Kuliah Subuh 12 Januari 2025, Ustaz Hairulazam Abd Rahman

Tarikh Penceramah Tajuk
12/01/2025 Ustaz Hairulazam Abd Rahman

Nota Kuliah

Surah Maryam, ayat 12-15

Ayat 12:
"Wahai Yahya! Ambillah (pelajarilah) Kitab (Taurat) itu dengan sungguh-sungguh." Dan Kami berikan kepadanya hikmah ketika dia masih kanak-kanak.

Ayat 13:
Dan Kami anugerahkan kepadanya rasa kasih sayang dari sisi Kami dan kesucian. Dan dia adalah seorang yang bertakwa.

Ayat 14:
Dan dia berbakti kepada kedua ibu bapanya, dan dia bukanlah seorang yang sombong atau derhaka.

Ayat 15:
Dan kesejahteraan dilimpahkan ke atasnya pada hari dia dilahirkan, pada hari dia meninggal dunia, dan pada hari dia dibangkitkan hidup semula.


Allah SWT menceritakan salah satu kisah seorang Nabi, iaitu Nabi Yahya . Nabi Yahya ini merupakan salah seorang Nabi yang utama. Nabi-Nabi yang terakhir ialah Zakaria, Yahya, Isa, dan Muhammad SAW. Zakaria adalah bapa kepada Yahya. Nabi Isa pula mempunyai hubungan dengan mereka.


Jadi, tiga Nabi ini — Zakaria, Yahya, dan Isa — hidup dalam tempoh masa yang hampir sama, dan mereka bertemu antara satu sama lain.


Sementara itu, antara Nabi Isa dan Nabi Muhammad SAW, dikatakan jarak masa antara mereka ialah sekitar enam ratus tahun atau lebih. Tempoh masa ini adalah jarak yang agak panjang sebelum diutuskan Nabi Muhammad SAW.


Kisah Nabi Yahya tidak begitu banyak disebut dalam Al-Quran. Kisahnya terdapat dalam Surah Ali Imran dan Surah Maryam. Namun, kisah yang diceritakan juga sangat ringkas, tidaklah begitu terperinci. Dalam kedua-dua surah tersebut, kisah Nabi Yahya yang diceritakan hampir sama. Kedua-duanya hanya menyentuh sifat-sifat yang ada pada Nabi Yahya.


Allah SWT memulakan kisah tersebut dengan firman-Nya yang bermaksud;

"Wahai Yahya! Ambillah (pelajarilah) Kitab itu dengan sungguh-sungguh."Maryam 19:12


Kitab yang dimaksudkan ialah Kitab Taurat, kerana ketika itu mereka masih berpegang kepada kitab yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Musa AS. Oleh itu, Allah SWT memerintahkan supaya mereka berpegang teguh kepada Kitab Taurat, yang merupakan kitab yang diwahyukan kepada manusia pada masa tersebut, sebagaimana umat manusia pada hari ini diperintahkan untuk berpegang teguh kepada Al-Quran.


Setelah itu Allah SWT memerintahkan Nabi Yahya untuk berpegang dengan Kitab Taurat kerana kita semua maklum, bukan semua nabi diwahyukan kepada mereka dengan sebuah kitab. Secara umum, mereka mendapat wahyu, cuma tidaklah mendapat sebuah kitab sebagaimana empat orang nabi yang kita semua maklum.

Kemudian, Allah menyebut lagi; 

"Dan Kami berikan kepadanya hikmah."— Maryam 19:12


Yang dimaksudkan dengan hikmah ialah kebijaksanaan. Jadi, Allah ceritalah bahawa Nabi Yahya  dikurniakan kebijaksanaan sejak kecil lagi. 


Jadi, Nabi Yahya dikatakan sejak baginda tidak seperti kanak-kanak lain. Kanak-kanak lain suka bermain dan seumpamanya, adapun baginda sudah mula meminati ilmu dan perkara yang bermanfaat.


Sebenarnya, kalau kita membaca kisah para nabi, bahkan kisah manusia-manusia yang hebat, memang sejak kecil lagi mereka difitrahkan, ditentukan, dan ditakdirkan oleh Allah SWT memiliki sifat-sifat yang luar biasa.


