Kuliah Subuh 21 Jun 2025, Ustaz Ahmad Hairy Haderi

Tarikh Penceramah Tajuk
21/06/2025 Ustaz Ahmad Hairy Haderi

Nota Kuliah

Segala puji bagi Allah yang Maha Bijaksana dalam mengatur keperluan hamba-Nya. Allah telah memberikan ruang dan peluang untuk meneruskan kehidupan serta melaksanakan amal ibadah sebagai satu tuntutan dalam usaha mencari keredaan-Nya. Mencari reda Allah SWT merupakan antara perkara yang paling utama dan mesti diusahakan sehingga saat pertemuan dengan-Nya kelak, dengan membawa amal kebaikan yang diberkati dan dirahmati oleh Allah SWT.


Atas dasar kerelaan hati, keberadaan dalam rumah Allah untuk melaksanakan ibadah secara berjemaah adalah satu amalan yang sangat besar maknanya. Ibadah yang dilakukan secara berjemaah merupakan perkara pertama yang dinilai oleh Allah SWT, iaitu solat. Syukur kerana dapat sama-sama melaksanakan solat, dan pada masa yang sama, amat memerlukan syafaat Rasulullah SAW di Yaumil Mahsyar. Mudah-mudahan dengan amalan yang dilakukan ini, Rasulullah akan mengenali umatnya.


Antara tanda pengenalan itu ialah kesan-kesan wuduk dan sujud yang akan membezakan orang-orang yang beriman daripada yang lain pada hari akhirat kelak. Golongan yang beriman dan sentiasa menjaga solat serta berwuduk akan dikenali melalui tanda-tanda ini, insya-Allah.


Ibadah di masjid mempunyai kelebihannya yang tersendiri. Selain daripada Qiyam, niat untuk beriktikaf di masjid juga merupakan ibadah yang tidak boleh dilakukan di tempat lain. Iktikaf adalah suatu bentuk ibadah yang khusus dilakukan hanya di masjid dan tidak boleh digantikan di tempat lain.


Menjadi terkenal di sisi langit menuntut kepada kecintaan Allah. Dalam satu hadis, disebut bahawa apabila seseorang hamba melakukan ibadah di waktu malam ketika manusia lain sedang tidur, dan ibadah itu tidak disedari oleh sesiapa, maka Allah SWT akan memanggil malaikat Jibril dan memaklumkan: "Wahai Jibril, lihatlah hamba-Ku ini. Dia beribadah kepada-Ku dalam keadaan tiada siapa yang melihatnya, namun Aku melihat. Maka persaksikanlah bahawa Aku mencintainya."


Malaikat Jibril kemudian memaklumkan kepada seluruh penghuni langit bahawa Allah mencintai hamba tersebut. Maka seluruh penduduk langit turut mencintainya. Setelah itu, kecintaan ini disebarkan ke bumi, dan orang-orang beriman juga akan mencintai individu tersebut. Walau bagaimanapun, tetap akan ada segelintir manusia yang membenci, sebagaimana mereka yang membenci Rasulullah SAW, meskipun Baginda adalah manusia paling dicintai oleh penduduk langit dan bumi.


Inilah antara sebab seseorang dicintai oleh Allah SWT — melazimi solat malam dalam kesunyian, dengan penuh ikhlas dan pengharapan kepada keredaan-Nya, tanpa mengharapkan perhatian atau pujian daripada makhluk. Bahkan hingga isteri sendiri pun tidak menyedari ibadah tersebut. Begitulah nilai keikhlasan dan kesungguhan dalam beribadah yang menjadi ukuran sebenar di sisi Allah.


Dalam beberapa riwayat, diceritakan bahawa Rasulullah SAW sering bangun malam untuk menunaikan solat sehingga kadangkala isteri Baginda sendiri tidak menyedarinya. Dalam suasana gelap malam, Baginda bangkit dari pembaringan dan melaksanakan solat malam dengan penuh khusyuk dan tenang. Kadangkala, Sayyidah Aisyah RA hanya menyedari keberadaan Rasulullah SAW ketika tersentuh dengan Baginda semasa Baginda bersolat berhampiran.


