| Tarikh | Penceramah | Tajuk |
|---|---|---|
| 05/01/2025 | Ustaz Ramizul Amin | — |
KELEBIHAN ORANG YANG BERSYUKUR
1. Allah Menambah Nikmat Kepada Orang yang Bersyukur
Allah SWT berfirman:
"Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambahkan (nikmat) kepada kamu. Tetapi jika kamu kufur (tidak bersyukur), sesungguhnya azab-Ku amatlah pedih." — Ibrahim (14:7)
Orang yang sentiasa bersyukur akan mendapat tambahan nikmat daripada Allah. Bukan sahaja nikmat dunia malahan juga nikmat di akhirat kelak. Manakala mereka yang kufur akan menerima azab yang pedih.
2. Orang Bersyukur Diredai oleh Allah
Bukan mudah untuk mendapat redha Allah, tetapi orang yang bersyukur adalah termasuk dalam golongan yagn Allah redha, sebagaimana firmanNya;
"Jika kamu kufur (ingkar), maka sesungguhnya Allah tidak memerlukan (keimanan) kamu, dan Dia tidak meredai kekufuran hamba-hamba-Nya. Dan jika kamu bersyukur, Dia meredai kesyukuran itu daripada kamu. Dan seseorang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain. Kemudian kepada Tuhan kamu tempat kembali kamu, lalu Dia akan memberitahu kamu apa yang kamu telah lakukan. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui akan segala isi hati." — Az-Zumar (39:7)
Allah tidak kisah pun jika seseorang hamba itu tidak bersyukur. Namun, jika hamba itu bersyukur, Allah akan meredhaiNya dan memberikan ganjaran yang besar.
3. Orang Bersyukur Disayangi oleh Allah
Rasulullah SAW bersabda:
"Sesungguhnya Allah redha kepada seorang hamba yang makan sesuatu makanan lalu dia bersyukur kepada-Nya atas makanan itu, dan dia minum sesuatu minuman lalu dia bersyukur kepada-Nya atas minuman itu."— HR.Muslim no.2734
Allah menyukai hamba yang makan dan bersyukur selepas makan dengan mengucapkan Alhamdulillah serta memuji Allah. Oleh itu, kita harus memulakan makan dengan membaca Bismillah dan mengakhiri dengan Alhamdulillah. Walaupun perbuatan mengucapkan Alhamdulillah itu kelihatan kecil, tetapi ganjarannya sangat besar, iaitu Allah redha kepadanya.
4. Diberi Ganjaran Besar
Allah berfirman;
"Apa gunanya Allah menyeksa kamu sekiranya kamu bersyukur (akan nikmatNya) serta kamu beriman (kepadaNya)? Dan (ingatlah) Allah sentiasa Membalas dengan sebaik-baiknya (akan orang-orang yang bersyukur kepadaNya), lagi Maha Mengetahui (akan hal keadaan mereka)."— An-Nisa' (4:147)
MAKAN DAN MINUM
Menyentuh mengenai program jamuan yang disediakan oleh pihak MTTJ (Khamis minggu pertama setiap bulan). Antara tujuannya adalah untuk menggurangkan jemaah membawa makanan ke masjid (tujuan tahlil) kerana dibimbangi penyediaan makanan tersebut menggunakan wang yang belum difaraidkan lagi. Hal ini mengambil kira kaedah usul fiqh, iaitu; menolak kemudaratan itu lebih baik daripada mengambil manfaat.
Berkaitan soal makan juga, dalam sebuah riwayat diceritakan; para sahabat pernah mengadu kepada Nabi SAW bahawa mereka sering makan tetapi tidak merasa kenyang. Mereka hairan mengapa makanan yang dimakan tidak memberi rasa cukup. Lalu mereka bertanya kepada Nabi SAW tentang hal tersebut.
Rasulullah SAW bersabda:
"Mungkin kamu makan secara berasingan. Makanlah bersama-sama dan sebutlah nama Allah (Bismillah) sebelum makan, nescaya makanan itu akan diberkati untuk kamu."—HR. Abu Daud no.3764 dan Ibnu Majah no.3286
Nabi tidak pernah makan bersendirian, ini memberi isyarat kita digalakkan makan bersama keluarga, sahabat, atau makan beramai-ramai kerana Allah akan berikan keberkatan kepada kita dan kepada makanan tersebut. Contoh terdekat yang dapat kita lihat ialah golongan tabligh yang sering makan berjemaah kerana mereka inginkan keberkatan kepada makanan tersebut.
