Kuliah Subuh Khas Ustaz Syed Mohd Norhisyam Al-Idrus



Nota Kuliah

Tujuh Golongan yang Akan Mendapat Naungan Allah Pada Hari Kiamat

Tujuh golongan manusia yang akan mendapat naungan Allah pada hari kiamat adalah:

  1. Pemimpin yang Adil

    Adil bukan sekadar kesaksamaan, tetapi meletakkan sesuatu pada tempat yang sepatutnya. Pemimpin yang adil mestilah meletakkan Islam dalam pentadbirannya. Islam tidak hanya terhad pada urusan masjid, tetapi juga merangkumi segala aspek kehidupan. Sekiranya pemimpin itu benar-benar adil, perkara-perkara maksiat dan hiburan yang melalaikan tidak akan mendapat tempat dalam pemerintahan mereka. Dengan itu, generasi Islam yang bebas dari godaan maksiat akan terbentuk.

  2. Pemuda yang Sibuk Beribadah kepada Allah

    Usia muda adalah waktu yang penuh potensi untuk beribadah dan mendekatkan diri kepada Allah. Bagi orang yang lebih tua yang tidak lagi berkesempatan mengambil peluang ini, mereka masih mampu untuk mendidik anak-anak dan cucu-cucu agar menjadi pemuda yang taat kepada Allah. Anak muda perlu dipandu untuk menyeimbangkan ketaatan agama dengan aktiviti harian mereka. Contoh terbaik pemuda yang taat adalah sahabat Nabi SAW, Anas bin Malik, yang pada usia remaja telah menjadi periwayat hadis terkenal kerana sering bersama Nabi SAW. Anas menunjukkan bahawa ketaatan kepada Allah tidak menghalangnya untuk menjalani kehidupan seperti remaja biasa.

  3. Seseorang yang Hatinya Terikat pada Masjid

    Peluang untuk beribadah di masjid terbuka luas bagi sesiapa sahaja, tanpa mengira usia. Kita masih berpeluang untuk beribadah di masjid tidak kira di mana jua kita berada, termasuk ketika bermusafir. Ciri-ciri orang yang hatinya terikat dengan masjid adalah mereka yang menjaga solat fardu lima waktu secara berjemaah di masjid dan sentiasa ingin berkhidmat atau menyumbang kepada kemajuan masjid.

  4. Dua Orang yang Saling Mencintai kerana Allah

    Semua orang berpeluang untuk melakukan ini, iaitu mencintai orang lain kerana Allah. Antara ciri-ciri persahabatan yang dijalin kerana Allah adalah mereka saling memberi dan menerima nasihat. Mereka juga boleh bersahabat tanpa mengira pangkat atau darjat.

  5. Pemuda yang Menolak Ajakan Zina dari Wanita Cantik dan Berpangkat dengan Mengatakan, "Aku Takut kepada Allah"

    Pada usia muda, nafsu syahwat seseorang masih kuat, ditambah dengan godaan wanita cantik dan berpangkat. Walaupun wanita tersebut memiliki ciri-ciri sempurna yang sukar dicari, pemuda yang dinaungi oleh Allah akan tetap berkata, "Aku takut kepada Allah". Golongan ini akan diketuai oleh Nabi Yusuf a.s., yang dikurniakan dengan ketampanan. Walaupun digoda, Nabi Yusuf tetap menolak dan tidak menyalahgunakan kelebihannya.

  6. Seseorang yang Bersedekah dengan Cara yang Sangat Tersembunyi

    Rasulullah SAW bersabda: "Dan seseorang yang bersedekah lalu ia menyembunyikannya sehingga tangan kirinya tidak tahu apa yang diinfakkan oleh tangan kanannya" (HR. Bukhari no.1423).

    Ustaz Norhisyam menceritakan pengalamannya di sebuah masjid, di mana tabung masjid sentiasa diisi dengan duit RM100 yang dilipat. Penyumbangnya tidak diketahui sehingga seorang ahli jemaah meninggal dunia, dan sumbangan tersebut tidak lagi ditemui.

    Nabi tidak menyebutkan ketetapan jumlah sedekah yang perlu diberi dan ini memberi isyarat dan peluang kepada setiap orang untuk bersedekah mengikut kemampuan masing-masing.

  7. Seseorang yang Berzikir kepada Allah Seorang Diri hingga Air Matanya Mengalir

    Menangis kerana menginsafi diri, atas nikmat yang Allah berikan, kekurangan rasa syukur, dan dosa-dosa yang telah dilakukan. Perasaan takut dan cinta kepada Allah menyebabkan air mata itu mengalir sebagai tanda penyesalan dan keinsafan.

Tujuh tiket untuk mendapatkan naungan Allah di akhirat adalah peluang yang sangat berharga bagi setiap orang mukmin. Setiap individu haruslah berusaha mengambil kesempatan ini dengan sebaik-baiknya, kerana walaupun hanya satu daripada tujuh tiket tersebut yang dapat dicapai, ia sudah cukup untuk mendekatkan diri kepada rahmat dan naungan Allah SWT.

Gambar-Gambar
Nota
Gambar

0 Ulasan

Catat Ulasan

Post a Comment (0)

Terbaru Lebih lama