| Tarikh | Penceramah | Tajuk |
|---|---|---|
| 16/02/2025 | Ustaz Ikhwan Haziq Asmuni | — |
Dengan keizinan daripada Allah SWT, Allah masih memberi kita peluang untuk terus beribadah kepada-Nya dan tetap istiqamah dalam menunaikan kefarduan solat secara berjemaah. Setelah itu, kita dapat duduk sebentar dalam majlis ilmu, yang mana majlis ilmu adalah taman-taman syurga di atas muka bumi Allah.
Dalam majlis ilmu juga, tujuan utama kita adalah untuk meningkatkan keimanan kepada Allah SWT. Iman seseorang itu diibaratkan seperti lilin, yang boleh bertambah atau berkurang. Iman akan bertambah apabila seseorang banyak mengingati Allah dan akan berkurang apabila lalai daripada mengingati-Nya. Oleh itu, apabila kita berada dalam majlis ilmu, tujuan utama kita adalah untuk mengingati dan mengagungkan Allah, di samping menambah ilmu sebagai persediaan untuk bertemu dengan-Nya.
Disebabkan itu, golongan yang memusuhi Islam sering memperolok-olokkan Nabi SAW, dengan mengatakan bahawa baginda tidak mempunyai syariat sendiri dan hanya mengikuti syariat nabi terdahulu. Sebagai contoh, pada asalnya, solat tidak menghadap Kaabah, dan umat Islam hanya berpuasa pada Hari Asyura, sebagaimana yang diamalkan oleh umat terdahulu.
Sebagai jawapan kepada ejekan kaum Yahudi di Madinah, Allah menurunkan ayat 144 dalam Surah Al-Baqarah, yang memerintahkan pertukaran kiblat dari Baitulmaqdis ke arah Kaabah. Golongan Yahudi sejak dahulu memang suka mempermainkan umat Islam, dan sebagai balasan, Allah menurunkan ayat dalam Surah Al-Baqarah untuk menegaskan kedudukan umat Islam. Begitu juga dengan perintah puasa, Allah berfirman dalam Al-Quran;
"Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa." (Surah Al-Baqarah: 183)
Dalam penghujung ayat tersebut, Allah berfirman:
"...agar kamu bertakwa." (Surah Al-Baqarah: 183)
"Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang anak bulan. Katakanlah: 'Anak bulan itu adalah tanda-tanda waktu bagi manusia dan ibadah haji.' Dan bukanlah kebajikan itu dengan memasuki rumah dari belakangnya, tetapi kebajikan itu adalah bagi orang yang bertakwa. Dan masuklah ke rumah melalui pintunya serta bertakwalah kepada Allah agar kamu berjaya." (Surah Al-Baqarah: 189)
Ayat ini menunjukkan bahawa untuk mencapai kebahagiaan dan kejayaan, seseorang perlu memiliki sifat takwa.
Kedua, dengan takwa, kita akan lebih mudah memperoleh ilmu. Dalam Surah Al-Baqarah, Allah SWT berfirman:
"Bertakwalah kepada Allah, dan Allah akan mengajarmu. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu." (Surah Al-Baqarah: 282)
Syarat utama untuk menambah ilmu ialah meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT. Semakin tinggi ketakwaan seseorang, semakin mudah ilmu diperoleh.
Ketiga, Allah SWT menjamin jalan keluar bagi orang yang bertakwa. Dalam Surah At-Talaq, Allah SWT berfirman:
"Dan barang siapa bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar, dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan barang siapa bertawakal kepada Allah, maka cukuplah Allah baginya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan-Nya. Sungguh, Allah telah mengadakan ketentuan bagi setiap sesuatu." (Surah At-Talaq: 2-3)
Ini menunjukkan bahawa sesiapa yang bertakwa, Allah akan memudahkan kehidupannya dan memberikan rezeki daripada jalan yang tidak disangka-sangka.
