Kuliah Maghrib 16 Jun 2025, Ustaz Razemi Kasim

Tarikh Penceramah Tajuk
16/06/2025 Ustaz Razemi Kasim

Nota Kuliah

 Hadis daripada Ibn Abbas RA, bahawa Rasulullah SAW pernah memberi nasihat kepada seorang lelaki. Maka nasihat itu juga sampai kepada umat Islam hari ini. Hadis ini biasa didengar, namun perlu diulang kerana Rasulullah SAW telah wafat dan tiada lagi hadis baru. Hadis ini menjadi peringatan dalam menempuh kehidupan.


Rasulullah SAW bersabda:
"Rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara yang lain."

  1. Masa muda sebelum datang tua.
    Bolehkah kembali menjadi muda setelah berumur 70 tahun? Tidak boleh lagi. Masa muda yang telah berlalu tidak dapat dikembalikan. Tenaga dan kemampuan seperti dahulu juga tidak dapat dikembalikan. Maka, rebutlah masa muda sebelum tua.

  2. Sihat sebelum sakit.
    Kini masih dikurniakan kesihatan. Masih mampu datang ke rumah Allah, menanam pokok, menikmati makanan. Namun jika sakit, semua itu tidak dapat dilakukan lagi. Ada yang terlantar dan tidak mahu makan walau dihidangkan makanan enak. Gunakanlah peluang kesihatan ini untuk beribadah dan beramal.

  3. Kaya sebelum miskin.
    Ramai yang masih ada pencen, masih ada harta dan kesenangan. Gunakan segala kekayaan yang dianugerahkan oleh Allah SWT ke jalan-Nya sebelum diuji dengan kemiskinan.

  4. Masa lapang sebelum sibuk.
    Kini masih diberi kelapangan, masih sempat duduk di masjid. Gunakanlah masa lapang yang ada untuk mendekatkan diri kepada Allah, sebelum datang kesibukan yang menyempitkan ruang amal.

  5. Hidup sebelum mati.
    Ramai yang tidak sempat menyambut Aidilfitri, tidak sempat berpuasa, tidak sempat berkorban, kerana Allah telah menjemput mereka terlebih dahulu. Maka, gunakanlah hayat yang masih ada. Nafas yang masih dikurniakan tidak diketahui berapa lama lagi berbaki. Tidak seperti baki dalam akaun bank yang boleh diketahui, umur tidak dapat dihitung atau dijangka. Mati boleh datang dalam keadaan sihat. Kemalangan, penyakit, dan takdir Allah berlaku tanpa mengira usia. Maka, gunakan hidup sebaik-baiknya sebelum maut menjemput.


Hadis ini sangat penting dalam kehidupan. Jangan sia-siakan hidup yang masih dikurniakan nafas. Gunakanlah sebaiknya sebagai persiapan menghadapi kematian yang pasti datang.


Hadis Rasulullah SAW ini membuka minda dan menjadi petunjuk untuk melaksanakan lima perkara yang disebutkan. 



 Membaca al-Quran. 


Ketahuilah bahawa membaca al-Quran adalah antara zikir yang paling utama. Ia merupakan "fadhil al-awla", iaitu keutamaan tertinggi dalam zikir kepada Allah SWT. Allah SWT memberi kelapangan dan kesempatan. Maka, gunakanlah untuk membaca al-Quran selagi masih hidup. Jangan sampai orang lain pula yang membacakan untuk diri selepas mati. Jadikan bacaan al-Quran sebagai bekalan, kerana ia zikir yang paling utama.


Bacaan al-Quran dituntut agar dilakukan dengan tadabbur, iaitu memahami dan menghayati maknanya. Bukan hanya sekadar membaca. Kini banyak al-Quran yang disertakan dengan terjemahan, memudahkan pemahaman. Fahamilah maknanya agar tidak menjadi seperti burung kakak tua yang hanya pandai menyebut tanpa memahami. Burung itu boleh membaca, tetapi tidak faham apa yang dibaca.


Manusia pula diajar agar membaca dengan tadabbur, memahami maksud dan makna setiap ayat. Bila memahami, akan timbul rasa keinsafan, harapan, dan ketakutan kepada Allah SWT.


Disunatkan kepada sesiapa yang membaca al-Quran, sama ada dalam solat atau di luar solat:

  • Jika melalui ayat rahmat, maka mintalah rahmat daripada Allah SWT.

  • Jika melalui ayat azab, maka berlindunglah daripada azab Allah.

  • Jika melalui ayat kesucian, maka ucapkanlah Subhanallah, Tabaraka Allah, atau Jallat ‘azamat Rabbina.


