6 November 2025 — Malam ini seperti kebiasaan pada setiap Khamis malam Jumaat minggu pertama setiap bulan, Masjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, Taman Temerloh Jaya (MTTJ) telah menganjurkan Program Ukhuwah Bulanan MTTJ.
Lebih istimewa pada malam ini, pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Temerloh turut serta menjayakan Program Malam Munajat Perdana MTTJ yang diadakan serentak.
Antara pengisian program ialah solat Maghrib berjemaah, diikuti dengan solat hajat khusus untuk calon pelajar yang bakal menduduki peperiksaan UPKK, SPM dan STPM. Seterusnya, majlis diteruskan dengan bacaan Yasin dan tahlil yang dipimpin oleh Imam Nasrullah Abd Ghani.
Program kemudian diteruskan dengan ucapan ringkas daripada Pegawai PPD Temerloh, Encik Zulkifli Mat Nasir, diikuti oleh ucapan oleh Pengerusi MTTJ, Dr. Haji Abdullah Ismail.
Dalam ucapannya, Dr. Abdullah merakamkan penghargaan kepada pihak PPD Temerloh, khususnya kepada Encik Zulkifli Mat Nasir, atas inisiatif memilih MTTJ sebagai tuan rumah bagi penganjuran program pada malam ini. Beliau turut menzahirkan penghargaan atas kehadiran para pengetua dan pentadbir sekolah di daerah Temerloh yang mewakili pelajar-pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan penting.
“Semoga doa dan munajat yang dipanjatkan malam ini diterima serta diangkat oleh Allah SWT. Ibu bapa digalakkan memperbanyakkan doa dan melaksanakan solat hajat secara khusus agar dipermudahkan urusan anak-anak dalam menjawab soalan peperiksaan,” ujar beliau.
Selepas solat Isyak, para tetamu serta jemaah MTTJ menikmati jamuan perdana yang disediakan oleh Team Dapur MTTJ.
Catat Ulasan