| Tarikh | Penceramah | Tajuk |
|---|---|---|
| 14/01/2025 | Ustaz Mohd Asri Awang | — |
Syukur kepada Allah SWT yang masih memberikan nikmat kepada kita. Nikmat hidup, nikmat sihat, dan nikmat masa adalah kurniaan Allah yang tidak ternilai. Kita termasuk dalam kalangan orang yang masih berpeluang menggunakan masa yang ada, terutama masa di antara Maghrib dan Isyak. Inilah masa yang dipanggil sebagai waktu mustajab dalam lima waktu solat. Namun, malangnya, ramai yang tidak memanfaatkan masa ini. Sebahagian besar daripada kita lebih cenderung menghabiskan masa dengan hiburan dan permainan, sedangkan waktu ini sangat berharga untuk mendudukkan diri di masjid bagi menuntut ilmu dan beribadah.
Sebenarnya, masa yang diluangkan untuk menimba ilmu sangat penting kerana ilmu yang kita peroleh hari ini akan menjadi bekalan di akhirat kelak. Ilmu itu ibarat pelita yang menerangi kegelapan ketika saat kematian tiba. Ketika itu, amalan kita telah terputus, kecuali tiga perkara: pertama, ilmu yang bermanfaat; kedua, sedekah jariah; dan ketiga, doa daripada anak yang soleh.
Ilmu yang bermanfaat bermaksud ilmu yang kita pelajari dan amalkan dalam kehidupan seharian. Sedangkan doa anak yang soleh amat penting kerana apabila kita meninggal dunia, amalan kita bergantung kepada doa dan amal anak-anak yang kita tinggalkan. Oleh itu, penting bagi kita untuk mendidik anak-anak agar menjadi insan soleh yang akan terus mendoakan kita walaupun kita telah tiada.
Nabi Muhammad SAW pernah berpesan bahawa seorang anak yang soleh akan terus berdoa untuk ibu bapanya setelah mereka meninggal dunia. Walaupun dalam adat kebiasaan, ibu bapa meninggal dunia terlebih dahulu, namun tidak mustahil anak-anak juga boleh pergi terlebih dahulu. Justeru, sekiranya anak meninggal dunia dahulu, ibu bapa harus berdoa untuk mereka. Namun, jika ibu bapa yang meninggal dunia dahulu, anak-anak yang soleh akan menjadi aset berharga yang akan mendoakan kesejahteraan ibu bapa di alam kubur.
Dalam kehidupan seharian, kita dianjurkan untuk membaca doa-doa yang telah diajar oleh Nabi SAW. Salah satu doa yang sering dibaca oleh Rasulullah SAW dalam rukuk dan sujud adalah:
"سُبْحَانَكَ اللّٰهُمَّ رَبَّنَا وَبِحَمْدِكَ، اَللّٰهُمَّ اغْفِرْ لِي"
"Subhanallah Allahumma Rabbana wabihamdika Allahumma Fighli."
(Maha Suci Engkau, ya Allah, Rabb kami, dan dengan memuji-Mu; ya Allah, ampunilah aku)
HR. Bukhari no.794, Muslim, no.484
Doa ini amat ringkas tetapi mempunyai makna yang sangat mendalam. Rasulullah SAW mengajar doa ini kepada para sahabat dan menganjurkan agar ia dibaca dalam sujud, terutama dalam solat sunat. Ketika kita sujud, kita berada dalam keadaan yang paling dekat dengan Allah. Pada saat itulah kita merendahkan diri dan memohon keampunan daripada Allah atas dosa-dosa yang telah kita lakukan.
Di alam kubur nanti, setiap mayat akan didatangi oleh dua malaikat yang dikenali sebagai Munkar dan Nakir. Kedua-dua malaikat ini akan menyoal si mati mengenai keimanan mereka kepada Allah dan Rasul-Nya. Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim.