Perkara ini hanya dapat dilakukan jika memahami ayat yang dibaca. Tidak sesuai membaca doa atau lafaz tertentu pada ayat yang tidak kena pada tempatnya. Maka, sangat penting memahami kandungan bacaan al-Quran.


Kenapa kita membaca al-Qur’an? Setiap daripada kita mempunyai tujuan tersendiri dalam membaca al-Qur’an. Antara tujuan utama ialah untuk mendapat rahmat daripada Allah SWT dan memperoleh keredaan-Nya. Inilah antara matlamat kita membaca al-Qur’an.


Dalam sebuah hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abu Umamah al-Bahili RA, beliau berkata: "Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda; 


“Bacalah al-Qur’an, sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat memberi syafaat kepada pembacanya.” — HR. Muslim no.804


Hadis ini sering kita dengar. Tujuan kita membaca al-Qur’an ialah untuk mendapatkan rahmat dan juga agar al-Qur’an itu sendiri menjadi pemberi syafaat kepada pembacanya di hari kiamat.


Sama-sama kita membaca al-Qur’an, kerana membaca al-Qur’an bukan sekadar ibadah rutin, tetapi satu keperluan. Jangan sekadar pandai membaca hadis, tetapi tidak membaca al-Qur’an. Al-Qur’an yang dibaca akan menjadi syafaat kepada kita di hari kiamat. Dalam hadis yang lain yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas RA, Rasulullah SAW; 


“Sesungguhnya orang yang tidak ada sedikit pun al-Qur’an dalam dadanya, ibarat rumah yang telah roboh.” — HR. Tirmidzi no.2913

 

Perhatikan perumpamaan ini. Orang yang tidak membaca al-Qur’an disamakan seperti rumah yang rosak dan roboh. Jangan biarkan diri menjadi seperti rumah yang roboh kerana tidak mengandungi al-Qur’an dalam dada. Tidak membaca al-Qur’an bermakna kita telah kehilangan sesuatu yang sangat penting dalam hidup.


Satu lagi hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Aisyah RA: Baginda bersabda, maksudnya;


“Orang yang mahir membaca al-Qur’an akan bersama para malaikat yang mulia dan taat kepada Allah. Manakala orang yang membaca al-Qur’an dengan merangkak-rangkak, dan sukar untuk membacanya, akan mendapat dua ganjaran pahala.”— HR. Buhari no.4937


Ini menunjukkan bahawa walaupun bacaan seseorang itu tidak fasih, sebutan belum betul dan tajwid belum sempurna, tetapi tetap diberi ganjaran dua kali ganda. Ini menjadi galakan bagi mereka yang masih kurang mahir membaca al-Qur’an supaya terus belajar dan berusaha memperbaiki bacaan. Jangan tinggal al-Qur’an hanya kerana tidak pandai membacanya. Rugi besar hidup ini jika tidak membaca al-Qur’an, tidak belajar membacanya, bahkan tidak memegangnya pun.


Inilah antara tujuan dan kelebihan membaca al-Qur’an sebagaimana yang disebut dalam hadis-hadis Nabi SAW.


Imam Nawawi juga telah menghimpunkan semua perkara ini dalam sebuah kitab ringkas yang mengandungi adab-adab membaca al-Qur’an, yang sepatutnya diketahui oleh setiap pembacanya. Kitab tersebut bertajuk Fi Adabi Hamalatil Qur’an.


Kitab tersebut membincangkan tentang adab-adab membaca al-Qur’an yang perlu diketahui dan diamalkan. Imam Nawawi menyatakan bahawa beliau menyusun kitab ini secara ringkas untuk memudahkan pemahaman, dan sesiapa yang ingin penjelasan lebih lanjut bolehlah merujuk pada tempat yang sesuai.


Seterusnya, yang disebut oleh Imam Nawawi, katanya: “Kenalah seseorang Islam selalu membaca al-Quran pada waktu malam dan juga siang hari. Sama ada ketika dalam pelayaran, dalam musafir, atau ketika berada di rumah.”


Kadang-kadang dalam musafir, kita simpan al-Quran dan hanya tunggu sampai rumah baru nak baca. Sebenarnya tidak. Dalam perjalanan pun, sepatutnya kita baca al-Quran. Maka, sebagai orang Islam, hendaklah kita sentiasa membaca al-Quran, sama ada pada waktu malam ataupun siang hari. Tidak kira masa—siang ke malam ke—baca al-Quran. Sebagai contoh, bagi yang telah bersara, lepas solat duha bolehlah membaca al-Quran. Pada waktu malam pun begitu juga, kalau sebelum tidur, bacalah walaupun sekejap.