Contohnya, tokoh besar yang hampir dengan kita semua seperti Imam An-Nawawi. Sejak kecil lagi beliau sudah menunjukkan sifat-sifat yang luar biasa. Contoh lain ialah Imam Syafie dikatakan telah menghafal al-Quran ketika berumur 6 tahun, dan pada usia 10 tahun, beliau telah menghafal Mu'atta Imam Malik.


Ketentuan Allah adalah sebab utama seseorang menjadi luar biasa, walaupun faktor lain seperti didikan ibu bapa juga berperanan. Namun, hal ini tidak semestinya berlaku kepada semua, kerana dalam kalangan ulama' besar, hanya seorang daripada adik-beradik mereka yang menonjol. Maksudnya, seorang bapa tidak dapat memastikan semua anak-anaknya menjadi ulama'. Namun, jika kita membaca sesetengah kitab yang menceritakan perjalanan hidup para ulama' besar, ia menggambarkan bahawa mereka seakan-akan diciptakan oleh Allah SWT untuk memelihara agama.


Jadi, kebiasaan mereka memang begitu — sejak kecil lagi sudah mula memiliki sifat luar biasa. Imam Syafie — pada usia 6 tahun sudah mula menghafal al-Quran, dan pada usia 10 tahun telah menghafal Mu'atta Imam Malik. Imam Malik ini ada kitabnya, iaitu kitab hadis yang mula disusun bernama Mu'atta. Dikatakan, kalau tidak silap, terdapat hampir 3,000 hadis di dalam kitab itu, dan Imam Syafie sudah menghafalnya.


Diceritakan ketika Imam syafie masih kecil dan dalam pengajian Imam Malik di Madinah, beliau menghadapi kesulitan kerana tiada alat tulis. Untuk mencatat ilmu, beliau menggunakan air liurnya untuk menulis di tapak tangan untuk menguatkan ingatan. Tindakannya menarik perhatian orang sekeliling, termasuk Imam Malik yang kemudiannya memanggil Imam Syafie untuk bertanyakan tentang perbuatan Imam Syafie itu. Imam Syafie pun menjelaskan kepada Imam Malik dan juga membuktikan beliau dapat mengingat dan menyebut hadis-hadis yang disampaikan oleh Imam Malik tanpa terlepas satu pun.


Kemudian Allah SWT lagi sifat berikut iaitu Hanan, bahkan sebahagiannya daripada kita. Anak-anak kita pun diberikan nama Hanan yang bermaksud penyayang. Cuma, Allah menyebut sifat penyayang atau kasihan belas ini dengan cara yang luar biasa. Sebab itu, disebutkan sebagai sifat yang Allah kehendaki daripada kami. Nabi Yahya memiliki sifat penyayang dan belas kasihan yang begitu tinggi, lebih daripada biasa. 


Seterusnya pada ayat ke 13; وَحَنَانًا مِّن لَّدُنَّا وَزَكَوَةًۖ وَكَانَ تَقِيًّا

"Dan Kami anugerahkan kepadanya kasih sayang dari sisi Kami dan kesucian. Dan dia adalah seorang yang bertakwa."— Maryam 19:13


Zaktun bermaksud Zakat atau membersihkan/menyucikan harta. Namun di dalam ayat ini ia membawa maksud membersihkan hati dari sifat-sifat keji. Maka kita perlu berdoa kepada Allah aga rmenjadikan kita memliki hati yang bersih. Nabi mengajarkan beberapa doa, antaranya ialah;


اللهم آتِ نفسي تقواها وزكِّها، أنت خير من زكَّها، أنت وليُّها ومولاها

"Allahumma aati nafsi taqwaha wa zakkiha, anta khayru man zakkaha, anta waliyyuha wa maulaha."

Maksudnya: "Ya Allah, berikanlah kepada jiwaku ketakwaannya dan sucikanlah ia. Sesungguhnya Engkaulah sebaik-baik yang menyucikannya. Engkaulah Pemilik dan Pelindungnya."—  HR.Muslim no. 3522


Kisah Rezeki: Imam Malik dan Imam Syafie

Imam Malik dan Imam Syafie, walaupun guru dan murid, mempunyai pandangan berbeza mengenai cara memperoleh rezeki. Imam Malik berpendapat bahawa rezeki datang tanpa sebab melalui tawakkal yang benar kepada Allah, seperti yang disampaikan dalam hadis mengenai burung yang diberi rezeki setelah keluar dari sarangnya. Namun, Imam Syafi'i berpendapat bahawa usaha juga diperlukan untuk mendapatkan rezeki, seperti contoh burung yang perlu keluar untuk mencari makanan.