Diriwayatkan bahawa ruang bilik tempat Baginda berehat amat kecil dan sederhana, sehingga apabila Rasulullah SAW bersolat, kadang-kadang kakinya menyentuh kaki Sayyidah Aisyah. Terdapat juga riwayat yang menyebut bahawa ketika Baginda bersolat di dalam gelap, cahaya (nur) yang terpancar daripada wajahnya cukup menerangi ruang sehingga jarum yang jatuh pun boleh dicari dan ditemukan.


Cahaya atau nur tersebut bukanlah merujuk semata-mata kepada warna kulit atau rupa paras, tetapi kepada ketenangan yang terpancar daripada wajah seseorang hasil ketakwaan dan keikhlasannya dalam beribadah. Nur itu adalah pancaran spiritual yang menenangkan hati orang yang memandang. Sebagai contoh, terdapat tokoh-tokoh ulama yang walaupun berkulit gelap, namun wajah mereka memberi ketenangan luar biasa kepada sesiapa yang melihatnya. Inilah yang disebut sebagai nur — cahaya yang terpancar dari hati yang ikhlas dan jiwa yang dekat dengan Allah.


Rasullulah SAW bersabda;


"Sesiapa yang meninggalkan harta, maka ia untuk waris-warisnya. Dan sesiapa yang meninggalkan hutang atau orang yang kehilangan tempat bergantung, maka terpulanglah kepadaku untuk menjaganya dan akulah yang akan menanggung hutangnya".—HR. Muslim no.1619

 

Hadis ini menunjukkan betapa besar kasih sayang Rasulullah SAW terhadap umatnya. Baginda amat prihatin dan mengambil berat terhadap kesusahan umatnya, sebagaimana yang disebut dalam Surah al-Taubah ayat 128:


Dalam ayat ini terkandung tiga sifat utama Rasulullah SAW: pertama, Baginda amat mengambil berat terhadap kesusahan umat; kedua, sangat menginginkan kebaikan buat umat; dan ketiga, bersifat belas kasihan serta penyayang terhadap orang yang beriman.


Sebagai contoh, Rasulullah SAW mengambil wanita-wanita yang ditinggalkan oleh suami mereka yang gugur syahid di medan perang sebagai isteri, antaranya Ummu Salamah dan Zainab. Tindakan ini menunjukkan keprihatinan Baginda terhadap nasib para balu, serta keinginannya untuk melindungi dan menjaga mereka. Rasulullah SAW tidak membiarkan umatnya berada dalam kesusahan dan kesendirian. Inilah sebahagian daripada sifat mulia Baginda.


Apabila melihat wanita yang ditinggalkan, Rasulullah SAW menawarkan dirinya untuk berkahwin dengan mereka. Baginda tidak sanggup melihat orang lain berada dalam kesusahan. Berbeza dengan sikap manusia pada hari ini, yang lebih mementingkan kesenangan diri sendiri tanpa mempedulikan kesusahan orang lain. Sabda Baginda:


"Tidak sempurna iman seseorang itu sehinggalah dia mengasihi saudaranya seperti mana dia mengasihi dirinya sendiri."— (HR. Bukhari dan Muslim)


Ayat lain turut menyebut:

"Kamu tidak akan mencapai kebaikan yang sempurna (al-birr) sehinggalah kamu menafkahkan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi."
Surah Ali ‘Imran, ayat 92


Manusia cenderung untuk menyimpan perkara yang disayangi, tetapi Rasulullah SAW menunjukkan akhlak yang jauh lebih tinggi. Sebagai contoh, kisah Sayyidah Hafsah, anak kepada Sayyidina Umar al-Khattab. Apabila Hafsah kematian suaminya, Rasulullah SAW berhasrat untuk melamarnya. Baginda menyampaikan hasrat tersebut kepada Sayyidina Umar tanpa menyebutkan secara terus. Beberapa hari kemudian, Sayyidina Umar menemui Sayyidina Abu Bakar dan menawarkan perkahwinan dengan anaknya Hafsah. Namun, Abu Bakar diam, tidak memberikan sebarang jawapan. Reaksi ini membuatkan Sayyidina Umar berasa kecil hati, seolah-olah Abu Bakar enggan menerima anaknya sebagai menantu. Namun begitu, Abu Bakar tidak menolak kerana tidak suka, sebaliknya kerana mengetahui bahawa Rasulullah SAW sendiri telah menyatakan hasrat untuk melamar Hafsah, dan beliau memilih untuk berdiam diri demi menjaga rahsia Baginda. Apabila Sayyidina Umar melihat Sayyidina Abu Bakar tidak memberikan sebarang jawapan, beliau kemudian menemui Sayyidina Uthman dan menawarkan anaknya, Hafsah, untuk dinikahi. Sayyidina Uthman tidak memberikan jawapan segera, sebaliknya meminta sedikit masa untuk berfikir. 


