
13 Februari 2025 — Masjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, Taman Temerloh Jaya (MTTJ) kini dilengkapi dengan alat bantuan pernafasan Defibrilator Luaran Automatik (AED), sumbangan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).
MTTJ yang diwakili oleh En. Ab Manaff Safien, Pengerusi Biro Kebajikan (BKS MTTJ) dan En.Nasran Hussin menerima alat bantuan pernafasan tersebut dalam satu majlis penyerahan yang berlangsung di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Kuantan.
MTTJ merupakan salah satu daripada lima masjid terpilih di Pahang yang menerima peralatan bernilai lebih RM9,000 setiap satu, bertujuan memberikan bantuan kecemasan kepada individu yang mengalami serangan jantung secara tiba-tiba.
Ketua Pegawai Eksekutif Muip, Datuk Ahmad Hairi Hussain berkata, langkah ini merupakan sebahagian daripada inisiatif MUIP untuk meningkatkan kemudahan perubatan asas di masjid-masjid utama negeri.
Selain itu, MUIP turut merancang untuk memperluaskan sumbangan AED ke lebih banyak masjid di Pahang secara berperingkat dalam tempoh terdekat dengan peruntukan tahunan antara RM60,000 hingga RM70,000.
Selain MTTJ, masjid lain yang turut menerima sumbangan pada hari ini ialah Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Masjid Tengku Ampuan Afzan di Indera Mahkota, Masjid Tareq bin Ziyad di Kempadang Perdana, dan Masjid Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad. Menurut Datuk Ahmad Hairi, peruntukan sumbangan alat bantuan pernafasan bagi kelima-lima masjid ini dianggarkan hampir RM50,000.
Dengan adanya peralatan ini, MTTJ bukan sahaja berfungsi sebagai pusat ibadah, malah turut bersedia menghadapi kecemasan kesihatan bagi kesejahteraan jemaahnya.





Catat Ulasan