
Tarikh | Penceramah | Tajuk |
---|---|---|
14/06/2025 | Dr. Haji Abdullah Ismail | — |
Marilah kita bersyukur kepada Allah SWT kerana kita telah memasuki 17 Zulhijjah, salah satu bulan yang agung. Empat daripada dua belas bulan telah Allah SWT tetapkan sebagai bulan haram, dan salah satunya adalah bulan yang penuh dengan kebaikan yang disediakan untuk hamba-hamba-Nya. Maka hendaklah para hamba mengambil peluang dan ruang atas kebaikan serta tawaran yang Allah SWT sediakan. Akhirnya, syurga adalah tujuannya.
Sebagai permulaan siri tazkirah malam ini, marilah kita sama-sama merenung betapa Allah menjadikan kita, bukan sekadar secara biasa, tetapi diciptakan dengan penuh rahmat dan kasih sayang. Di akhir kehidupan kita nanti, telah disediakan syurga. Maka pengakhiran perjalanan hidup setelah dibangkitkan dari kematian nanti adalah untuk masuk ke dalam syurga.
Mari kita renung sedikit tentang konsep ibadah. Orang yang baik sebenarnya ialah mereka yang memahami falsafah ibadah. Contohnya, mereka yang mengerjakan haji, jika memahami falsafah ibadah haji, akan merasai makna yang sangat besar. Segala ibadat yang dilaksanakan, sama ada rukun, wajib atau sunat, adalah satu proses untuk menyempurnakan ibadah tersebut. Jika kita hanya fokus kepada bacaan, zikir dan perbuatan luaran semata-mata tanpa memahami falsafah di sebaliknya, maka kita akan terlepas daripada makna besar ibadat haji.
Setiap kali masuk 70,000 malaikat bertawaf di Baitul Ma’mur, dan setelah selesai, mereka tidak akan bertawaf lagi. Demikianlah agungnya perintah Allah. Di bumi pula, terdapat Kaabah yang dibina oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail, dan kedudukannya bertentangan dengan Baitul Ma’mur di langit. Para malaikat di langit bertawaf, dan malaikat di bumi juga bertawaf. Daripada Anas RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
“Kemudian aku diperlihatkan al-Baitul Ma’mur. Lalu aku bertanya kepada Jibril, dan Jibril berkata: 'Ini adalah al-Baitul Ma’mur. Di dalamnya solat setiap hari tujuh puluh ribu (70,000) malaikat. Apabila mereka keluar, mereka tidak akan kembali lagi ke sana (kerana akan diganti dengan malaikat yang lain).'”— HR.Bukhari (3207) dan Muslim (164).
Al-Baitul Ma’mur berada selari dengan Kaabah di bumi. Ia menjadi tempat ibadah para malaikat, sebagaimana manusia bertawaf dan solat di Kaabah. Setiap hari, 70,000 malaikat masuk untuk beribadah di dalamnya, dan tidak akan kembali kerana jumlah malaikat adalah sangat besar, masing-masing hanya berpeluang sekali sahaja.
Mereka yang memahami kehebatan tawaf tidak akan mengambil peluang untuk berbual-bual atau berswafoto ketika bertawaf, walaupun perkara tersebut tidak membatalkan tawaf. Mereka tahu bahawa ketika itu terdapat malaikat yang akan mengangkat doa dan zikir mereka kepada Allah SWT.
“Tidak ada hari-hari yang amal soleh padanya lebih Allah sukai melebihi hari-hari ini — iaitu 10 hari (pertama) Zulhijjah.”
Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, walaupun jihad di jalan Allah?”
Baginda menjawab:
“Ya, bahkan jihad pun tidak (melebihi nilainya), kecuali seorang yang keluar (berjihad) dengan diri dan hartanya, lalu tidak kembali dengan apa-apa pun (mati syahid dan habis hartanya).”—HR. Bukhari (969)
“Ia menghapuskan dosa setahun yang lalu dan setahun yang akan datang.”— HR.Muslim (1162)
Korban juga adalah amalan yang disyariatkan selepas solat sunat Aidiladha. Nabi Ibrahim AS telah diperintahkan untuk menyembelih anaknya sendiri. Namun Allah gantikan dengan binatang sembelihan.