Tindakan Sayyidina Abu Bakar yang tidak memberi respon dan tindakan Sayyidina Uthman yang menangguhkan jawapan sebenarnya berpunca daripada pengetahuan mereka akan hasrat Rasulullah SAW untuk memperisterikan Hafsah. Namun, perkara tersebut tidak dihebahkan kerana menghormati niat Rasulullah SAW dan menjaga adab terhadap Baginda.


Daripada kisah ini, terdapat beberapa pengajaran penting yang dapat diambil:


Pertama, pentingnya menjaga rahsia sahabat. Apabila seseorang menyampaikan sesuatu perkara secara peribadi, ia tidak seharusnya disebarkan atau diceritakan kepada orang lain tanpa izin. Sayyidina Abu Bakar mengetahui hasrat Rasulullah SAW, namun beliau tidak menyampaikan perkara tersebut kepada Sayyidina Umar atau sesiapa pun, kerana memahami bahawa ia adalah amanah dan rahsia peribadi Rasulullah SAW. Hal ini menunjukkan adab dan integriti dalam menjaga maklumat sulit, lebih-lebih lagi apabila perkara itu melibatkan urusan yang belum dimuktamadkan.


Dalam konteks yang lebih luas, menjaga rahsia individu yang beriman merupakan satu amal yang besar. Sebagaimana disebut dalam hadis, sesiapa yang menutup aib saudaranya yang beriman di dunia, maka Allah SWT akan menutup aibnya di akhirat kelak. Prinsip ini menjadi asas kepada etika hubungan sosial dalam Islam, khususnya dalam memelihara maruah dan kehormatan sesama Muslim.


Kedua, ketaatan kepada pemimpin selagi tidak bercanggah dengan syarak. Rasulullah SAW merupakan pemimpin umat Islam yang paling utama. Apabila Baginda menyatakan sesuatu hasrat atau keputusan, para sahabat seperti Sayyidina Abu Bakar dan Sayyidina Uthman menunjukkan adab yang tinggi dengan tidak membantah atau melawan keputusan tersebut. Ini menunjukkan bahawa dalam urusan kepimpinan, selagi mana keputusan pemimpin tidak bercanggah dengan hukum Allah dan Rasul-Nya, maka ketaatan adalah dituntut.


Ketiga, meskipun wujud pandangan yang berbeza, para sahabat menzahirkan perbezaan itu dengan penuh adab dan hormat. Sebagai contoh, Sayyidina Umar pernah memberikan pandangan berbeza terhadap tindakan Rasulullah SAW, terutamanya dalam situasi tertentu yang melibatkan keselamatan. Dalam satu kisah, apabila seorang musyrik datang dengan niat membunuh Rasulullah SAW, Sayyidina Umar mencadangkan agar individu itu dibunuh. Namun, Rasulullah SAW memilih pendekatan yang berbeza. Sayyidina Umar tidak membantah secara keras, tetapi hanya menyuarakan pendapat dengan adab dan tunduk kepada keputusan Rasulullah SAW.


Sikap ini mencerminkan kefahaman sahabat terhadap kedudukan Rasulullah SAW sebagai utusan Allah, serta kepatuhan mereka terhadap perintah dan bimbingan Baginda. Perbezaan pandangan disampaikan dalam kerangka adab, tanpa menjejaskan kehormatan atau mengingkari kepimpinan Rasulullah SAW.


Insya-Allah, kisah-kisah berkaitan akan disebut kemudian dalam perbincangan. Antara pengajaran yang dapat difahami daripada kisah terdahulu ialah bahawa pihak perempuan dibolehkan untuk merisik lelaki yang dianggap layak sebagai calon suami. Hal ini dibuktikan melalui tindakan Sayyidina Umar yang menawarkan anaknya Hafsah kepada para sahabat yang dipercayai mampu memikul tanggungjawab sebagai suami.


