
Pada kuliah yang lepas, dibicarakan tentang Isra’ Mikraj. Demikianlah masyarakat pada hari ini hanya mengenali Nabi SAW dalam bentuk cebisan-cebisan peristiwa. Oleh kerana adanya sambutan Maal Hijrah, maka sedikit sebanyak diketahui tentang hijrah Nabi. Oleh kerana ada sambutan Maulid, maka kelahiran Nabi diketahui, dan kisah-kisah itu dikenali. Sambutan pada bulan Rejab seperti Isra’ Mikraj juga diketahui ceritanya. Namun, kisah-kisah Nabi menjadi cebisan terpisah dan tidak berhubung kerana jarang di kalangan umat mempelajari keseluruhan perjalanan hidup Baginda.
Nabi Muhammad & Thaif
Nabi sendiri pernah berhadapan dengan masyarakat Ta’if yang menghinanya. Selepas kematian Abu Talib dan Khadijah, Nabi kehilangan pelindung. Abu Lahab, yang menggantikan Abu Talib sebagai ketua Bani Hashim, tidak melindungi Nabi. Nabi keluar menuju Ta’if untuk mencari perlindungan, ditemani Zaid bin Harithah, anak angkatnya, bagi mengelakkan perhatian musyrikin Makkah.
Perjalanan ke Ta’if memakan masa empat hari. Ta’if yang beriklim sejuk pernah menjadi tempat Nabi dibesarkan semasa kecil di bawah jagaan Halimatus Sa’diah daripada kabilah Bani Sa’ad. Namun, penduduk Ta’if menolak dakwah Nabi, malah menyuruh budak-budak melempar batu sehingga Baginda cedera parah. Ketika malaikat menawarkan untuk membinasakan Ta’if, Nabi menolak kerana yakin daripada keturunan mereka akan lahir orang beriman.
Penduduk Ta’if adalah antara yang terakhir memeluk Islam, iaitu pada tahun ke-9 Hijrah. Mereka masuk Islam selepas terbunuhnya Urwah bin Mas’ud, seorang pemimpin mereka yang memeluk Islam dan cuba mengajak kaumnya. Selepas kematian beliau, mereka menghantar wakil menemui Nabi dan berjanji memeluk Islam. Walaupun pada awalnya kerana takut, akhirnya mereka mendapat hidayah.
Antara keturunan Ta’if yang hebat ialah Muhammad bin Qasim al-Thaqafi, seorang pemuda berusia 19 tahun yang memimpin pasukan Islam memasuki India pada tahun 80 Hijrah, ketika zaman Khalifah Abdul Malik bin Marwan. Kawasan seperti Kashmir dan Afghanistan menerima Islam hasil daripada misi ini. Inilah yang dimaksudkan Nabi SAW ketika berkata, walaupun mereka tidak beriman, daripada keturunan mereka akan lahir orang beriman.
Dalam sirah Nabi, terdapat 27 peperangan besar (ghazwah), namun hanya tujuh yang berlaku pertempuran. Tiada satu pun peperangan dimulakan oleh Nabi. Tujuan utama dakwah Nabi adalah membawa manusia kepada hidayah, bukan untuk membunuh. Sepanjang hayat Baginda, Baginda tidak pernah membunuh sesiapa kecuali seorang lelaki yang menyerangnya secara langsung.
Keseluruhan kisah ini menunjukkan bahawa Nabi SAW sentiasa mencari jalan damai dan mengutamakan hidayah kepada manusia, walaupun berhadapan dengan kezaliman dan penolakan yang berat.








Catat Ulasan