8 Oktober 2024 — Pada malam ini, satu perjumpaan khas telah diadakan di Masjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, Taman Temerloh Jaya (MTTJ) bagi meraikan En. Ahmad Zulkifle Ahmad yang akan memulakan kembara berbasikal yang dinamakan Kayuhan Kembara Memburu Hikmah 4.0, Road to Mecca. Program ini melibatkan perjalanan beliau dari Temerloh ke Mekah, melalui beberapa negara seperti Thailand, India, Pakistan, Iran, UAE.
Majlis ini dihadiri oleh Pengerusi Masjid, Dr. Haji Abdullah Ismail, Timbalan Pengerusi Dato' Zainal Abidin Md Amin, barisan jawatankuasa dan pegawai masjid yang turut serta memberikan sokongan moral kepada saudara En. Ahmad Zulkifle.
Dr. Abdullah dalam ucapannya menyatakan En. Ahmad Zulkifle merupakan seorang ahli jemaah yang aktif di masjid dan pemergiannya ke Mekah bagaikan satu kehilangan yang akan dirasai oleh jemahh MTTJ yang lain. Perjalanan yang akan ditempuh oleh beliau dianggap luar biasa kerana tidak ramai yang mampu melaksanakan misi sebesar ini.
Dalam majlis itu juga, pihak MTTJ telah menyerahkan sumbangan kepada En. Ahmad Zulkifle sebagai tanda sokongan dan ingatan daripada rakan-rakan jemaah serta pihak masjid sendiri. Dr. Abdullah turut menzahirkan rasa bangga atas usaha En. Ahmad Zulkifle yang dianggap turut membawa nama dan semangat MTTJ ke peringkat antarabangsa.
Ucapan Dr. Abdullah diakhiri dengan harapan agar perjalanan En. Ahmad Zulkifli dipermudahkan dan beliau selamat tiba di Mekah serta kembali ke tanah air dengan selamat.
Sementara itu, En. Ahmad Zulkifle menzahirkan rasa terharu beliau atas usaha yang dilakukan oleh pihak MTTJ dan berterima kasih atas sumbangan yang diberikan oleh para jemaah sebagai tanda sokongan kepada beliau.
Menurutnya lagi, mengikut perancangan perjalanan ke Mekah akan disertai oleh empat orang yang lain dan mereka akan berkumpul di Kuala Lumpur sebelum bersama-sama meneruskan perjalanan. Perjalanan yang bermula dari Kuala Lumpur akan menuju ke arah utara tanah air sebelum memasuki Thailand, India, Pakistan, Iran, UAE dan seterusnya tiba di Arab Saudi. Perjalanan ini dijangka mengambil masa selama enam bulan dengan anggaran perjalanan sekitar 50 hingga 60 kilometer sehari.
Selain itu, menurut En. Ahmad Zulkifle, dalam kembaranya nanti beliau berhasrat untuk bertemu dengan masyarakat Islam di negara-negara yang dilaluinya, sambil menikmati pengalaman di tempat-tempat baru.
Akhir kata, En. Ahmad Zulkifle merakamkan ucapan terima kasih kepada semua penyumbang, termasuk sumbangan dari pihak MTTJ.
Catat Ulasan