Perbuatan tersebut tidak bertentangan dengan syarak. Sekiranya terdapat seseorang yang diyakini mempunyai keupayaan dan sifat-sifat yang sesuai untuk menjaga anak, maka tiada salahnya untuk mendekati individu tersebut dan menyatakan hasrat dengan sopan. Ia bukanlah satu bentuk perigi mencari timba, sebaliknya satu usaha tanggungjawab untuk memastikan anak atau tanggungan berada di bawah jagaan yang baik dan amanah.


Hal ini menunjukkan kepentingan untuk melakukan usaha proaktif dalam memilih pasangan yang terbaik buat anak-anak. Dalam konteks hari ini, sekiranya terdapat pemuda yang memiliki ciri-ciri baik, maka sewajarnya peluang itu dinilai dengan bijak. Mengetahui latar belakang, tempat pembelajaran, dan nilai akhlak seseorang adalah sebahagian daripada proses yang wajar dilakukan sebelum membuat keputusan.


Namun demikian, usaha ini mestilah disertai dengan panduan syarak. Antara syarat utama ialah memastikan lelaki tersebut berakhlak mulia dan beragama. Berdasarkan hadis Rasulullah SAW, wanita biasanya dikahwini atas empat perkara: kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya, dan agamanya. Maka, Rasulullah SAW menasihatkan agar mengutamakan agama:  "Pilihlah yang beragama, nescaya engkau akan beroleh kebahagiaan." (rujuk HR. Bukhari no.5090).


Prinsip ini bukan sahaja terpakai kepada wanita yang dipilih sebagai isteri, malah turut relevan dalam pemilihan lelaki sebagai suami. Maka agama perlu menjadi asas utama dalam memilih pasangan. Usah mengutamakan kemasyhuran atau populariti semata-mata. Terkenal di mata manusia tidak semestinya membawa kebaikan; sebaliknya, yang utama ialah terkenal di sisi langit — disayangi oleh para malaikat dan dirahmati oleh Allah SWT.


Surah al-Taubah ayat 128 secara umumnya menggambarkan sifat Rasulullah SAW yang sangat mulia. Baginda lebih suka bersusah demi memberi kesenangan kepada orang lain. Sifat ini menggambarkan ketinggian akhlak Rasulullah SAW yang sanggup berkorban demi kebahagiaan umatnya. Dalam kehidupan Baginda, bukanlah menjadi keutamaan untuk hidup dalam kemewahan, sebaliknya Baginda lebih mengutamakan keperluan orang lain, walaupun harus menanggung kesusahan sendiri.


Sebaliknya, dalam masyarakat hari ini, wujud satu bentuk pemikiran yang bercanggah dengan sifat Rasulullah SAW. Terdapat anjuran yang menyuruh agar tidak "membakar diri seperti lilin" demi orang lain, dengan alasan bahawa pengorbanan tersebut tidak dihargai. Sedangkan, dalam ajaran Islam, keikhlasan dalam memberi dan berkorban merupakan nilai mulia yang diajarkan oleh Rasulullah SAW. Baginda tidak pernah menolak permintaan seseorang yang datang meminta bantuan, walaupun dalam keadaan diri sendiri tidak mempunyai apa-apa lagi untuk diberi.


Pernah terjadi, apabila datang seorang tetamu meminta makanan, Rasulullah SAW tidak mempunyai apa-apa untuk diberikan. Lalu Baginda menyuruh orang itu berhutang di sebuah kedai, dan memberitahu bahawa Baginda sendiri akan melangsaikan hutang tersebut. Sifat ini mencerminkan tahap keyakinan dan tawakal Rasulullah SAW kepada janji Allah SWT.


Dalam satu lagi kisah, Baginda bertanya kepada isterinya, Sayyidah Aisyah RA, mengenai apa yang ada untuk diberikan kepada seorang tetamu. Jawapannya ialah hanya segelas susu yang tinggal. Rasulullah SAW memerintahkan agar susu itu diberikan kepada tetamu, walaupun tiada lagi yang tinggal untuk dimakan oleh Baginda pada pagi tersebut.