SIFAT-SIFAT ORANG BERSYUKUR
1. Mengakui Nikmat Daripada Allah
Orang yang bersyukur sentiasa mengakui bahawa setiap nikmat yang diperoleh adalah kurniaan daripada Allah, sama ada kecil atau besar. Mereka tidak sombong dengan menganggap nikmat itu hasil usaha sendiri semata-mata, kerana mereka tahu pemberian itu adalah dari Allah SWT, sebagaimana firmanNya;
“Dan apa sahaja nikmat yang ada pada kamu, maka ia adalah daripada Allah.”—An-Nah (16:53)
2. Sering Memuji Allah Dengan Ucapan Alhamdulillah
Orang yang bersyukur tidak lupa memuji Allah dengan mengucapkan Alhamdulillah dalam apa jua keadaan. Ucapan ini adalah yang paling disukai oleh Allah. Sebagaimana sabda Nabi SAW;
"Ucapan yang paling disukai Allah ialah Alhamdulillah."— HR. Muslim no.2137
Selain itu, orang yang bersyukur juga akan berterima kasih dan mendoakan kebaikan kepada sesiapa sahaja yang telah berbuat baik kepada mereka.
3. Menggunakan Nikmat untuk Membuat Kebaikan
Orang yang bersyukur menggunakan nikmat yang diterima untuk perkara yang diredhai Allah. Harta digunakan untuk bersedekah, ilmu yang dimiliki diajarkan untuk manfaat orang lain, dan kesihatan dimanfaatkan untuk beribadah serta membantu mereka yang memerlukan. Nabi SAW bersabda;
"Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi orang lain." — HR.Thabarani (Hadis ini dihasankan oleh al-Albani dalam Shahihul Jami’, No. 3289.)
Tetaplah memberi manfaat kepada orang lain walaupun ianya sekecil-kecil manfaat. Kerana kita juga harus menjaga hubungan dengan manusia, selain hubungan dengan Allah — "Hablum Minallah" (hubungan dengan Allah) dan "Hablum Minannas" (hubungan dengan sesama manusia) menekankan pentingnya menjaga keseimbangan antara ibadah kepada Allah dan interaksi sosial yang baik dengan manusia.
Mereka yang bersyukur juga tidak mengharapkan balasan atau pujian daripada manusia, sebaliknya hanya mengharapkan keredhaan Allah. Mereka yang mencari pujian manusia pasti akan kecewa, manakala mereka yang mengharapkan ganjaran daripada Allah akan merasai ketenangan hati.
4. Tidak Mengeluh Dalam Kesulitan Dan Tetap Memuji Allah Dalam Segala Keadaan
Orang yang bersyukur tidak mengeluh apabila ditimpa kesusahan. Mereka sentiasa tenang dan tidak menyalahkan Allah atas ujian yang menimpa. Nabi SAW bersabda;
"Sungguh mengagumkan urusan orang yang beriman, kerana segala urusannya adalah kebaikan baginya. Jika dia mendapat nikmat, dia bersyukur, maka itu baik baginya. Dan jika dia ditimpa musibah, dia bersabar, maka itu juga baik baginya."—HR.Muslim no.2999
Sungguhpun begitu, bersabar itu sangatlah berat, tidak semudah ia diucapkan. Kerana itu, kita harus melatih diri kita untuk menjadi orang yang bersyukur kepada Allah, sama ada dalam keadaan susah atau senang. Namun nikmat yang menanti bagi orang yang bersabar apabila ditimpa ujian adalah sangat besar. Allah akan memberikan pertolongan dan kekuatan, kerana itu kita harus selalu berdoa;
"Allahumma a'inni 'ala zikrika wa syukrika wa husni 'ibadatik" ("Ya Allah, bantulah aku untuk berzikir (ingat) kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu, dan melakukan ibadah dengan sebaik-baiknya.") —HR. Abu Daud no.1319
5. Rajin Beribadah sebagai Tanda Kesyukuran
Orang yang bersyukur menunjukkan rasa terima kasih kepada Allah dengan meningkatkan amal ibadah dan ketaatan kepada-Nya.
Berbeza dengan orang yang kufur nikmat, mereka lalai untuk beribadah kerana merasakan bahawa segala nikmat yang diperoleh adalah hasil usaha sendiri.
MUNAJAT DI SEPERTIGA MALAM
Ulama membahagikan malam kepada tiga bahagian
Bahagian Pertama: Waktu Setelah Maghrib hingga 10.00 malam
Pada waktu ini, kebanyakan orang akan berehat atau menikmati waktu bersama keluarga. Waktu ini juga boleh digunakan untuk memperbanyakkan ibadah seperti membaca Al-Qur'an mengaji.
