Kuliah Maghrib 4 Disember 2025, Ustaz Mahmud Mat

Tarikh Penceramah Tajuk
04/01/2025 Ustaz Mahmud Mat

Nota Kuliah

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya, kita dapat berkumpul pada malam ini. Kita panjatkan syukur kepada Allah SWT atas kesempatan yang diberikan untuk kita bertemu lagi pada malam ini. Alhamdulillah, Allah SWT masih memberi kekuatan dan kesihatan kepada kita untuk terus melaksanakan ibadah dan menghadiri majlis ilmu.


Tajuk: Bekalan Kebahagiaan dan Petunjuk Jalan Menuju Syurga


Ibn Hajar al-Asqalani membawakan kepada kita pengajaran penting daripada seorang ulama bernama Ka'ab Al-Akhbar. Beliau adalah seorang tokoh pada zaman tabi'in yang sangat dikenali yang memeluk Islam pada zaman pemerintahan Saidina Umar. Ibn Hajar memilih kata-kata beliau untuk kita ambil iktibar pada malam ini.

Ka'ab Al-Akhbar menyebut tiga benteng atau kubu yang dapat melindungi kita daripada godaan syaitan:

  1. Masjid
  2. Zikir kepada Allah
  3. Membaca Al-Quran 

Allah telah menjadikan syaitan sebagai ujian buat manusia. Syaitan sentiasa berada dekat dengan kita, berusaha untuk menyesatkan dan mengganggu manusia. Syaitan duduk mencangkung di tepi hati manusia, menunggu peluang untuk membisikkan kejahatan. Apabila kita mengingati Allah dan berzikir kepada-Nya, syaitan akan lari jauh. Namun, apabila kita lalai dan leka, syaitan akan mengambil peluang untuk menyesatkan hati dengan bisikan kejahatan.


Namun, jika kita sentiasa ingat kepada Allah SWT, syaitan akan berundur. Sebaliknya, jika kita lalai, syaitan akan berusaha menanamkan was-was dan kejahatan dalam hati manusia.


Rasulullah SAW bersabda bahawa syaitan mengalir dalam tubuh manusia melalui saluran darah. Sebab itu, kita perlu sentiasa berwaspada dengan godaan syaitan dan memperbanyakkan zikir serta doa kepada Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda:

"Sesungguhnya syaitan berjalan di dalam tubuh manusia seperti aliran darah."HR.Muslim no.2175

Kerana itulah jika seseorang manusia itu mampu menepis godaan syaitan, Allah SWT memberikan ganjaran syurga.


Manusia sering terpedaya dengan tipu daya syaitan. Oleh itu, benteng perlindungan amat penting untuk menjaga diri daripada godaan syaitan. Kita mesti membina benteng yang kukuh dalam kehidupan kita.


Syaitan adalah musuh manusia yang sentiasa berusaha menyesatkan kita. Dalam surah Al-A'raf, Allah SWT berfirman bahawa syaitan bersumpah akan menghalang manusia dari jalan yang lurus.

Allah SWT berfirman:

Iblis berkata: "Kerana Engkau telah menyesatkan aku, pasti aku akan duduk (menghadang) mereka di jalan-Mu yang lurus. Kemudian aku akan datang kepada mereka dari depan, dari belakang, dari kanan, dan dari kiri mereka. Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur."—Al-A'raf: 16-17

Syaitan berjanji untuk datang kepada manusia dari setiap sudut — depan, belakang, kanan, dan kiri — untuk menggoda mereka supaya lalai dari mengingati Allah SWT.


Dalam ayat ini Allah menceritakan bagaimana syaitan menyerang manusia. Setelah dihalau dari syurga kerana kesombongannya, syaitan bersumpah untuk menyesatkan umat manusia dengan datang dari depan, belakang, kanan, dan kiri. Tujuan utama syaitan adalah untuk menghalang manusia daripada melakukan kebaikan dan membawa mereka jauh daripada jalan Allah.


Syaitan akan datang dalam pelbagai bentuk untuk menggoda manusia, sehingga manusia terjerumus mengikuti pujukan dan rayuannya. Jika kita menurut, kita akan tewas, kerana syaitan mahu menjadikan kita temannya di neraka.