Setiap daripada kita juga memiliki dunia kita yang tersendiri (seperti pangkat dan sebagainya). Kadangkala, disebabkan terlalu sayang pada pangkat, keluarga dan sebagainya, kita sanggup mengabaikan agama. Ada juga yang terlalu sayang pada duit — Maka Allah menguji dengan dengan ibadah korban. Walaupun nilai bahagian korban — RM700 hingga RM800 di dalam negara, atau RM400 di luar negara, namun masih ada yang sayang dunia dan tidak mahu mengorban duit. Namun, tidak dinafikan ramai juga dalam kalangan kita yang sanggup berkorban demi Allah.
Nabi menyebut bahawa darah korban belum pun menitis ke tanah, Allah telah menerimanya— Daripada ‘Aisyah, Rasulullah SAW bersabda;
“Sesungguhnya darah korban itu akan sampai kepada redha Allah sebelum ia jatuh ke bumi…”— HR. Tirmidzi no.1493
Diceritakan juga bagaimana di akhirat kelak, manusia akan berada dalam keadaan dahsyat – berpeluh sehingga lautan peluh terbentuk, dan masing-masing tenggelam dalam peluh sendiri. Namun, ada golongan yang dinaungi, malah disediakan kenderaan daripada haiwan korban yang mereka sembelih di dunia.
Ibadah korban ini memberi kesan bukan hanya di dunia, tetapi juga di akhirat. Di akhirat kelak manusia akan berada dalam keadaan penuh penyesalan. Tetapi orang yang beriman adalah mereka yang merebut peluang. Mereka yang lemah akan membiarkan peluang itu berlalu.
Ramai dalam kalangan pelajar, contohnya, berbeza dalam cara menggunakan peluang. Ada yang fokus belajar, ada yang leka bermain. Begitu juga Ramadan dan Zulhijjah – dua bulan yang diberi kelebihan, tetapi tidak semua merebutnya. Tidak pasti kita akan bertemu lagi dengan Ramadan atau Zulhijjah akan datang.
Mengambil iktibar peristiwa kematian 15 pelajar UPSI baru-baru ini. Diceritakan tentang seorang pelajar yang tidak sempat menaiki bas pulang ke kampus. Dia terselamat daripada kemalangan yang meragut nyawa 15 orang rakannya, hanya kerana ditakdirkan dengan sedikit kelewatan. Maka, hidup dan mati adalah rahsia Allah. Kita tahu bila kita lahir, tetapi tidak tahu bila kita akan mati.
Tetapi ada juga yang leka, membuat dosa tanpa rasa bersalah. Apabila mati, fitnahnya masih hidup – terus tersebar melalui media sosial.
Namun, peluang ke syurga terbuka luas. Nabi menyebut, sesiapa yang taat kepada baginda, masuk ke syurga. Sesiapa yang enggan, dia memilih untuk tidak masuk syurga. Antara usaha untuk taat ialah hadir ke masjid, membaca al-Quran, melakukan solat, berpuasa dan sebagainya.
Dari Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW bersabda:
"Setiap umatku akan masuk syurga kecuali yang enggan."Para sahabat bertanya, "Siapakah yang enggan, wahai Rasulullah?". Baginda menjawab: "Barangsiapa yang taat kepadaku, dia akan masuk syurga, dan barangsiapa yang durhaka kepadaku, maka dialah yang enggan."— HR.Bukhari (7280).
Ketaatan kepada Nabi bukan hanya pada perkara wajib, bahkan juga pada perkara sunat. Kita mesti berusaha untuk melaksanakan semua yang Nabi suruh, dan meninggalkan yang Nabi larang.
Nabi juga menceritakan bagaimana di syurga nanti, ahli syurga akan bertanya kepada Allah tentang rakan-rakan mereka yang dahulu bersama solat, puasa, ke masjid, dan membaca al-Quran, tetapi tiada di syurga. Mereka merayu kepada Allah agar mengeluarkan rakan-rakan itu dari neraka. Lalu Allah izinkan mereka mengeluarkan rakan-rakan mereka.
Ini menunjukkan persahabatan itu sangat bererti. Kawan yang baik akan membawa kita ke syurga. Bahkan, jika masih ada iman walau sebesar zarah, Allah akan keluarkan mereka dari neraka.
Oleh itu, jagalah persahabatan. Kenali kawan-kawan kita. Bersahabat kerana Allah. Insya-Allah, kelak mereka akan mencari kita di akhirat dan membawa kita ke syurga.
Begitulah besarnya rahmat Allah. Dia tidak mahu hamba-Nya kekal dalam neraka. Bahkan, Dia akan keluarkan sesiapa yang masih ada iman, walaupun sekecil zarah. Maka, bersyukurlah dengan nikmat iman dan peluang-peluang yang diberi.















Catat Ulasan