Perkara yang sama juga berlaku dalam kehidupan para sahabat dan keluarga Rasulullah SAW. Ahli Suffah, seperti Abu Hurairah RA, hidup dalam keadaan yang sangat sederhana, tetapi mereka sentiasa berada berhampiran Rasulullah SAW, memerhatikan dan mencontohi segala perbuatan dan perkataan Baginda. Di Madinah, terdapat satu tempat di Raudhah yang dikenali sebagai "pangkin Ahli Suffah", di mana para sahabat yang zuhud ini sering berkumpul.


Sayyidina Ali RA, menantu kepada Rasulullah SAW, juga hidup dalam keadaan yang amat sederhana bersama isterinya Fatimah RA. Dalam satu peristiwa, ketika mereka sekeluarga hendak makan buah tamar, datang seorang tetamu yang memohon makanan. Sayyidina Ali RA memberikan bahagiannya kepada tetamu itu. Melihat tindakan suaminya, Fatimah turut memberikan bahagiannya. Kemudian, ketiga-tiga anak mereka, Hassan, Husain, dan Zainab, menyerahkan bahagian mereka pula, dengan penuh kesedaran bahawa mereka ingin mengikuti amalan kedua ibu bapa mereka dan mendapat ganjaran yang sama.


Mereka memahami bahawa pengorbanan demi orang lain adalah akhlak mulia yang diwarisi daripada Rasulullah SAW. Walaupun tidak mempunyai apa-apa lagi untuk dimakan selepas itu, mereka tetap mendahulukan tetamu, mengharapkan keberkatan dan kelebihan sebagaimana yang dijanjikan oleh Rasulullah SAW.


Bagi yang mendengar kisah ini, sekurang-kurangnya timbul kesedaran bahawa akhlak dan sifat seperti itu pernah wujud dan diamalkan oleh Rasulullah SAW serta para sahabat. Meskipun tidak mampu melaksanakannya sepenuhnya, niat dan keazaman untuk mencontohi mereka tetap dikira sebagai satu kebaikan. Dalam sebuah hadis disebut bahawa jika seseorang meniatkan untuk melakukan kebaikan, maka Allah telah mencatatkan baginya satu pahala, walaupun belum sempat dilakukan.


Antara keajaiban Rasulullah SAW ialah apabila Baginda tidak pernah menolak sesiapa yang meminta kepadanya. Dalam satu kisah masyhur yang diriwayatkan oleh Sahal bin Sa’d RA, datang seorang wanita membawa sehelai burdah (sejenis kain) yang ditenunnya sendiri dan dihadiahkan kepada Rasulullah SAW untuk dipakai. Baginda menerimanya dan memakainya kerana memang sedang memerlukan pakaian.


Tidak lama kemudian, seorang lelaki dalam majlis tersebut meminta burdah yang dipakai oleh Baginda itu. Rasulullah SAW, meskipun baru sahaja memakainya dan amat memerlukannya, tetap menanggalkannya dan memberikannya kepada lelaki itu. Perbuatan ini mengejutkan para sahabat, kerana mereka mengetahui bahawa Rasulullah SAW tidak akan menolak permintaan sesiapa. Mereka berkata kepada lelaki itu bahawa beliau telah meminta sesuatu yang diketahui tidak akan ditolak oleh Rasulullah SAW.


Lelaki tersebut kemudian menjelaskan bahawa dia tidak meminta kain itu untuk tujuan duniawi, tetapi ingin menjadikannya sebagai kain kafan bagi dirinya selepas meninggal dunia. Beliau berharap agar kain yang pernah menyelimuti tubuh Rasulullah SAW juga akan menyelimuti jasadnya ketika dikebumikan. Sahal RA menyatakan bahawa benar lelaki itu akhirnya dikafankan dengan burdah tersebut.


Kisah ini menunjukkan keikhlasan Rasulullah SAW dalam memberi, walaupun dalam keadaan memerlukan. Ia juga memperlihatkan ketinggian akhlak para sahabat yang bukan sekadar mementingkan dunia, tetapi sentiasa mengaitkan setiap perbuatan dengan akhirat.


