
Tarikh | Penceramah | Tajuk |
---|---|---|
30/08/2025 | Ustaz Muhammad Azri Shamsudin | — |
Kita bersyukur kepada Allah SWT kerana dengan taufik dan hidayah-Nya, pada malam ini kita dapat bersama-sama beriktikaf di masjid, menghidupkan rumah Allah SWT. Kita menginginkan sifat-sifat mereka yang benar-benar memakmurkan rumah Allah, sebagaimana disebut dalam ayat-Nya. Ada lima sifat orang yang benar-benar ingin memakmurkan rumah Allah.
Apabila ada kelima-lima sifat ini, maka mereka ialah orang yang benar-benar memakmurkan masjid, menghidupkan rumah Allah. Maka Allah SWT menyatakan, mudah-mudahan mereka termasuk dalam golongan yang mendapat hidayah petunjuk-Nya.
Dengan kita melazimi rumah Allah, mudah-mudahan kita sentiasa mendapat hidayah dan petunjuk Allah sepanjang kehidupan, bagi memperoleh keredaan serta keselamatan dunia dan akhirat, insya-Allah.
Dalam kita membicarakan dan mengenang hari kemerdekaan negara, tidak dapat dipisahkan daripada menyatakan kesyukuran atas nikmat Allah SWT. Kemerdekaan juga termasuk dalam nikmat Allah yang besar.
Bagaimanakah kita ingin menyatakan syukur kepada segala nikmat yang Allah kurniakan? Allah mengingatkan kita dalam al-Quran, bahawa jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambah nikmat itu, dan jika kamu kufur, maka azab-Ku amat pedih.
Ayat ini mengingatkan kita supaya sentiasa bersyukur atas segala nikmat yang Allah beri. Nikmat Allah sangat banyak, sehingga kita tidak mampu menghitungnya. Pada diri kita sahaja sudah terdapat begitu banyak nikmat: nikmat mata, telinga, makan, minum, berjalan, bergerak dan sebagainya.
Namun syukur itu tidak dinamakan syukur jika tidak memenuhi lima perkara.
Yang pertama, merendah diri kepada Allah SWT. Orang yang bersyukur ialah orang yang tidak sombong, tidak meninggikan diri atau membanggakan diri dengan nikmat yang ada, sebaliknya merendah diri kepada Allah yang memberi nikmat.
Yang kedua, kasih kepada Allah SWT. Tanda kasih kepada Allah ialah mematuhi perintah-Nya. Jika benar kasih kepada Allah, maka ikutlah ajaran Nabi Muhammad SAW, nescaya Allah akan mengasihi kita. Oleh itu, dalam masa kita menyambut kemerdekaan negara, kita juga berada dalam bulan kelahiran Nabi Muhammad SAW. Tanda kasih kepada Nabi ialah banyak berselawat dan mengikuti jalan Baginda.
Yang ketiga, mengakui bahawa segala yang kita peroleh adalah nikmat daripada Allah SWT. Segala kesihatan, kesenangan, ketenangan, rezeki, usaha—semuanya kita akui sebagai nikmat daripada Allah, bukan semata-mata kerana usaha kita. Usaha hanyalah sebab, tetapi jika Allah tidak mengizinkan, kita tidak akan mendapat hasilnya. Maka orang yang benar-benar bersyukur ialah mereka yang melihat kepada Pemberi nikmat, bukan hanya kepada nikmat itu sendiri.
Yang keempat, menggunakan nikmat pada jalan yang diredai Allah. Apa sahaja nikmat yang Allah beri—mata, telinga, harta, masa, tenaga—mesti digunakan pada perkara yang baik dan yang diperintahkan Allah, bukan sebaliknya.
Yang kelima, memuji Allah SWT dengan lidah, hati, dan perbuatan atas segala nikmat-Nya. Bersyukur bukan sekadar ucapan, tetapi dengan hati yang tunduk, lidah yang memuji, dan anggota yang beramal soleh.
Kesimpulannya, syukur yang sebenar itu terbina atas lima perkara ini. Tanpa salah satu daripadanya, syukur tidak sempurna.



























Catat Ulasan