Keempat, Allah SWT telah menjanjikan syurga bagi orang yang bertakwa. Dalam Surah Ali 'Imran, Allah SWT berfirman:
"Dan bersegeralah kamu menuju keampunan dari Tuhanmu dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa." (Surah Ali 'Imran: 133)
Allah akan menyediakan syurga bagi mereka yang bertakwa. Pada hari ini, Allah telah menjanjikan syurga bagi orang-orang yang bertakwa. Oleh itu, tuan-tuan, apabila kita berpuasa, natijahnya adalah takwa. Apabila kita mencapai takwa, kita akan memperoleh empat perkara yang telah disebutkan dalam Al-Quran tadi:
- Kebahagiaan
- Ilmu
- Rezeki
- Syurga Allah
Jadi, marilah kita renungkan kembali bagaimana ayat ini diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi SAW. Allah menurunkan ayat berkaitan dengan puasa, lalu para sahabat bertanya kepada Nabi:
Kenapa para sahabat bertanya?. Kerana mereka bimbang, jika mereka sakit dan tidak dapat berpuasa, adakah mereka masih akan mendapat ganjaran yang dijanjikan oleh Allah kepada orang yang bertakwa?
Allah kemudian menjawab persoalan mereka dalam Surah Al-Baqarah ayat 184:
"Dan bagi orang yang tidak mampu berpuasa (kerana tua atau sakit yang tiada harapan sembuh), wajib membayar fidyah, iaitu memberi makan kepada orang miskin. Barang siapa yang dengan kerelaan hati mengerjakan kebajikan, maka itu lebih baik baginya. Dan berpuasa itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui." (Surah Al-Baqarah, 2:184)
Maka, jelaslah bahawa bagi mereka yang tidak mampu berpuasa, mereka tidak diwajibkan berpuasa tetapi tetap termasuk dalam golongan orang yang bertakwa, selagi mereka mengikuti ketetapan Allah.
Itu adalah soalan daripada para sahabat dan tujuan soalan tersebut bukan kerana ingin mengambil rukhsah (keringanan), bukan kerana ingin mencari kelonggaran. Mereka tidak bertanya kepada Nabi kerana mahu jalan mudah, tetapi kerana mereka ingin beramal bersungguh-sungguh agar memperoleh pahala yang sempurna. Mereka ingin merebut dan mendapatkan janji Allah yang telah dijanjikan dalam firman-Nya bagi mereka yang bersedia untuk bertemu dengan-Nya.
Berkaitan dengan Ramadan, kita semua menginginkan takwa. Ayat ini sering kita dengar, tetapi mari kita ambil sedikit tafsiran daripada para ulama, serta contoh-contoh daripada sahabat untuk kita renungkan bersama. Kita mungkin sudah sering mendengar ayat ini, namun kita ingatkan kembali agar apabila Ramadan tiba, kita benar-benar bersedia.
Dalam ayat ini, para ulama tafsir menjelaskan maksud firman Allah:
ÙŠَا Ø£َÙŠُّÙ‡َا الَّذِينَ آمَÙ†ُوا Ùƒُتِبَ عَÙ„َÙŠْÙƒُÙ…ُ الصِّÙŠَامُ ÙƒَÙ…َا Ùƒُتِبَ عَÙ„َÙ‰ الَّذِينَ Ù…ِÙ†ْ Ù‚َبْÙ„ِÙƒُÙ…ْ Ù„َعَÙ„َّÙƒُÙ…ْ تَتَّÙ‚ُونَ"Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa." (Surah Al-Baqarah: 183)
Berkenaan istilah bahasa Arab dalam ayat ini. Allah menyeru dengan lafaz "ÙŠَا Ø£َÙŠُّÙ‡َا الَّذِينَ آمَÙ†ُوا" (Wahai orang-orang yang beriman). Jika dalam bahasa Melayu, kita mungkin menyeru dengan "wahai" atau "oi" sebagai panggilan. Namun, dalam bahasa Arab, terdapat 14 bentuk seruan, tetapi dalam al-Quran, Allah hanya menggunakan beberapa lafaz tertentu untuk menyeru hamba-Nya.
Dalam Al-Quran, Allah hanya menggunakan seruan dengan lafaz "Ya", yang jika diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu bermaksud "Wahai". Namun, lafaz "Ya" ini, bukan sekadar seruan biasa. Ia termasuk dalam tiga kategori. Bukanlah setiap kali disebut "Ya", kita terus memahami ia ditujukan kepada seseorang secara langsung. Sebaliknya, ia boleh merujuk kepada tiga golongan, iaitu:
- Orang yang berada dekat.