Ulama Salafus Soleh mempunyai pelbagai cara dan amalan yang berbeza-beza dalam mengkhatamkan al-Quran. Siapakah Salafus Soleh itu?. Mereka ialah ulama dalam lingkungan 300 tahun selepas kewafatan Rasulullah SAW. Ada antara mereka yang mengkhatamkan bacaan al-Quran setiap dua bulan sekali. Ada pula yang mengkhatamkan sebulan sekali. Ada yang sepuluh hari sekali. Ada pula yang lapan hari sekali. Ada yang seminggu sekali. Ini ialah kebiasaan mereka.


Lihat bagaimana hebatnya mereka. Ulama Salaf sangat kuat ingatannya, sangat tekun dengan al-Quran. Mereka khatamkan berulang kali. Tetapi kita bagaimana? Kita kadang-kadang hanya khatam setahun sekali, itupun secara beramai-ramai, hanya ketika bulan Ramadan. 


Sedangkan orang terdahulu boleh sampai lapan kali khatam sehari. Mereka begitu hebat dengan al-Quran. Namun, jika kita tidak mampu seperti mereka, paling kurang istiqamah membaca. Biar perlahan-lahan pun tak mengapa, asalkan baca. Mungkin dua bulan baru khatam. Itu pun sudah baik. Ambillah contoh daripada mereka. Kalau tak mampu seminggu, cubalah sebulan, atau dua bulan. Asalkan kita ada bacaan. Ulama dahulu sangat kuat hafalan, sangat tekun dengan bacaan mereka. Kita sekarang, kadang-kadang baca pun tergagap. Diri ini pun begitu juga. Tetapi insya-Allah, teruskan juga. Di tempat kita pun ramai yang suka baca al-Quran. Mana yang tergagap, baiki. Teruskan membaca.


Jadikan membaca al-Quran sebagai amalan harian. Jika tidak mampu banyak, mulakan dengan satu muka surat waktu pagi dan satu muka surat waktu malam. Gunakan masa terluang untuk membaca al-Quran, bukan untuk hal yang sia-sia seperti membaca mesej atau media sosial semata-mata. Gunakan telefon pintar pun boleh, sebab sekarang al-Quran pun ada dalam telefon. Boleh baca di mana-mana.


Namun, jika ingin membaca dari mushaf, perlulah dalam keadaan berwuduk. Tetapi jika membaca dari telefon, tidak disyaratkan wuduk. Kalau sedang dalam kenderaan, tidak sempat berwuduk, bacalah dari hafalan.


Contohnya, jika ingat Surah al-Mulk, bacalah sepanjang perjalanan. Insya-Allah, Allah pelihara kita. Atau baca Surah al-Ikhlas. Baca berulang-ulang sepanjang jalan sampai ke destinasi. Jika baca Surah al-Ikhlas sepuluh atau dua puluh kali, maka satu mahligai disediakan di syurga (HR. Thabrani no.281). Setiap sepuluh kali baca Surah al-Ikhlas, satu mahligai. Jadi, lihat berapa kali kita mampu baca. Berapa banyak mahligai kita dapat, bergantung pada seberapa banyak bacaan kita.


Allah akan membina mahligai di dalam syurga nanti, tetapi kita sendiri yang malas. Malas untuk buka al-Quran. Sebaliknya, kita buka radio, buka perkara lain dalam kereta. Jangan begitu. Kalau pun malas untuk membaca al-Quran, bertasbihlah sepanjang jalan. 


Jika kita tidak menghafal banyak ayat lain, bacalah ayat ini yang kita mampu. Ulang-ulang bacaan ini sepanjang jalan. Bacalah. Tidak ada masalah. Allah akan memberi keselamatan kepada kita. Inilah kelebihan al-Quran.


Kelebihan al-Quran sangat besar. Jangan sampai kita tak baca. Ruang kelapangan yang Allah SWT berikan kepada kita jangan disia-siakan. Gunakan kelapangan itu untuk berzikir atau membaca al-Quran.


Di antara orang yang mengkhatamkan al-Quran empat kali pada waktu malam dan empat kali pada waktu siang ialah Syeikh Jamaliyah bin al-Qasim al-Sufi R.A.. Beliau ialah antara orang yang paling banyak mengkhatamkan al-Quran dalam sehari semalam, sebagaimana yang diberitakan kepada kami. Ini disebut oleh Imam Nawawi.


Apa yang boleh kita simpulkan ialah: sebagai umat Islam, hendaklah kita selalu membaca al-Quran. Bila kita membaca, tadabburlah isi kandungannya. Fahami apa yang kita baca. Insya-Allah, mudah-mudahan kita akan mendapat rahmat daripada Allah SWT dan keredaan-Nya.


Al-Quran yang kita baca itu juga, insya-Allah, akan menjadi syafaat kepada kita pada hari kiamat.


Gambar-Gambar
Nota
Gambar

0 Ulasan

Catat Ulasan

Post a Comment (0)

Terbaru Lebih lama