Terdapat satu kisah yang menunjukkan keistimewaan khusus yang diberikan kepada Rasulullah SAW. Dalam peristiwa tersebut, setelah Baginda menjalani proses berbekam, darah yang keluar telah dikumpulkan oleh seorang sahabat. Baginda SAW kemudian bertanya kepada sahabat itu apa yang telah dilakukan dengan darah tersebut. Sahabat itu menjawab bahawa dia telah meminumnya.


Secara asasnya dalam hukum fekah, darah adalah najis dan haram untuk diminum. Namun begitu, dalam kes ini, darah Rasulullah SAW tidak dianggap najis kerana kedudukan Baginda yang maksum dan mulia. Ini adalah sebahagian daripada khususiyyah (keistimewaan) yang hanya dimiliki oleh Rasulullah SAW dan tidak boleh diaplikasikan kepada manusia biasa walau sehebat mana sekalipun. Maka, perbuatan seperti itu tidak boleh dicontohi ke atas mana-mana manusia lain, termasuk para imam, ulama atau tokoh Islam yang lain. Rasulullah SAW menegaskan bahawa sesiapa yang darahnya bersatu dengan darah Baginda, maka diharamkan ke atasnya api neraka. Namun, perbuatan itu tidak boleh dijadikan contoh amalan, kerana ia hanya khusus untuk individu yang dimuliakan oleh Allah SWT, iaitu Rasulullah SAW.


Sifat kemurahan hati Rasulullah SAW juga jelas kelihatan dalam pelbagai kisah. Apa sahaja yang dimiliki oleh Baginda, akan dikongsikan dan diberikan kepada sesiapa yang memerlukan. Baginda tidak mengikat hatinya kepada dunia. Ini sangat berbeza dengan realiti masyarakat hari ini, yang seringkali terlalu terikat dengan barangan duniawi sehingga sukar untuk berkorban. Sebagai contoh, apabila memiliki sesuatu yang baharu dan berharga — seperti sebuah kenderaan — perasaan untuk berkongsi atau memberi sangat berat kerana barangan itu dianggap terlalu mahal dan berharga. Bahkan, hanya teguran kecil atau permintaan daripada orang lain kadang-kadang boleh menimbulkan konflik dan kemarahan. Namun, Rasulullah SAW menunjukkan teladan yang bertentangan — Baginda memberi tanpa rasa sayang yang berlebihan terhadap apa yang dimiliki.


Atas sebab itu, para ulama mengingatkan agar tidak terlalu cenderung memiliki barangan yang terlalu mahal dan mewah, kerana ia boleh menambat hati kepada dunia. Memiliki barangan yang sederhana dan biasa akan memudahkan seseorang untuk memberi dan berkongsi. Apabila barang itu tidak membebankan hati, pemberian akan menjadi lebih mudah dan ikhlas. Dunia ini seharusnya diletakkan di tangan, bukan di hati. Jika dunia disimpan di hati, maka apabila kehilangan berlaku, hati akan sakit. Tetapi jika dunia hanya berada di kaki — yakni tidak dicintai secara berlebihan — kehilangan itu tidak akan melukakan jiwa.


Kadangkala, walaupun hanya kehilangan selipar, hati sudah terasa marah dan geram. Hal ini menunjukkan betapa kuatnya keterikatan seseorang terhadap harta dunia. Berbeza dengan para sahabat, jika kehilangan anak sekalipun, atau harta, mereka bersangka baik kepada Allah SWT dan yakin bahawa Allah akan menggantikannya dengan sesuatu yang lebih baik.


Berdasarkan ayat 128 daripada Surah al-Taubah, dua sifat utama Rasulullah SAW terserlah:


Pertama, Baginda amat suka dan gembira apabila melihat umatnya hidup dalam kebahagiaan. Baginda tidak suka melihat umatnya menderita atau berada dalam kesusahan.


Kedua, Baginda amat berharap agar setiap individu dalam kalangan umatnya menjadi mukmin yang sejati. Harapan Baginda terhadap keimanan umatnya sangat besar, dan hal ini menjadi tanggungjawab bersama untuk menyambung warisan akhlak dan perjuangan Baginda dalam kehidupan harian.


Gambar-Gambar
Nota
Gambar

0 Ulasan

Catat Ulasan

Post a Comment (0)

Terbaru Lebih lama