- Orang yang berada di pertengahan.
- Orang yang berada di tempat yang jauh atau di bahagian belakang.
Sebagaimana disebutkan sebelum ini bahawa iman seseorang itu boleh meningkat dan boleh berkurang. Ada orang yang imannya dekat dengan Allah, ada yang berada di pertengahan, dan ada juga yang jauh daripada Allah. Namun, mereka masih tetap beriman walaupun tidak solat, memiliki harta yang banyak, atau lalai dalam kewajipan mereka. Mereka tetap termasuk dalam seruan Allah Ta'ala kerana seruan ini adalah untuk semua orang, tidak kira mereka dekat atau jauh daripada-Nya.
Allah mengaitkan iman dengan amani, iaitu pemahaman dalam kalangan ulama berkenaan orang yang beriman. Kesimpulannya, dalam kalangan orang beriman, terdapat tiga golongan utama:
- Mereka yang dekat dengan Allah Ta'ala.
- Mereka yang berada di pertengahan.
- Mereka yang jauh daripada Allah Ta'ala.
Firman Allah dalam Al-Quran:
ÙŠَا Ø£َÙŠُّÙ‡َا الَّذِينَ آمَÙ†ُوا"Wahai orang-orang yang beriman..."
Tuan-tuan, jika kita perhatikan, lafaz ÙŠَا Ø£َÙŠُّÙ‡َا (Ya ayyuhal) disebut sebanyak 360 kali dalam Al-Quran. Manakala perkataan Ø£َÙŠُّÙ‡َا (Ayyuha) disebut 50 kali, dan الَّذِÙŠ (Alladzi) disebut 180 kali dalam Al-Quran. Dalam bahasa Arab, perkataan ini digunakan untuk merujuk kepada lelaki dan perempuan.
Jadi, walaupun kita menyebut آمَÙ†ُوا (amanu - mereka yang beriman) dalam bentuk kata kerja lelaki, ia tetap merangkumi semua orang beriman, tidak kira lelaki atau perempuan, berpangkat tinggi atau rendah, baru memeluk Islam atau sudah lama beriman. Seruan ini adalah untuk semua yang melafazkan syahadah dan beriman kepada Allah Ta'ala.
Allah juga berfirman:
"Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa..." (Surah Al-Baqarah, 2:183)
Bagaimana kita hendak menilai diri kita sendiri? Bagaimana kita tahu sama ada iman kita kuat atau lemah? Bagaimana kita tahu sama ada kita dekat dengan Allah Ta'ala atau tidak?
Kita boleh merujuk kepada Surah Al-Anfal, ayat ke-2:
"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah mereka yang apabila disebut nama Allah, gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, bertambah iman mereka, dan kepada Tuhan mereka, mereka bertawakal." (Surah Al-Anfal, 8:2)
Ayat ini menjadi kayu ukur untuk menilai iman kita. Jika hati kita gementar apabila nama Allah disebut, jika iman kita bertambah apabila mendengar ayat-ayat Al-Quran, dan jika kita benar-benar bertawakal kepada Allah, maka iman kita kuat. Jika tidak, maka kita perlu berusaha memperbaiki dan meningkatkan keimanan kita.
Bila kita berzikir dan nama Allah disebut, hati kita akan bergetar. Hal ini disebut dalam al-Quran:
"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah mereka yang apabila disebut nama Allah, gementarlah hati mereka..."(Surah Al-Anfal, 8:2)
Oleh itu, apabila kita berzikir dan menyebut nama Allah, anggota badan kita akan memberi respons, yang pertamanya ialah telinga. Jadi, apabila seseorang mendengar azan, hati mereka akan bergetar. Kerana kalimah pertama dalam azan adalah Allahu Akbar, Allahu Akbar.
