Program Daurah Tarbiyah Muamalat Melalui Koperasi


1 November 2025 – Program Daurah Tarbiyah (Muamalat Islam Melalui Koperasi) anjuran Koperasi Muslimin Malaysia Berhad dengan kerjasama Masjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah (MTTJ) telah berlangsung pagi ini di bilik seminar MTTJ.

Majlis dimulakan dengan bacaan al-Quran dan terjemahan oleh Tuan Haji Ghazali Hassan, diikuti dengan ucapan aluan oleh Haji Bashir Ghani. Program ini merupakan acara tahunan bagi Koperasi Muslimin, dan bagi tahun ini, Temerloh telah dipilih sebagai lokasi penganjuran rasmi.

Slot utama menampilkan ceramah khas oleh Dr. Abdullah Ismail, Pengerusi MTTJ, bertajuk “Muafakah Itu Barakah”. Dalam penyampaian beliau, Dr. Abdullah menekankan bahawa muafakat, ilmu dan solat berjemaah merupakan asas kepada kekuatan ummah serta kejayaan, termasuk dalam institusi koperasi .

Beliau turut berkongsi pengalaman serta Pelan Strategik Masjid Temerloh Jaya 2016–2026, yang menjadi contoh kejayaan hasil kerjasama, kesepakatan dan usaha berpasukan dalam membangunkan masjid sebagai pusat ilmu dan ekonomi ummah.

Program ini turut disertai oleh Ahli Lembaga Koperasi (ALK) Koperasi MTTJ, serta wakil-wakil daripada pelbagai institusi koperasi dan masyarakat setempat.

Melalui penganjuran ini, Daurah Tarbiyah terus menjadi platform memperkukuh kefahaman tentang muamalat Islam berasaskan perpaduan, ilmu dan keikhlasan, selaras dengan matlamat memperkasa ekonomi ummah yang berdaya maju dan diberkati.

0 Ulasan

Catat Ulasan

Post a Comment (0)

Terbaru Lebih lama