Suatu ketika, Imam Syafie mengalami sesuatu yang membuktikan pandangannya benar apabila beliau mendapat anggur selepas membantu memanen buah. Imam Syafie kemudian mengunjungi Imam Malik dan menjelaskan bahawa rezeki tidak akan datang jika tidak berusaha. Imam Malik tersenyum dan menjelaskan bahawa anggur yang diterimanya juga merupakan rezeki yang datang tanpa sebab, walaupun beliau tidak keluar rumah. Keduanya kemudian tertawa bersama.


Berdasarkan kisah di atas, maka kita dapat mengambil pengajaran bahawa kita harus saling menghormati pandangan orang lain. Tidak perlu marah-marah dan mengatakan sesuatu yang tidak perlu terhadap pandangan orang lain.


Kemudian Allah menyebut satu lagi sifat iaitu; Nabi Yahya disebut oleh Allah SWT sebagai seorang yang berbuat baik kepada ibu bapa. Harus diingat bahawa ibu bapa sekiranya masih hidup maka mereka adalah lubuk pahala kita. Maka ambillah peluang untuk berbuat baiklah kepada keduanya terutamanya apabila mereka sudah tua. Malah Nabi SAW pernah menyuruh seorang sahabat tidak keluar berperang, untuk menjaga kedua ibu bapanya yang sudah tua.


“Seorang lelaki datang kepada Nabi SAW dan minta izin untuk berjihad. Baginda SAW bertanya: ‘Adakah kedua ibu bapamu masih hidup?’ Lelaki itu berkata: ‘Ya’. Baginda bersabda: ‘Hendaklah engkau berjihad (berbakti) kepada keduanya’.” HR.Bukhari no.3004 dan Muslim no.2549


Seterusnya pada ayat ke 14 dan 15 disebutkan bahawa ; Nabi Yahya tidak memiliki sifat yang sombong dan derhaka dan keinginan untuk tidak mengikut ajaran Allah SWT serta disebutkan oleh Allah dengan doa Allah memberikan kesejahteraan kepada Nabi Yahya pada hari baginda baginda dilahirkan,  meninggal dunia, dan pada hari  dibangkitkan hidup semula.


Ulama menyatakan bahawa Nabi Yahya merupakan Nabi yang tidak membuat kesalahan Beliau wafat pada usia yang muda, namun tiada cerita yang jelas kewafatan baginda.


NOTA RINGKAS


Ilmu seperti binatang buruan, menulis itu perangkapnya, jadi perangkaplah ilmu kamu dengan tali yang kukuh - Imam syafie

Imam Al-Ghazali membahagikan malam kepada tiga bahagian; iaitu pertama untuk tidur, kedua untuk amal ibadan dan sebahagian lagi untuk ilmu pengetahuan.


Tidak mengeluarkan zakat bermaksud seseorang itu telah mengambil hak orang, kerana zakat itu harus dikeluarkan.


Dalam agama tiada yang susah, namun susah untuk menjaga hati. Kerana itu kita perlu selalu berdoa agar Allah memelihara hati kita.


Penyakit bagi orang baik adalah berbangga dengan amalan. Kita tidak patut merasa berpuas hati dalam beribadah, tetapi seharusnya berdoa agar amalan diterima.


Ibadah seharusnya dilakukan dalam keadaan yang penuh keseronokan dan kegembiraan. Apabila kita mampu untuk beribadah, itu adalah perkara yang menggembirakan, namun lebih baik lagi jika kita dapat beribadah dengan rasa kegembiraan.


Apabila kita berhubung sesama manusia hendaklah saling mengingati, tanpa sebarang rasa benci dan sebagainya. Kita harus memandang manusia lain dengan pandangan yang baik. Jika seseorang itu tidak baik maka hendaklah kita mendoakan kebaikan untuknya agar diberikan petunjuk dan hidayah. Sebagaimana kisah Nabi SAW yang disakiti sewaktu berdakwah di Thaif sungguhpun begitu, Nabi SAW tetap mendoakan kebaikan untuk mereka.


Apabila berhadapan dengan perbezaan pendapat, kita jangan merasakan hanya pandangan kita sahaja yang betul.

Gambar-Gambar
Nota
Gambar

0 Ulasan

Catat Ulasan

Post a Comment (0)

Terbaru Lebih lama