
24 September 2025 — Pengerusi Masjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah (MTTJ), Dr. Haji Abdullah Ismail, pagi tadi berkesempatan menziarahi Surau Al-Mukhlisin, Taman Temerloh Jaya Indah, bagi melihat sendiri perkembangan projek pembinaan ruang wuduk dan tandas wanita di surau tersebut.
Dalam lawatan tersebut, Dr. Abdullah menzahirkan rasa kagum dan bangga terhadap semangat kerjasama ahli kariah yang berganding bahu sejak daripada peringkat awal pengumpulan dana sehinggalah pelaksanaan kerja-kerja gotong-royong menaik taraf kemudahan surau.
“Saya amat berbesar hati melihat usaha murni yang digerakkan oleh komuniti Surau Al-Mukhlisin. Inisiatif ini bukan sahaja menyediakan kemudahan asas kepada jemaah, malah turut mencerminkan semangat perpaduan serta kesungguhan seluruh masyarakat Taman Temerloh Jaya Indah dalam memakmurkan rumah Allah. Saya yakin ruang wuduk dan tandas wanita yang sedang dibangunkan ini akan meningkatkan lagi penyertaan kaum muslimat dalam aktiviti surau. Dengan adanya keselesaan, lebih ramai akan hadir, dan ini sudah tentu memberi kesan positif kepada pembangunan sahsiah serta syiar Islam di kawasan ini,” jelas beliau.
Dalam pada itu, Dr. Abdullah turut merakamkan ucapan tahniah kepada Pengerusi Surau Al-Mukhlisin serta Pengerusi KRT Taman Temerloh Jaya Indah atas kepimpinan mereka yang berjaya menyatupadukan masyarakat setempat.
“Kejayaan sesuatu projek masyarakat tidak akan tercapai tanpa kepimpinan yang berkesan. Saya ucapkan syabas dan tahniah kepada Pengerusi Surau Al-Muklhlisin, Cikgu Zul (En. Zulkifli Ismail) dan Saudara Mazlan (En.Mazlan Hanfiah) Pengerusi KRT Taman Temerloh Jaya yang berjaya menjadikan komuniti TJ Indah ini sebuah komuniti aktif, prihatin, dan sentiasa bergerak seiring dengan kehendak masyarakat”.
Surau Al-Mukhlisin yang siap pembinaanya pada tahun 2006 merupakan salah satu surau yang berada di dalam kariah MTTJ atau Masjid Temerloh Jaya.






Catat Ulasan