Hadis Mengenai Soalan Kubur
Hadis 1:
Daripada Anas bin Malik RA, Rasulullah SAW bersabda;
"Sesungguhnya hamba yang mati apabila diletakkan dalam kuburnya dan rakan taulannya berpaling pulang darinya sedangkan ketika itu, dia masih mendengar bunyi tapak sepatu atau selipar mereka. Ketika itu datanglah dua malaikat kepadanya lantas mendudukkannya seraya bertanya apakah yang kamu katakan tentang lelaki ini yakni Muhammad SAW? Adapun orang yang beriman nescaya menjawab aku bersaksi bahawa dia adalah hamba Allah dan rasul-Nya."—HR.Bukhari no.1338, dan Muslim no.2870
Hadis 2:
Apabila mayat (atau seseorang daripada kamu) telah dikuburkan, datanglah kepadanya dua malaikat hitam kebiru-biruan, seorang daripada keduanya dikenali dengan Malaikat Munkar dan seorang lagi dengan Malaikat Nakir. Keduanya berkata: “Apakah yang hendak engkau katakan mengenai lelaki ini?
Dia berkata: “Dia adalah hamba Allah dan utusan-Nya. Aku bersaksi bahawa tiada tuhan yang layak disembah selain Allah, dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu adalah hamba-Nya dan utusan-Nya.” Keduanya berkata: “Sungguh, kami telah tahu bahawa engkau akan mengatakan demikian itu.” Kemudian dilapangkan baginya di dalam kuburnya sepanjang 70 hasta kali 70 hasta. Kemudian diberi cahaya baginya di dalamnya.
Kemudian, dikatakan kepadanya: “Tidurlah engkau.” Dia berkata: “Bolehkah aku kembali kepada keluargaku untuk memberi khabar kepada mereka?” Kedua malaikat tersebut menjawab: “Tidurlah engkau seperti tidurnya pengantin, yang tidak dapat membangunkannya kecuali orang yang paling dicintainya dari kalangan keluarganya sehingga Allah membangkitkannya daripada pembaringannya itu.
Dan sekiranya mayat tersebut adalah seorang munafik, dia berkata: “Aku mendengar orang-orang mengatakan (suatu perkataan) lalu aku pun mengatakan seperti mereka, aku tidak tahu. Kedua malaikat tersebut berkata: “Sesungguhnya kami telah mengetahui bahawa engkau akan berkata sedemikian.” Lalu dikatakan kepada bumi: “Himpitlah orang munafik itu.” Lalu bumi pun menghimpitnya. Maka dia terus diseksa di dalamnya sehingga Allah SWT membangkitkannya dari pembaringannya itu. — HR.Tirmidzi no.1071
Soalan ini apabila dapat dijawab, maka kuburkan akan dilapangkan sejauh 70 hasta dan diberikan cahaya yang terang benderang.
Setelah si mati berhasil menjawab pertanyaan malaikat dengan benar, dia diperlihatkan tempat tinggalnya di surga. Dalam kegembiraannya, dia meminta izin kepada malaikat untuk kembali ke keluarganya bagi menyampaikan khabar baik tersebut. Namun, malaikat menjawab; "Tidurlah dengan nyenyak seperti pengantin yang tidak akan dibangunkan kecuali oleh orang yang paling dia cintai."
Sifat Munkar Nakir
Terdapat juga hadis yang menceritakan sifat dan rupa malaikat Munkar dan Nakir. Rasulullah SAW menggambarkan bahawa kedua-dua malaikat ini berwajah hitam kebiruan dan memiliki suara yang menakutkan. Mereka akan mendudukkan si mati di dalam kubur dan bertanya mengenai keimanan mereka kepada Allah dan Rasul-Nya. (rujuk hadis di atas)
Ibn Hajar al-Asqalani dalam karya Fath al-Bari memetik satu riwayat daripada al-Tabarani dalam al-Awsat yang menggambarkan sifat kedua malaikat tersebut. Menurutnya, mata mereka seperti cairan tembaga, manakala taring mereka tajam seperti duri atau tanduk lembu dan suara mereka seperti guruh. (Fath al-Bari, 3/237)
Maka, marilah kita bersama-sama memelihara diri dan berusaha agar diri kita diakui oleh Nabi sebagai umatnya, sehingga kita akan selamat. Kita juga perlu memastikan bahawa ahli keluarga kita turut diakui oleh Nabi sebagai umatnya. Kita harus menjaga batasan syarak dari segi pemakaian dan sebagainya, serta memberikan didikan agama kepada keluarga kita.
Mudah-mudahan dengan keikhlasan kita belajar dan beramal kita bakal dapat menjawab soalan Munkar dan Nakir kelak.

Catat Ulasan