Apabila kita menyebut nama Allah, hati kita akan segera memberi tindak balas. Kita boleh gambarkan perasaan ini seperti apa? Contohnya, jika seseorang melakukan kesalahan lalu ternampak pegawai JPJ, hatinya serta-merta berasa cemas. Atau jika seseorang menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar, tiba-tiba terlihat kereta polis, pasti hatinya berdebar-debar. Begitulah juga apabila kita menyebut nama Allah Ta’ala—hati kita akan bergetar. Itu adalah tanda bahawa iman kita kuat.
Orang yang hatinya selalu mengingati Allah Ta’ala akan sentiasa berzikir kepada-Nya, bahkan zikir mereka berterusan walaupun ketika tidur. Hati mereka ibarat jantung yang tidak pernah berhenti berzikir dengan menyebut nama Allah: Allah, Allah, Allah. Ini kerana hati mereka sentiasa mengingati Allah Subhanahu wa Ta’ala.
Jadi, salah satu tanda atau ciri-ciri orang beriman adalah hati mereka bergetar apabila mendengar azan dan menyebut nama Allah Ta’ala. Iman mereka semakin bertambah apabila mendengar ayat-ayat Allah.
Apabila kita bercakap tentang menyebut nama Allah, kita dapat melihat bahawa orang yang benar-benar beriman, apabila mendengar nama Allah, mereka akan segera bangkit untuk menunaikan solat. Maka, bagaimana kita boleh mengukur tahap keimanan kita? Lihatlah pada solat kita.
Sebab itulah, para ulama menjadi contoh bagi kita. Mereka yang mendengar azan, terus bergegas ke rumah Allah (masjid/surau). Mereka bangun tidur dan segera menuju ke masjid. Ini adalah tanda keimanan yang tinggi.
Keimanan seseorang boleh diukur melalui solatnya. Ada tiga tingkatan iman dalam konteks ini:
Iman yang kuat – Sebelum azan dilaungkan, mereka sudah bersedia untuk ke rumah Allah Ta'ala. Ini adalah tahap keimanan yang tinggi. Walaupun kita tidak nampak mereka di masjid, mungkin mereka telah beribadah di rumah, bertahajud, beristighfar, dan apabila masuk waktu Subuh, barulah mereka ke masjid. Ini adalah amalan antara seseorang dengan Allah Ta'ala.
Iman pertengahan – Bila azan dilaungkan, barulah mereka bersiap untuk solat.
Iman yang lemah – Mereka langsung tidak mendengar azan, malah sudah tamat waktu solat, mereka masih tidak solat. Mereka mengaku beriman, tetapi iman mereka jauh daripada Allah Ta'ala.
Oleh itu, kita hendaklah berusaha untuk mencapai tahap keimanan yang pertama supaya kita sentiasa dekat dengan Allah Subhanahu wa Ta'ala. Untuk menilai keimanan kita, periksalah solat kita, sebagaimana Allah Ta'ala berfirman:
"Peliharalah segala solat (fardu), dan (peliharalah) solat yang pertengahan (Asar). Dan berdirilah kerana Allah (dalam solatmu) dengan khusyuk."(Surah Al-Baqarah: 238)
Banyak ulama menafsirkan bahawa "solat yang pertengahan" dalam ayat ini merujuk kepada solat Asar kerana ramai yang terlepas pandang terhadap solat ini. Maka, jagalah solat dan pastikan kita sentiasa berada dalam kalangan orang-orang yang bertakwa kepada Allah.
Begitu juga dengan bulan Ramadan. Sebelum Ramadan tiba, kita perlu membuat persediaan untuk menyambutnya. Apabila perintah berpuasa datang, kita sudah bersedia. Persediaan ini bukan sekadar niat, tetapi juga amalan yang mendekatkan diri kepada Allah.
Puasa ada dua kategori utama yang boleh kita bahagikan kepada tiga bentuk ibadah yang besar, yang kurang dilakukan pada bulan-bulan lain:
Ibadah puasa – Ini adalah kewajipan selama 30 hari dalam bulan Ramadan. Nabi Muhammad SAW menerima perintah berpuasa pada tahun kedua hijrah dan telah berpuasa selama sembilan kali dalam hidupnya. Daripada sembilan kali itu, baginda berpuasa sebanyak 29 hari dan sekali sahaja berpuasa genap 30 hari.
