Kuliah Subuh 2 November 2024, Ustaz Mohd Firdaus Mohd Azmy

Tarikh Penceramah Tajuk
2 November 2024 Ustaz Mohd Firdaus Mohd Azmy

Setelah Nabi Muhammad SAW dan para sahabat selesai dari Perang Khandak, Baginda mengeluarkan arahan kepada sahabat-sahabat untuk mengepung perkampungan Bani Quraizah. Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari, Nabi bersabda agar jangan ada sesiapa pun yang mengerjakan solat asar melainkan di perkampungan Bani Quraizah (HR. Bukhari (946 dan 4119). Perbuatan nabi ini menunjukkan bahawa Nabi SAW menghendaki para sahabat segera mengepung perkampungan yang telah mengkhianati Baginda. Arahan ini perlu dilaksanakan dengan segera tanpa melengah-lengahkannya.
Manifestasi dari peristiwa ini ialah kita mendapat pengajaran bahawa dalam kerja dakwah, kita tidak boleh bertangguh. Dakwah mesti diteruskan tanpa menunggu kesempatan tertentu. Apabila ada peluang, teruskanlah menyampaikan dakwah walaupun menghadapi tentangan. Dakwah adalah satu tugas yang mesti dilaksanakan dengan segera.
Apabila tiba di perkampungan Bani Quraizah, Nabi SAW segera mengepung mereka. Walaupun Bani Quraizah mempunyai bekalan mencukupi di dalam kubu mereka, Allah SWT telah meniupkan rasa takut ke dalam hati mereka, dan akhirnya mereka menyerah pada hari ke-25 pengepungan.
Nabi Muhammad SAW mempunyai lima keistimewaan yang tidak diberikan kepada nabi-nabi sebelumnya, iaitu:
  • Baginda diutuskan untuk seluruh umat, manakala nabi-nabi lain hanya diutus untuk umat-umat tertentu.
  • Dijadikan seluruh bumi suci untuk umat Nabi melaksanakan ibadah. Bermakna umat Nabi Muhammad boleh beribadat di mana-mana sahaja asalkan tempat itu bersih.
  • Nabi Muhammad dibenarkan untuk mengambil harta rampasan perang.
  • Musuh diberi rasa gentar sebulan sebelum bertemu dengan Baginda.
  • Nabi diberikan keizinan untuk memberi syafaat kepada hamba-hamba Allah.
Setelah Bani Quraizah menyerah diri, Nabi SAW mengutus sahabat Sa’ad bin Mu’az untuk menjatuhkan hukuman. Sa’ad, yang rapat dengan Bani Quraizah sebelum memeluk Islam, menjatuhkan hukuman mati kepada lelaki dewasa, manakala wanita, kanak-kanak, dan harta rampasan ditawan. Nabi memuji keputusan Sa’ad sebagai hukum yang selari dengan hukum Allah.
Apabila pasukan Muslim memasuki dan mengeledah rumah-rumah di perkampungan tersebut, mereka menemui banyak senjata yang disimpan oleh Bani Quraizah, yang menunjukkan persiapan rahsia mereka untuk memerangi Nabi SAW dan umat Islam walaupun mereka telah menandatangani Piagam Madinah yang tidak membenarkan perkara tersebut dilakukan.
Antara Munafik dan Yahudi
Orang munafik ternyata lebih berbahaya daripada orang Yahudi. Allah sendiri banyak kali merakamkan perkara tersebut di dalam Al-Quran.
Dalam Surah Al-Munafiqun (ayat 1), kita melihat ciri-ciri orang munafik yang berpura-pura di hadapan Nabi SAW, namun sebenarnya mengkhianati Baginda. Walaupun mereka mengaku Nabi sebagai Rasulullah, dalam hati mereka penuh dengan tipu daya. Ini menjadi pengajaran bahawa dalam dakwah, akan ada ujian dan cabaran daripada mereka yang berpura-pura beriman tetapi tetap bersama dalam ibadah dan kehidupan sosial. Ada juga ayat di dalam Surah Al-Baqarah (ayat 8), Allah SWT menyebut tentang sifat orang munafik yang sebenarnya berpura-pura beriman tetapi mempunyai niat buruk dalam hati mereka. Ayat-ayat ini memberikan pengajaran tentang bahaya kemunafikan dan kepentingan keikhlasan dalam iman.
Di sini, terdapat peringatan mengenai sifat orang munafik. Allah menyebut ciri-ciri mereka, dan ini perlu menjadi pengajaran buat kita. Apabila Al-Quran menceritakan tentang orang munafik, kita tidak boleh sekadar menganggap ciri-ciri itu tidak ada pada diri kita. Contohnya, Surah Al-Kafirun diturunkan untuk orang kafir, namun kita juga perlu melihat dalam diri adakah kita memiliki sikap yang bertentangan dengan ajaran agama.
Suatu ketika, Nabi memanggil sahabatnya, Huzaifah Al-Yamani, yang digelar pemegang rahsia Nabi kerana dia mengetahui nama-nama orang munafik yang diberitahu oleh Nabi. Umar Al-Khattab pernah bertanya kepada Huzaifah, “Adakah namaku ada dalam senarai orang munafik itu?” Umar malah meminta anaknya untuk melihat sama ada Huzaifah akan solatkan jenazahnya nanti kerana jika tidak, itu bermaksud Umar seorang munafik.
Sahabat seperti Umar sentiasa bimbang akan sifat munafik dalam dirinya, sedangkan kita pula sering kali melihat kekurangan pada orang lain, bukan pada diri sendiri. 
Sifat orang munafik adalah bercakap lain di mulut, tetapi hati lain. Ini dijelaskan dalam Surah An-Nisa’ ayat 142: Orang munafik memperdaya Allah, padahal Allah memperdaya mereka. Mereka bersikap pura-pura beriman, sedangkan mereka kafir dalam hati. Ketika mereka berdiri untuk solat, mereka berdiri dengan malas.
Orang munafik tidak suka solat lama-lama. Mereka lebih memilih surah pendek berbanding surah panjang. Jika kita juga lebih suka yang pendek tanpa sebab, kita perlu muhasabah diri.  
Seorang sahabat Nabi, Abdullah bin Qais, beliau selalu diharap oleh sahabat yang lain untuk membaca surah panjang seperti Al-Baqarah kerana mereka lebih menyukai bacaan yang panjang.
Pada tahun 6 Hijrah, terjadi pula peristiwa Hadisul Ifk, di mana Abdullah bin Ubay menyebarkan fitnah terhadap Aisyah, isteri Nabi, yang kononnya berzina dengan Sofwan bin Mu’attal. Fitnah ini memecahbelahkan umat Islam selama sebulan.
Mengenali sifat munafik bukanlah mudah, tetapi kita harus berhati-hati dengan ciri-ciri yang disebut dalam Al-Quran. Dalam Surah At-Taubah, juga dikenali sebagai Surah Fadihah, banyak disebut sifat-sifat mereka agar kita berhati-hati dan berwaspada.
Kuliah bersambung---
Nota
Gambar

0 Ulasan

Catat Ulasan

Post a Comment (0)

Terbaru Lebih lama