Bahagian Kedua: Waktu Tengah Malam 10.00 malam hingga pukul 2 atau 3 pagi.
Masa ini adalah waktu rehat, tidur
Bahagian Ketiga: Waktu Sepertiga Malam Terakhir
Ini adalah waktu yang paling mulia, bangunlah untuk solat malam biarpun hanya dua rakaat sahaja. Apa yang penting ialah istiqamah.
Allah berfirman;
"Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa berada di dalam taman-taman (syurga) dan mata air-mata air. Mereka mengambil apa yang Tuhan mereka telah kurniakan kepada mereka. Sesungguhnya mereka itu, semasa di dunia, adalah orang-orang yang berbuat kebaikan. Mereka tidur hanya sedikit sahaja di waktu malam. Dan pada waktu sahur, mereka memohon keampunan (kepada Allah)."— Az-Zariyat (51:15-18)
Dalam sebuah hadis, disebutkan bahawa Allah SWT turun ke langit dunia pada sepertiga malam terakhir untuk mengabulkan doa-doa hamba-Nya yang memohon ampunan dan rahmat.
"Setiap malam, apabila telah berlalu sepertiga malam yang pertama, Allah turun ke langit dunia dan berkata: 'Adakah orang yang memohon kepada-Ku, maka Aku akan mengabulkannya? Adakah orang yang memohon ampun kepada-Ku, maka Aku akan mengampuninya? Adakah orang yang meminta sesuatu, maka Aku akan memberikannya?'"—HR.Bukhari no. 1145.
Apabila hendak memohon sesuatu, mohonlah kepada Allah. Berkenaan solat hajat—tidak salah jika kita melakukan solat hajat untuk tujuan tertentu, namun yang terbaik ialah kita sendiri mengadu kepada Allah SWT. Jika kita mengadu kepada manusia, tidak semua orang dapat membantu kita dan tidak semua orang sudi mendengar cerita kita. Sebagai contoh solat hajat (beramai-ramai) yang dilakukan untuk tujuan tertentu, walaupun ia boleh dilakukan, tetapi berapakah orang yang benar-benar ikhlas mendoakan hajat kita?. Oleh itu, sebaik-baiknya kita sendiri memohon kepada Allah.
Namun, solat hajat untuk perkara khusus tidak menjadi masalah, contohnya bagi isu-isu umum.
Fadilat orang yang bermunajat kepada Allah di sepertiga malam adalah sangat besar, Nabi SAW bersabda;
"Sebaik-baik solat selepas solat fardu ialah solat malam."—HR.Muslim no.1163
Laksanakanlah solat malam setidak-tidaknya 2 rakaat secara istiqamah, agar kita tergolong dalam golongan orang-orang yang bersyukur kepada Allah.
Nabi SAW bersabda;
"Barang siapa yang solat dua rakaat pada waktu malam, maka Allah akan menghapuskan dosanya."—HR.Tirmidzi no.378
Doa kita terlalu banyak, maka lakukan solat malam agar dosa-dosa kita diampunkan oleh Allah. Ia adalah jaminan dari Allah sendiri, bukan dari manusia. Perhatikan pada hari ini, terlalu banyak pandangan yang menyeleweng berkenaan amalan tertentu yang kelihatan seolah-olah hadis, tetapi ia tidak bertepatan dengan syariat Islam dan tiada jaminan kebenarannya walaupun ia nampak baik. Seharusnya kita perlu berhati-hati dalam menyebarkan amalan-amalan sebegitu, yang tidak diketahui fakta kebenarannya.
Nabi SAW juga bersabda;
"Hendaklah kalian bangun malam, kerana sesungguhnya itu adalah tradisi orang-orang saleh sebelum kalian. Ia juga merupakan cara mendekatkan diri kepada Allah, menghapuskan dosa, serta mencegah penyakit." —HR.Tirmidzi no.3549
Dalam satu riwayat;
"Dikatakan kepada Rasulullah SAW: 'Wahai Rasulullah, doa apakah yang paling didengari?' Baginda menjawab: 'Di pertengahan malam terakhir dan pada penghujung solat-solat fardu.'" — HR.Tirmidzi no.3546
Kita boleh berdoa sendiri tanpa mengikut imam selepas solat fardu secara perlahan jika kita mempunyai hajat tersendiri (tidak perlu terikat dengan doa imam).
Catat Ulasan