Persediaan sebelum Ramadan – Dalam bulan Syaaban, kita digalakkan memperbanyakkan puasa sunat sebagai latihan sebelum Ramadan. Sebagaimana disebut dalam hadis, sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW:
"Aku tidak melihat engkau berpuasa penuh dalam mana-mana bulan selain bulan Ramadan, melainkan dalam bulan Syaaban."(Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)
Bersedia untuk memasuki bulan Ramadan dengan melakukan persediaan berpuasa terlebih dahulu sebelum menunaikan ibadah puasa sepanjang bulan Ramadan. Persediaan pertama adalah dengan membiasakan diri berpuasa lebih awal.
Maka, perbanyakkanlah puasa pada bulan Syaaban. Jika sudah biasa berpuasa pada hari Isnin dan Khamis, teruskanlah amalan tersebut. Jika mengamalkan puasa hari putih (13, 14, dan 15 haribulan Hijrah) pada tahun-tahun sebelumnya, maka teruskanlah amalan itu. Sekiranya telah berpuasa sejak awal Syaaban hingga sekarang, teruskanlah kerana tiada masalah dalam meneruskan amalan tersebut.
Kenapa kita digalakkan berpuasa pada bulan Syaaban? Ini kerana Nabi Muhammad ï·º banyak berpuasa pada bulan Syaaban. Baginda mengajarkan bahawa walaupun baginda adalah seorang Nabi, tetapi baginda tetap bersedia "berlatih" berpuasa di bulan Syaaban sebelum memasuki bulan Ramadhan.
Selain berpuasa, ibadah yang kedua yang perlu diperbanyakkan ialah qiyamullail. Qiyam bermaksud menghidupkan malam dengan ibadah. Jangan keliru antara tahajud dan qiyamullail, kerana qiyamullail merangkumi semua solat dan ibadah yang dilakukan pada waktu malam.
Qiyamullail boleh dimulakan sebaik sahaja masuk waktu Maghrib. Oleh sebab itu, selepas menunaikan solat Maghrib, kita dianjurkan untuk memperbanyakkan solat sunat. Selepas itu, kita boleh menunggu waktu Isyak dengan melakukan ibadah lain. Selepas solat Isyak, kita menunaikan solat sunat Tarawih di masjid atau di rumah.
Kemudian, apabila pulang ke rumah, kita boleh berehat seketika sebelum bangun kembali untuk menunaikan solat tahajud, yang merupakan sebahagian daripada qiyamullail. Inilah cara kita menghidupkan malam dengan ibadah sebagai persediaan menghadapi Ramadan.
Oleh itu, realiti ini perlu kita fahami dengan jelas. Kita harus bersiap lebih awal dengan melakukan ibadah seperti qiamullail, membiasakan diri untuk bangun malam, serta menghidupkan solat sunat selepas Isyak. Dengan cara ini, kita dapat meningkatkan ibadah kita dengan lebih baik.
Salah satu amalan yang perlu diperbanyakkan ialah membaca al-Quran. Nabi SAW mengkhatamkan al-Quran setiap tahun pada bulan Ramadan. Dalam tahun terakhir sebelum baginda wafat, baginda mengkhatamkan al-Quran sebanyak dua kali. Ini menunjukkan betapa pentingnya kita memperbanyakkan bacaan al-Quran pada bulan yang mulia ini.
Baginda mengkhatamkan al-Quran secara musyafahah (membaca dengan berhadapan), iaitu membaca secara langsung dengan Malaikat Jibril عليه السلام. Dalam pembelajaran al-Quran, kita juga digalakkan untuk membaca di hadapan guru, atau mendengar bacaan guru dan mengikutinya dengan betul.
Sekarang kita mempunyai pelbagai cara untuk memperbaiki bacaan al-Quran. Oleh itu, adalah baik sekiranya kita membentuk kumpulan kecil—dua atau tiga orang—untuk menyemak bacaan antara satu sama lain. Jika kita bermula dari sekarang, kita akan lebih bersedia menjelang Ramadan untuk membaca al-Quran dengan lebih banyak dan lebih baik.
