
Maklumat Khutbah | Butiran |
---|---|
Tarikh | 27 November 2024 (Jumaat) |
Khatib | Ustaz Asri Awang (Imam 1 MTTJ) |
Tajuk | - |
KHUTBAH PERTAMA
Alhamdulillah kita dapat berhimpun untuk melaksanakan solat Jumaat dan mendengar nasihat serta wasiat dari Rasulullah pada hari ini. Mari bersama-sama meningkatkan ketakwaan, berusaha melaksanakan perintah dan suruhan Allah, bertekad untuk meninggalkan segala larangan dan tegahan Allah. Mudah-mudahan kita sampai perjalanan kita kepada Allah, dan kehidupan dunia ini hanyalah sementara. Bila-bila masa Allah boleh mengambil nyawa kita. Semoga selagi diberi peluang hidup di atas dunia ini, mudah-mudahan Allah meredhai kehidupan di dunia dan mendapat kehidupan yang cemerlang di akhirat kelak.
Pada hari ini, 25 Jamadil Akhir, bulan depan kita akan melangkah masuk ke bulan Rejab, salah satu daripada empat bulan yang mulia. Allah berfirman dalam Surah al-Taubah, ayat 36:
"Sesungguhnya bilangan bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan (yang telah ditetapkan) dalam kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi termasuk antaranya empat bulan yang dihormati. Itulah ketetapan agama yang lurus maka janganlah kamu menzalimi diri kamu dalam bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya) dan perangilah kaum kafir musyrik semuanya sebagaimana mereka memerangi kamu semua. Dan ketahuilah bahawa Allah bersama-sama orang yang bertakwa."(Surah al-Taubah, 9:36)
Sesungguhnya kehidupan kita di dunia ini tidak kekal lama. Kita menerima tanggungjawab yang sangat besar untuk memakmurkan bumi Allah dengan melaksanakan syariat yang telah ditetapkan di dalam Al-Quran. Kita bertanggungjawab menjaga dunia ini daripada maksiat yang dibenci oleh Allah.
Allah telah menyempurnakan ciptaan manusia berbanding makhluk yang lain seperti haiwan. Allah mengingatkan kita dalam firman-Nya:
"Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya."(At-Tin 95:4)
Ini memberi petunjuk bahawa tindakan kita hendaklah lebih baik daripada makhluk yang lain. Jangan sampai melakukan tindakan yang lebih buruk daripada tindakan haiwan. Jangan melakukan sesuatu perkara, terutama perkara yang sangat ditegah oleh Allah, kerana itu akan menjatuhkan darjat manusia sehingga berada di bawah darjat haiwan.
Sesungguhnya kita adalah hamba yang lalai dan leka. Bermacam-macam kenikmatan yang kita kecapi telah diberikan oleh Allah, tetapi hanya sedikit daripada kita yang bersyukur kepada Allah SWT. Bermacam-macam kesempatan dan tanggungjawab yang diberikan, namun sering kali kita sia-siakan dan kita mengingkari amanah tersebut. Begitu juga dengan segala larangan supaya kita menghindari perkara yang dilarang, tetapi kita sering mengulangi kesalahan yang sama.
Allah SWT mengingatkan hamba-Nya untuk bertaubat kepadanya, meskipun betapa menimbunnya dosa dan sering melakukan maksiat.
Malulah kepada Allah yang sentiasa menyuruh kita bertaubat, sebagaimana dalam sebuah hadis:
"Wahai hamba-hamba-Ku, sesungguhnya kamu sering melakukan kesalahan pada waktu malam dan siang, dan Aku mengampuni semua dosa, maka mohonlah keampunan kepada-Ku, nescaya Aku akan mengampuni kamu."(HR. Muslim no. 2577)
Sesungguhnya pintu taubat Allah SWT sentiasa terbuka, selagi belum terbit matahari dari barat dan sebelum kiamat. Nabi SAW bersabda:
"Sesungguhnya Allah membentangkan tangan-Nya pada waktu malam agar orang yang berbuat dosa pada waktu siang bertaubat, dan Dia membentangkan tangan-Nya pada waktu siang agar orang yang berbuat dosa pada waktu malam bertaubat, sehingga matahari terbit dari arah barat."(HR. Muslim no. 2759)
Justeru, marilah kita menginsafi kesalahan dan kelalaian diri yang kita lakukan. Inilah kesempatan paling bernilai yang diberikan oleh Allah, namun sering kali kita berpaling daripada-Nya. Kita menepisnya kerana terlalu kenyang dengan nikmat dunia.
Ingatlah suruhan Allah yang menyuruh kita bertaubat sering menemani perjalanan hidup kita. Namun, kita tidak menyedarinya, sedangkan hal ini akan memalukan kita di hadapan Allah. Apakah jawapan kita di hadapan Allah apabila kita diadili dan dipersoalkan oleh-Nya atas segala seruan yang sering diingatkan supaya meninggalkan segala perkara yang dibenci oleh Allah semasa kita menumpang hidup di bumi ini.
Pada hari ini, khatib menyeru jemaah agar bertaubat kepada Allah. Sesungguhnya dosa kita setinggi gunung, tetapi ruang pengampunan dan rahmat Allah jauh lebih besar lagi daripada dunia dan seisinya. Firman Allah SWT:
"Oleh itu, tidakkah mereka mahu bertaubat kepada Allah dan memohon keampunan daripada-Nya, setelah mereka mendengar keterangan daripada Allah tentang kepercayaan mereka yang salah dan balasan seksaan yang bakal menimpa mereka daripada Allah, padahal Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani."(Al-Ma'idah 5:74)
KHUTBAH KEDUA
Marilah sekali lagi bersama-sama kita meningkatkan azam untuk menambahkan rasa takut kepada Allah dan mendekatkan diri dengan bertakwa kepada-Nya, dengan memperbanyak amal ibadah dan meninggalkan segala perbuatan yang mungkar supaya kita mendapat redha dunia dan akhirat kelak.
Pada hari ini juga, khatib menyampaikan kepada anak-anak yang bakal menduduki peperiksaan SMP, STP, dan STAM, semoga mereka diberikan ketabahan hati dan kelapangan dada serta diberikan bimbingan oleh Allah dengan mendapat taufik dan hidayah. Diddoakan mereka akan memperoleh kejayaan yang cemerlang di dunia dan akhirat, dan semoga anak-anak ini menjadi orang yang berbakti kepada agama, bangsa, dan negara. Diddoakan juga anak muda yang menghadapi peperiksaan ini diberikan kejayaan dunia dan akhirat dan menjadi pelapis kepada barisan pemuda Islam yang cemerlang, terbilang, dan berada di bawah lindungan Allah.
Lebih-lebih lagi, mereka akan menjadi orang yang menghormati perintah Allah dengan tidak meninggalkan solat, banyak berdoa, berserah diri, bertawakal kepada Allah, kerana itu adalah agenda yang diajarkan oleh Nabi SAW. Semoga kecemerlangan mereka dapat membantu umat Islam di seluruh tempat dan didoakan semoga mereka dipelihara oleh Allah dan menjadi anak-anak yang bertakwa kepada-Nya.
Marilah kita semua memperbanyakkan ucapan selawat kepada Nabi SAW, sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah SWT.
Catat Ulasan