Setiap manusia akan dipertanggungjawabkan atas segala perbuatan mereka. Allah bertanya:

"Wahai manusia, apakah yang telah memperdayakanmu terhadap Tuhanmu yang Maha Pemurah?"— Al-Infitar 82:6


Kenapa Ramai Manusia Ingkar kepada Allah?

Ulama menyebut bahawa antara sebab manusia ingkar kepada Allah ialah kerana nikmat dunia yang melalaikan. Mereka menjadi lupa kepada tujuan hidup di dunia ini. Saidina Umar pula menyatakan bahawa manusia ingkar kepada Allah kerana kejahilan. Mereka tidak dapat membezakan antara syurga dan neraka, dunia dan akhirat. Puncanya ialah tiada ilmu, dan tidak pula mahu belajar.


Kita perlu memperkukuhkan kubu pertahanan imam kita dengan benteng berikut;

1) Masjid  - Masjid adalah tempat asas membina dasar takwa. Hadir ke masjid menjadikan hati lebih dekat kepada Allah dan menjauhkan diri daripada perkara yang melalaikan. 


Masjid memainkan peranan penting dalam membentuk keimanan seseorang. Di masjidlah manusia belajar ilmu agama, mendekatkan diri kepada Allah, dan membina asas taqwa. Nabi SAW bersabda,

“Saksikanlah bahawa orang yang sering hadir ke masjid adalah orang yang beriman.”HR. Ahmad, no. 11651 & 11725, HR. al-Tirmizi, no. 3093, HR. Ibn Majah, no. 802
Orang yang pergi ke masjid adalah orang beriman. Sekiranya mereka beribadah atau tidak, mereka tetap memiliki perasaan takut. Jika mereka beribadah, mereka takut akan kekurangan dalam ibadah mereka, dan jika ibadah mereka tidak diterima oleh Allah. Begitu juga, jika mereka tidak beribadah, mereka takut akan dosa.

Rasulullah SAW bersabda:
"Tujuh golongan yang akan mendapat perlindungan Allah di hari yang tidak ada perlindungan selain perlindungan-Nya, antaranya adalah.......Seorang yang hatinya terpaut pada masjid.." — HR.Bukhari no.660


2) Zikir  - Benteng kedua ialah zikir, iaitu ingat kepada Allah. Zikir bukan hanya sekadar menyebut “Subhanallah” atau “Alhamdulillah,” tetapi ia merangkumi kesedaran untuk mengingati Allah dalam setiap perkara yang kita lakukan, sama ada ketika makan, minum, bekerja, atau tidur.


Apabila kita sentiasa mengingati Allah, kita akan berhati-hati dalam setiap tindakan. Contohnya, ketika mencari rezeki, kita akan memastikan sumber pendapatan kita halal. Begitu juga dalam kehidupan harian, kita akan mengutamakan perkara yang diredhai Allah.


Tafsir Al-Bukhari menyebut bahawa hidayah Allah datang dalam beberapa bentuk; ilhamakalanggota, dan syarak. Apabila seseorang itu berfikir dan merenung kebesaran Allah, hidayah akan datang kepadanya. Maka, penting bagi kita untuk sentiasa memohon hidayah daripada Allah dan menjaga benteng iman kita.


3) Membaca Al-Quran - Rumah yang dipenuhi dengan bacaan Al-Quran akan menjauhkan syaitan. Apabila Al-Quran dibaca, syaitan akan lari kerana mereka tidak mampu bertahan di tempat yang disinari cahaya wahyu Allah. 

"Janganlah kamu menjadikan rumah-rumah kamu seperti kubur. Sesungguhnya syaitan lari dari rumah yang dibacakan Surah Al-Baqarah."HR.Muslim no.780

Pastikan Al-Quran sentiasa bergema di rumah kita, ataupun bergema dengan selawat kepada Nabi SAW. Pastikan juga selawat yang dibaca adalah selawat yang benar dan bukan selawat rekaan.

Gambar-Gambar
Nota
Gambar

0 Ulasan

Catat Ulasan

Post a Comment (0)

Terbaru Lebih lama