Keutamaan Berpuasa
Sebelum kita melaksanakan sesuatu amalan, kita perlu memahami keutamaan dan kelebihannya. Hal ini penting supaya kita lebih bersemangat dalam beramal. Sebagai contoh, jemaah tabligh memiliki kitab Fadhilat Amal yang menghimpunkan kelebihan-kelebihan sesuatu ibadah agar dapat meningkatkan motivasi dalam beribadah.
Antara keutamaan Ramadan yang utama adalah kelebihan puasa itu sendiri. Nabi SAW bersabda;
"Puasa itu adalah perisai..." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Maksud perisai di sini ialah ia menjadi pelindung daripada api neraka. Dalam bahasa Arab, perkataan junnah bermaksud sesuatu yang melindungi kita daripada bahaya. Contohnya:
- Janin bermaksud bayi yang masih dalam kandungan dan belum dapat dilihat.
- Jin bermaksud makhluk ghaib yang tidak dapat dilihat oleh manusia.
Begitu juga dengan puasa, ia menjadi perisai yang tidak dapat kita lihat secara zahir, tetapi ia melindungi kita daripada azab neraka Allah.
Neraka
Allah SWT menyebut bahawa neraka mempunyai tujuh pintu, tuan-tuan. Namun, api neraka Allah Ta'ala terbahagi kepada dua jenis. Yang pertama disebut sebagai Jahannam. Ia bermaksud sesuatu yang sangat panas. Yang kedua disebut sebagai Zamharir iaitu api neraka yang sangat sejuk dan membekukan.
Para ulama menafsirkan bahawa Zamharir ini adalah api neraka yang bukan sahaja membakar tetapi juga menyebabkan kesejukan yang amat dahsyat hingga menembusi kulit. batu yang sangat besar pun boleh menjadi sejuk di dalamnya. Kita sering mendengar bahawa jika terlalu panas, tubuh kita menjadi lemah. Jika terlalu sejuk pula, kita menggigil. Begitulah sifat api neraka; ada yang sangat panas dan ada yang sangat sejuk. Oleh itu, kita memohon perlindungan daripada Allah Ta'ala agar dijauhkan daripada kedua-duanya, lebih-lebih lagi ketika kita berpuasa.
Dalam sebuah hadis, disebut bahawa pintu neraka ada tujuh, manakala pintu syurga ada lapan. Dalam hadis yang sahih, syurga mempunyai lapan pintu, dan setiap orang akan memasuki syurga melalui pintu yang sesuai dengan amalannya. Ada yang cenderung kepada sedekah, maka dia akan masuk melalui pintu sedekah. Ada yang banyak berpuasa, maka dia akan masuk melalui pintu puasa. Ada yang banyak bersolat, maka dia akan masuk melalui pintu solat.
Puasa mempunyai kelebihan yang sangat besar. Dalam hadis Nabi SAW, puasa disebut sebagai perisai. Selain itu, puasa juga melipatgandakan pahala tanpa batas. Allah
Dalam Al-Quran, Allah menyebut bahawa setiap kebaikan akan diberi ganjaran sepuluh kali ganda, tetapi untuk puasa, Allah berikan ganjaran tanpa batas.
Selain itu, Allah juga memberikan keampunan pada waktu siang dan malam kepada orang yang berpuasa. Dalam sebuah hadis, disebut bahawa apabila seseorang berpuasa dan menghidupkan malam dengan qiyam, maka dosa-dosanya diampunkan oleh Allah.
Kelebihan lain berpuasa adalah doa mudah dimakbulkan. Jika kita melihat ayat Al-Quran yang berkaitan dengan puasa, dalam Surah Al-Baqarah ayat 186, Allah berfirman:
"Dan apabila hamba-Ku bertanya kepada-Ku (tentang-Ku), maka sesungguhnya Aku dekat. Aku perkenankan doa orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku."
Ayat ini menunjukkan bahawa ibadah puasa adalah saat di mana Allah memperkenankan doa hamba-hamba-Nya dengan cepat. Oleh itu, tuan-tuan, antara kelebihan bulan Ramadan ialah:
- Sebagai perisai dan pelindung.
- Melipatgandakan pahala tanpa batas.
- Memberikan keampunan pada waktu siang dan malam.
- Mempercepatkan makbulnya doa.
Catat Ulasan