Kuliah Maghrib 2 November 2024, Ustaz Mahmud Mat

Tarikh Penceramah Tajuk
2 November 2024 Ustaz Mahmud Mat Petunjuk Jalan Menuju Syurga

Tiga perkara yang boleh menguatkan ingatan

Manusia secara fitrahnya memiliki sifat pelupa, suatu kelemahan semula jadi yang ada pada setiap insan. Namun demikian, Sayyidina Ali r.a. telah memberikan tiga nasihat penting untuk membantu kita menguatkan daya ingatan dan mengelakkan kelemahan mental.


1) Bersiwak

Nabi Muhammad S.A.W. sangat memberatkan siwak (menggosok gigi), walaupun pada saat-saat akhir hayat baginda berdasarkan sebuah kisah etika Nabi SAW dalam keadaan uzur, baginda bersandar pada Aisyah. Aisyah mengambil kayu siwak, melembutkannya dengan menggigit, lalu menyerahkannya kepada Nabi SAW yang kemudian bersiwak dengannya.


Malah dalam satu hadis baginda bersabda; “Kalaulah tidak menyusahkan umatku nescaya aku akan perintahkan mereka bersiwak pada setiap sembahyang" — HR.Bukhari no.887.

Penggunaan siwak bukan sahaja membersihkan mulut tetapi juga memberi manfaat kepada minda.
 

Sebahagian sahabat bersiwak sebelum solat dan membaca Al-Quran kerana mereka malu menghadap Allah dalam keadaan mulut berbau.


Siwak boleh mengeluarkan kahak atau lendir di dalam hidung. Selain itu, hidung juga boleh dibersikan dengan cara memasukkan air ke dalam hidung. Manfaat kesihatan lain ialah perbuatan memasukkan air ke dalam hidung dapat menghindarkan penyakit lain seperti selesema. Selain itu, ia bermanfaat untuk membersihkan hidung secara rohaniah kerana ada hadis dari Nabi SAW yang menyebut syaitan bermalam di dalam hidung, sebagaimana dalam hadis; Jika salah seorang di antara kalian bangun dari tidurnya, maka hendaklah berwuduk lalu beristintsar sebanyak tiga kali kerana syaitan bermalam di rongga hidungnya”HR. Bukhari no.3295


2) Berpuasa

Untuk kesihatan dan akal yang lebih baik. Berusahalah untuk berpuasa Isnin dan Khamis.


3) Membaca Al-Quran 

Al-Quran adalah syifa’ atau penawar bagi orang yang beriman. Membaca Al-Quran dapat menguatkan ingatan kerana ia merupakan hidangan istimewa dari Allah SWT. Sebagaimana kita menghargai hidangan yang disajikan oleh seseorang, begitulah kita harus menghormati Al-Quran dengan mendalaminya, demi menyenangkan hati pemberi nikmat tersebut.


Dengan membaca Al-Quran, seseorang akan merasakan kenikmatan yang mendalam dan akan merasa kekosongan jika tidak dapat membacanya. Nikmatilah hidangan dari Allah ini sebaik mungkin, sesuai kemampuan kita. Al-Quran adalah penghubung antara hamba dan Tuhannya, serta merupakan penawar yang sangat berkesan.


Membacanya dengan tadabbur bukan hanya memberi ketenangan, tetapi juga menjadi pelindung bagi mereka yang beramal dengannya. Al-Quran mampu menjaga dan melindungi pengamalnya. Apabila seseorang kerap membaca Al-Quran, hatinya akan sentiasa mengingati Allah, dan syaitan pun akan menjauh.


Ringkasan

  • Kuatkan ingatan dengan:
    • Bersiwak
    • Berpuasa
    • Membaca Al-Quran
  • Ingatan yang lemah mungkin berpunca daripada banyaknya dosa. Atasi dengan:
    • Beristighfar
    • Berselawat
  • Amalkan perkara yang dilakukan oleh Nabi SAW walaupun tidak wajib, sejauh kemampuan kita.
  • Ikuti sunnah Nabi SAW yang sebenar untuk memperoleh syafaat baginda di akhirat nanti.
  • Ramai umat Nabi SAW tidak mendapat syafaat kerana mengamalkan amalan yang menyimpang dari ajaran baginda.
  • Yang paling penting ialah kita tidak 'lupa' ketika sakaratul maut, kerana amalan-amalan ini membantu menjaga kita pada saat itu, saat di mana banyak gangguan lain hadir.
Gambar-Gambar
Nota
Gambar

1 Ulasan

Catat Ulasan

Post a Comment

Terbaru Lebih lama