Muslim no. 657)

Itu adalah jaminan keselamatan daripada Allah.

Solat subuh berjemaah menjadi ukuran sama ada seseorang itu benar-benar taat atau tidak. Jika masih berat untuk bangun dan berjemaah subuh, bagaimana mungkin mendapat kemenangan dalam perjuangan Islam?


Umat Islam akan mendapat kemenangan hanya apabila mereka solat subuh seperti solat Jumaat – ramai dan penuh. Jika subuh masih kosong, maka belum masanya untuk menang. Perjuangan sebenar bukan hanya mengangkat senjata, tetapi melawan nafsu sendiri dan melaksanakan tanggungjawab agama.


Akhirnya, disebut dalam satu hadis:
"Sesungguhnya Allah akan memanggil hamba-Nya pada hari kiamat dan berfirman, ‘Apakah yang menghalang engkau daripada menegur apabila melihat kemungkaran?’” (HR. Bukhari no. 7307)

Jawabnya, "Aku takut kepada manusia." Maka Allah akan berfirman, "Engkau lebih takut kepada manusia daripada takut kepada-Ku?"

Itulah bentuk kegagalan paling besar – takut kepada manusia, tetapi tidak takut kepada Allah. Maka mulai hari ini, jangan ada rasa takut untuk menegur yang salah, menyampaikan yang benar, melaksanakan amar ma’ruf nahi mungkar dengan kuasa, dengan lisan, dan dengan hati.

Gambar-Gambar
Nota
Gambar

0 Ulasan

Catat Ulasan

Post a Comment (0)

Terbaru Lebih lama