Kuliah Maghrib 26 Januari 2025, Dr. Haji Abdullah Ismail

Tarikh Penceramah Tajuk
26/01/2025 Dr. Haji Abdullah Ismail

Nota Kuliah

Kita masih berada dalam bulan Rejab, iaitu salah satu dari empat bulan haram dalam Islam.


Bulan Rejab seharusnya menjadi bulan persiapan untuk menyambut Ramadan yang akan tiba tidak lama lagi.


Ramadan adalah raja segala bulan dan perlu diraikan sebagaimana manusia meraikan kedatangan seorang raja.


Selain itu, dalam bulan ini juga Nabi SAW dikurniakan mukjizat yang agung selepas Al-Quran, iaitu Israk Mikraj.


Israk Mikraj
Peristiwa Israk Mikraj adalah hadiah daripada Allah SWT untuk mengenangkan kesedihan Nabi SAW pada tahun penuh ujian yang digelar 'Tahun Dukacita.' Pada tahun tersebut, baginda dan umat Islam diboikot selama tiga tahun, kehilangan Abu Thalib yang merupakan pembela utama baginda, dan isterinya Khadijah. Selepas kehilangan kedua-duanya, Nabi SAW ditekan oleh kaum Quraisy, dan beberapa umat Islam turut menjadi korban.

Secara fitrah, lelaki memerlukan wanita (isteri) sebagai sumber kekuatan. Nabi Muhammad SAW sendiri pernah menyatakan bahawa memperoleh Khadijah adalah satu rezeki besar baginya.


Ketika Nabi Muhammad SAW sering berulang-alik ke Gua Hira’ untuk bertafakur, Khadijah tidak pernah menghalang. Bahkan, beliau bersusah payah menghantar makanan sebagai tanda sokongan kepada suaminya.


Pada suatu hari, Nabi Muhammad SAW didatangi malaikat Jibril dalam rupa sebenar, yang memeluk baginda dan menyuruh baginda membaca "Iqra'". Jibril mengajarkan Nabi SAW Surah Al-‘Alaq, iaitu wahyu pertama yang diterima. Selepas kejadian itu, baginda pulang ke rumah dalam keadaan takut dan meminta Khadijah menyelimutinya. Tanpa banyak soal, Khadijah terus melakukannya.


Ketika Nabi SAW memberitahu Khadijah bahawa baginda takut, para ulama berpendapat ketakutan itu berpunca daripada perasaan Nabi:

  • Bimbang terkena sihir,
  • Takut sudah menjadi gila,
  • Berfikir bahawa ajal baginda telah tiba.

  • Namun, Khadijah dengan penuh keyakinan berkata, “Demi Allah, Allah tidak akan sesekali mensia-siakanmu. Engkau selalu menghubungkan silaturahim, menolong yang lemah, memberi makan kepada orang miskin, memuliakan tetamu, dan sentiasa menyokong kebenaran.”


    Kata-kata Khadijah memberi semangat kepada Nabi Muhammad SAW. Khadijah kemudiannya membawa baginda berjumpa sepupunya, Waraqah bin Naufal, seorang yang alim. Waraqah menyatakan bahawa yang mendatangi baginda itu ialah Jibril. Beliau juga berkata, sekiranya umurnya panjang, beliau akan mempertahankan Nabi Muhammad SAW apabila kaum Quraisy menghalau baginda dari Mekah.


    Khadijah telah mempertahankan Nabi SAW dengan tenaga, harta, dan kasih sayang. Namun, selepas kewafatan Khadijah, Nabi SAW kehilangan arah dan pergi ke Taif bersama anak angkatnya, Zaid bin Harithah.



    Peristiwa di Taif
    Selepas penolakan dakwah oleh penduduk Mekah, Nabi Muhammad SAW mencari peluang untuk menyampaikan risalah Islam kepada kaum di sana. Baginda pergi ke Taif, bersama Zaid bin Harithah. Baginda berharap pemimpin dan penduduk Taif akan menyokong dakwahnya.


    Namun, penduduk Taif menghina baginda dan mengumpulkan kanak-kanak serta orang awam untuk melempari baginda dengan batu. Nabi SAW mengalami kecederaan teruk sehingga darah membasahi tubuh dan kasut baginda. Zaid cuba melindungi baginda, tetapi turut mengalami kecederaan.


    Dalam keadaan kesedihan dan keletihan, baginda berteduh di sebuah kebun dan berdoa dan merintih kepada Allah SWT;

    "Ya Allah, kepada-Mu aku mengadu kelemahanku, kurangnya daya upayaku, dan kehinaanku di mata manusia. Wahai Tuhan yang Maha Penyayang, Engkaulah Tuhan bagi mereka yang lemah, dan Engkaulah Tuhanku. Kepada siapa aku akan Engkau serahkan diriku?"


    Aisyah RA pernah bertanya kepada Nabi Muhammad SAW, adakah peristiwa yang lebih berat daripada Perang Uhud? Baginda menjawab bahawa peristiwa di Taif adalah yang paling berat dalam hidupnya.


    Israk Mikraj
    "Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram (di Mekah) ke Masjidil Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui."—(Surah Al-Isra’: 1)


    Peristiwa Israk Mikraj merupakan rentetan daripada semua peristiwa-peristiwa yang disebutkan sebelum ini, dan surah Al-Isra' menyatakan Allah Mendengar, dan ulama berpendapat bahawa Allah mendengar doa atau rintihan Nabi SAW pada masa baginda berdoa selepas peristiwa di Thaif. 


    Kegembiraan daripada Israk Mikraj

    1. Nabi SAW gembira menjadi imam kepada para nabi.
    2. Nabi SAW gembira dapat melihat keindahan cakrawala.
    3. Nabi SAW diberi peluang naik ke langit pertama hingga ke tujuh.
    4. Nabi SAW melihat syurga dan neraka. Penghuni neraka lebih ramai, iaitu mereka yang syirik kepada Allah SWT.



    Ambillah pengajaran daripada peristiwa ini. Jadilah isteri yang baik seperti Khadijah, sentiasalah berdoa kepada Allah SWT dalam apa jua masalah, dan tunaikan solat sebagai tanda syukur. Jangan sesekali meninggalkan solat, mudah-mudahan ia menjadi asbab untuk kita menjadi penghuni syurga.

Gambar-Gambar
Nota
Gambar

0 Ulasan

Catat Ulasan

Post a Comment (0)

Terbaru Lebih lama