Kuliah Subuh 15 Jun 2025, Ustaz Hairulazam Abd Rahman

Tarikh Penceramah Tajuk
15/06/2025 Ustaz Hairulazam Abd Rahman

Nota Kuliah

Surah Maryam 77—80


 77. Maka tidakkah engkau melihat (hairan) orang yang kufur kepada ayat-ayat Kami serta berkata: “Sesungguhnya aku akan diberi harta dan anak (yang banyak)?”


78. Adakah dia telah melihat perkara ghaib atau dia telah membuat perjanjian di sisi Tuhan Yang Maha Pemurah?


79. Tidak sekali-kali! Kami akan menulis apa yang dikatakannya itu, dan Kami akan lanjutkan azab kepadanya dengan panjang-panjangnya.


80. Dan Kami akan mewarisi segala yang dikatakannya itu (yakni harta dan anak-anaknya), dan dia akan datang kepada Kami bersendirian.


Khabab bin Al-Arat terpahat sebagai salah seorang sahabat yang paling gigih dan tabah dalam mempertahankan keimanan. Beliau merupakan antara yang terawal memeluk Islam di Makkah, dan hidup sebagai seorang hamba milik wanita Quraisy. Keislamannya mengundang kemurkaan golongan musyrik, dan beliau menjadi sasaran penyeksaan yang sangat kejam. Belakangnya pernah dibakar dengan bara api sehingga dagingnya hancur dan melekat dengan tulang.


Dalam suatu peristiwa yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas, Khabab pernah menuntut bayaran upah daripada seorang pembesar Quraisy yang terkenal dengan kedegilan dan kesombongannya, iaitu al-‘Āṣ bin Wā’il. Khabab ketika itu bekerja sebagai tukang besi dan telah menyiapkan pedang untuk al-‘Āṣ. Namun apabila beliau menuntut haknya, al-‘Āṣ menolak dengan sinis dan berkata bahawa dia tidak akan membayar apa-apa melainkan Khabab kufur terhadap Nabi Muhammad SAW.


Dengan penuh keberanian dan keyakinan, Khabab menjawab bahawa beliau tidak akan sesekali kufur, walaupun al-‘Āṣ mati dan dibangkitkan semula. Menyedari Khabab begitu yakin terhadap kehidupan selepas mati, al-‘Āṣ membalas dengan angkuh:

"Jika aku benar-benar dibangkitkan nanti, nescaya aku akan dikurniakan harta dan anak-anak seperti yang aku miliki hari ini."

Kata-kata sombong ini menjadi sebab turunnya ayat 77 hingga 80 dalam Surah Maryam, di mana Allah berfirman:


“Tidakkah engkau melihat orang yang kufur kepada ayat-ayat Kami dan berkata: ‘Sesungguhnya aku pasti akan diberi harta dan anak-anak?’”
(Surah Maryam: 77)

 

Allah mengecam keras ucapan dan sangkaan palsu al-‘Āṣ. Bagaimana mungkin seorang yang menentang wahyu, menyeksa orang beriman, dan angkuh terhadap Allah, masih menyangka bahawa dia akan mendapat ganjaran baik di akhirat? Ayat berikutnya menyindir:


“Adakah dia melihat perkara ghaib atau dia telah membuat perjanjian di sisi Tuhan Yang Maha Pemurah?”
(Surah Maryam: 78)

 

Allah menegaskan bahawa ucapan itu akan dicatat, dan azabnya akan dipanjangkan. Segala kekayaan dan kebanggaan dunia akan hilang darinya. Dia akan datang menghadap Tuhan dalam keadaan sebatang kara, tanpa harta, tanpa pembela, dan tanpa anak-anak yang dibanggakan.



Gambar-Gambar
Nota
Gambar

0 Ulasan

Catat Ulasan

Post a Comment (0)

Terbaru Lebih lama