7 Mac 2026 — Seramai 116 peserta Muslimat daripada 14 kumpulan tadarus telah mengambil bahagian dalam Majlis Tadarus dan Khatam Al-Quran Perdana Muslimat Masjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah (MTTJ) yang berlangsung di Dewan Solat pada Sabtu, 7 Mac 2026 bersamaan 17 Ramadan 1447H.
Program tersebut merupakan kemuncak kepada aktiviti tadarus al-Quran sepanjang Ramadan yang telah dimulakan lebih awal, iaitu dari 1 hingga 16 Ramadan, melibatkan kumpulan-kumpulan Muslimat yang membaca al-Quran secara berkala sebagai pengisian rohani di bulan yang mulia ini.
Majlis bermula dengan pendaftaran peserta pada jam 7.45 pagi, diikuti sesi tadarus al-Quran pada jam 8.00 pagi. Acara kemudian diteruskan dengan majlis khatam al-Quran pada jam 9.45 pagi, menandakan tamatnya bacaan al-Quran oleh semua kumpulan yang terlibat.
Seterusnya, majlis penutup diadakan pada jam 10.45 pagi, sebelum para peserta bersurai sekitar 12.30 tengah hari.
Majlis ini merupakan program tahunan di MTTJ setiap kali menjelangnya bulan Ramadan.
Catat Ulasan