Program Penyerahan Kotak Rezqi Ummat Ikan Patin di MTTJ

6 Februari 2025 — Program Penyerahan Kotak Rezqi Umat & Ikan Patin telah berlangsung dengan jayanya di Dewan Seminar Masjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, Taman Temerloh Jaya (MTTJ) pada petang ini. Program ini merupakan hasil kerjasama antara MyFundAction dan Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara serta pihak MTTJ melalui Biro Kebajikan dan Sosial.


Majlis yang dipengerusikan oleh En. Syakir Fitri, Koordinator Projek MyFundAction Pahang, Cawangan Pantai Timur ini dimulakan dengan bacaan doa oleh Imam II MTTJ, Haji Hussin Mohamed, diikuti taklimat ringkas oleh Setiausaha MTTJ, En. Zulkanain Hashim, mengenai peranan masjid dalam komuniti, dan beliau juga mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada Biro Kebajikan dan Sosial MTTJ yang diterajui oleh En. Ab Manaff Safien kerana memainkan peranan yang sangat aktif di peringkat lokal.


Seterusnya, Dr. Haji Abdullah Ismail, dalam ucapan aluannya, menzahirkan penghargaan kepada Masjid Saidina Umar Al-Khattab dan MyFundAction atas inisiatif murni ini, menyifatkannya sebagai satu bentuk amal jariah yang memberi manfaat berpanjangan.


Sementara itu, Wakil MyFundAction, En. Ahmad Shafiee bin Mohd Apendai, Pegawai Perhubungan Komuniti dan Masjid MyFundAction, menjelaskan bahawa MyFundAction yang digerakkan oleh golongan muda sentiasa komited dalam pelbagai inisiatif, termasuk pemerkasaan ekonomi. Pengagihan ikan patin dalam program ini dilihat sebagai usaha memperkukuh ekonomi setempat.


Majlis turut diserikan dengan ucapan Yang Berbahagia Datin Fathiyah binti Haji Fathullah Harun, Timbalan Ketua Biro Kebajikan dan Khairat Kematian Masjid Saidina Umar Al-Khattab merangkap wakil Minimum Viable Community (MVC). Beliau mengucapkan terima kasih kepada MTTJ selaku tuan rumah dan memuji usaha MyFundAction dalam membawa aspirasi anak muda ke arah kebajikan.  Datin Fathiyah seterusnya merasmikan sekaligus menyempurnakan majlis pada petang ini.


Sebagai acara kemuncak, penyerahan simbolik bantuan dilakukan kepada enam penerima yang telah disenarai pendek, manakala baki bantuan diserahkan di foyer masjid selepas majlis di dalam dewan. Sebanyak 200 ekor ikan patin telah diagihkan oleh Biro Kebajikan dan Khairat Kematian Masjid Saidina Umar Al-Khattab kepada golongan asnaf dan kurang berkemampuan dari khariah MTTJ. MyFundAction turut menyumbang 50 kotak barang keperluan asas kepada penerima.


Program ini berakhir sebelum waktu solat Asar


0 Ulasan

Catat Ulasan

Post a Comment (0)

Terbaru Lebih lama