Kuliah Subuh 5 Januari 2026, Ustaz Hairulazam Abd Rahman

Tarikh Penceramah Tajuk
05/01/2025 Ustaz Hairulazam Abd Rahman

Nota Kuliah

TADABUR: SURAH MARYAM


Allah SWT berfirman:

(Setelah dikabulkan doanya, Allah menyeru kepada Nabi Zakaria):

"Wahai Zakaria! Sesungguhnya Kami memberikan khabar gembira kepadamu dengan mengurniakan seorang anak lelaki bernama Yahya, yang Kami tidak pernah jadikan seorang pun sebelum itu senama dengannya."Surah Maryam, 19:7

Nama Yahya merupakan nama yang jarang digunakan oleh bangsa Arab pada waktu itu, walaupun terdapat segelintir yang menggunakannya. Antara tokoh terkenal yang menggunakan nama asal Yahya ialah Imam Nawawi (Yahya bin Syaraf bin Murri bin Hassan bin Husain bin Muhammad bin Jum'ah bin Hizam al-Nawawi.)


Setelah menerima khabar gembira itu, Nabi Zakaria bertanya kepada Allah SWT:

"Wahai Tuhanku! Bagaimanakah aku akan mendapat seorang anak, sedangkan isteriku mandul dan aku sendiri sudah mencapai usia yang sangat tua?"Maryam, 19:8


Lalu malaikat yang diutuskan menjawab:

"Demikianlah keadaannya; janganlah engkau hairan. Tuhanmu berfirman: 'Hal itu mudah bagi-Ku kerana Aku telah menciptakanmu dahulu, sedangkan pada masa itu engkau belum lagi wujud.'" Maryam, 19:9

Allah SWT Maha Berkuasa untuk mengadakan sesuatu yang sebelumnya tiada. Maka, adalah lebih mudah bagi-Nya untuk mengubah keadaan yang sudah ada, seperti menjadikan isteri Nabi Zakaria, yang sebelumnya mandul, mampu melahirkan zuriat.


Nabi Zakaria terus merayu kepada Allah SWT:

"Wahai Tuhanku! Jadikanlah satu tanda bagiku (bahawa isteriku sudah mengandung."


Lantas Allah berfirman:

"Tandamu itu ialah engkau tidak akan dapat berkata-kata dengan orang ramai selama tiga malam, meskipun engkau berada dalam keadaan sihat." — Maryam 19:10

Selama tiga malam itu, Nabi Zakaria hanya dapat bersuara ketika beribadah, iaitu semasa solat dan membaca kitab. Namun, beliau tidak mampu berbicara dengan orang lain dalam tempoh tersebut.



Pengajaran

  1. Doa pasti dimakbulkan sama ada dimakbulkan langsung, diganti dengan sesuatu yang lebih baik (mengelak musibah, penyakit dll) atau dibawa dan jadikan pahala di akhirat.
  2. Sedekah utama ialah kepada keluarga sendiri, tetapi ia tidak menghalangi seseorang dari bersedekah kepada selain dari keluarga.
  3. Salah satu adab berdoa ialah: jika perkara tidak mendesak, maka tidak afdhal berdoa secara terlampau terperinci. Namun, jika ia melibatkan hal mendesak, maka afdhal untuk berdoa dengan lebih terperinci (contoh: bab peperangan, musibah dan sebagainya).
  4. Doa adalah hak kita. Allah mahu kita berdoa kepada-Nya untuk memohon kebaikan dunia dan akhirat yang perlu dan sesuai untuk kita. Namun, yang terbaik ialah meminta perkara berkaitan dengan agama.
  5. Mintalah doa dalam apa sahaja keperluan seharian kita, namun ia haruslah sesuatu yang logik dan realistik.
Gambar-Gambar
Nota
Gambar

0 Ulasan

Catat Ulasan

Post a Comment (0)

Terbaru Lebih lama