11 Jun 2025 — Biro Kebajikan dan Sosial (BKS), Masjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, Taman Temerloh Jaya (MTTJ), telah melaksanakan satu lagi misi bantuan kemasyarakatan dengan menyampaikan sebuah katil mudah laras kepada seorang pesakit di luar kariah masjid.
Penghantaran tersebut dilakukan pada jam 2.30 petang, dari Temerloh Makmur 2 ke Batu 2 1/2, Jalan Karak, Mentakab, Pahang. Katil tersebut diserahkan kepada Puan Fauzilah binti Hussein, 66 tahun, yang kini menghidap pendarahan dalam kepala serta mengalami strok major. Beliau menetap berhampiran Sekolah Menengah Sri Semantan, Mentakab.
Penghantaran ini diketuai oleh En. Ab. Manaff Safien, Pengerusi BKS MTTJ, bersama En. Nasran Hussin (AJK BKS), serta Ustaz Eeddy Yusmie Mohd Yusof yang merupakan menantu kepada pesakit dan turut bertindak sebagai pengiring bersama seorang pembantu. Katil tersebut diambil menggunakan kenderaan Ustaz Eeddy sendiri.
Menurut En. Ab. Manaff, walaupun keutamaan pemberian bantuan peralatan perubatan BKS adalah kepada ahli komuniti dan kariah MTTJ, pihak BKS tetap komited untuk membantu masyarakat luar kariah yang benar-benar memerlukan. Bantuan ini adalah sebahagian daripada usaha pihak masjid dalam menyantuni golongan sakit dan memerlukan tanpa mengira sempadan kawasan.
Catat Ulasan