
Tarikh | Penceramah | Tajuk |
---|---|---|
09/02/2025 | Ustaz Kamal Asahari | — |
Nota Kuliah
Perbanyakkanlah mengucapkan kalimah Alhamdulillah kerana ia merupakan salah satu bentuk rasa syukur atas segala nikmat Allah. Kadangkala, perkara mudah seperti ini sering kita abaikan, sedangkan kalimah tersebut begitu ringan diucapkan. Namun, keimanan kitalah yang menjadi ukuran sejauh mana tahap kesyukuran kita kepada Allah.
Nabi pernah bersabda bahawa kalimah ini mampu memenuhi mizan (timbangan amal).
Sungguh memalukan jika kita tidak mampu menyebutnya, sedangkan kita menikmati rezeki daripada Allah dan berjalan dengan kudrat yang dikurniakan-Nya.
An-Nur Ayat 27: Sambungan
Adab Masuk ke Rumah Orang Lain
Minta Izin
Islam melarang kita memasuki rumah orang lain tanpa meminta izin. Sebaliknya, kita dianjurkan untuk meminta izin dengan kalimah yang penuh mesra (istiqnas) serta memastikan tuan rumah bersedia menerima kedatangan kita tanpa rasa terpaksa.
Sebaiknya, ketuk pintu dengan penuh adab dan tunggu dengan sabar. Apabila diizinkan masuk, jagalah kesopanan serta elakkan kelakuan yang boleh menyebabkan tuan rumah berasa tidak selesa.
Ibnu Kathir dalam kitabnya menyebut bahawa masyarakat Arab pada zaman dahulu biasa memasuki rumah orang lain tanpa izin, namun perbuatan ini tidak disenangi kerana ia boleh memalukan tuan rumah yang belum bersedia menerima tetamu.
Antara hikmah yang terkandung dalam perintah meminta izin adalah; Untuk menjaga pandangan mata daripada melihat perkara yang tidak sepatutnya, termasuk rahsia dan aib penghuni rumah.
Rumah diibaratkan seperti pakaian yang menutup tubuh, memberikan perlindungan serta menjaga maruah penghuninya.
Tidak meminta izin sebelum masuk ke rumah orang lain boleh membawa mudarat, antaranya menimbulkan perasaan buruk sangka dan kecurigaan terhadap tuan rumah.
Beri Salam
Di samping meminta izin dengan istiqnas, ayat ini juga mensyariatkan kepada tetamu untuk memberi salam kepada tuan rumah dengan mengucapkan Assalamualaikum.
Memberi salam adalah salah satu syiar Islam dan juga merupakan rukun dalam solat. Sesuatu yang menjadi rukun dalam solat pasti memiliki keutamaan yang besar. Salam bukan sekadar ucapan biasa, tetapi ia membawa keberkatan dan bukan sesuatu yang sia-sia.
Firman Allah
"Maka apabila kamu memasuki rumah-rumah, hendaklah kamu memberi salam kepada dirimu sendiri (sesama Muslim) dengan salam yang diberkati lagi baik dari sisi Allah. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepada kamu agar kamu memahami." (An-Nur, 24:61)
Sabda Nabi SAW
"Kamu tidak akan masuk syurga sehingga kamu beriman, dan kamu tidak akan beriman sehingga kamu saling mencintai. Mahukah aku tunjukkan sesuatu yang jika kamu lakukan, kamu akan saling mencintai? Sebarkanlah salam di antara kamu." (HR. Muslim no.54)
Kedua-dua adab ini, iaitu meminta izin dan memberi salam, tidak boleh dipisahkan. Ayat ini juga melarang seseorang daripada terus masuk ke dalam rumah hanya dengan memberi salam, sedangkan tuan rumah belum menyatakan kesediaannya untuk menerima tetamu.
Kita harus memberi masa untuk tuan rumah menyediakan rumahnya untuk menerima kedatangan tetamu seperti mengemas rumah dan sebagainya, dan itu merupakan hak tuan rumah. Apabila diizinkan masuk, maka barulah tetamu ada hak untuk masuk ke rumah tersebut.
Gambar-Gambar




Nota

Catat Ulasan