Program CSR AKRAB Melaka di MTTJ Berlangsung Meriah


19 Disember 2024 — Bertempat di Masjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, Taman Temerloh Jaya (MTTJ), Program Jelajah AKRAB 2024 bertemakan "Menyemai Kasih, Menuai Keberkatan" berlangsung dengan meriah pada petang ini melalui pelbagai aktiviti. Program ini merupakan hasil kerjasama antara Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM), Pejabat Ketua Menteri Melaka, dan pihak MTTJ.  


Rombongan AKRAB dari Melaka tiba di MTTJ sekitar jam 12.00 tengah hari dengan lima buah kenderaan yang membawa seramai 19 orang peserta. Ketibaan mereka disambut mesra oleh Ahli Jawatankuasa MTTJ.  


Selepas menunaikan solat Zohor, para peserta dijamu dengan hidangan istimewa Temerloh, iaitu ikan patin gulai tempoyak, sebagai santapan tengah hari. Seusai menjamu selera, program diteruskan di Dewan Seminar MTTJ.  


Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Bilal Haji Jamaluddin Musa, diikuti oleh ucapan alu-aluan daripada Pengerusi MTTJ, Dr. Haji Abdullah Ismail. Dalam ucapan beliau, Dr. Haji Abdullah mewakili Ahli Jawatankuasa (AJK), pegawai, dan jemaah MTTJ merakamkan penghargaan kepada pihak BPSM dan AKRAB kerana memilih MTTJ sebagai destinasi program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) mereka pada tahun ini.  


Menurut beliau, pemilihan ini merupakan satu penghormatan besar kerana daripada lebih 6,500 masjid di seluruh Malaysia, MTTJ telah dipilih dan tentunya selepas melalui proses saringan yang ketat oleh pihak AKRAB.


Dr. Abdullah juga turut memuji golongan asnaf terpilih yang turut hadir dan memberi kerjasama dalam meraikan tetamu pada majlis tersebut. Seterusnya, Dr. Abdullah turut berkongsi sejarah perkembangan MTTJ, yang pada asalnya berstatus masjid taman. Berkat usaha gigih jemaah, MTTJ kini menjadi masjid yang makmur, dengan solat Subuh mendapat sambutan hampir setanding solat Jumaat sejak enam tahun lalu. Kejayaan ini, menurut beliau, adalah bukti keberkatan dan rahmat Allah. Tambahannya lagi, MTTJ telah menerima pelbagai anugerah yang dianggap sebagai bonus, bukan untuk tujuan berbangga.


Majlis diteruskan dengan ucapan Pengerusi AKRAB Melaka, En. Ikmal Borhan. Dalam ucapan ringkasnya, beliau mengucapkan terima kasih kepada pihak MTTJ atas kesudian menerima AKRAB untuk melaksanakan aktiviti CSR, serta atas kerjasama yang bakal diberikan sepanjang program berlangsung. Menurut beliau, pemilihan MTTJ sebagai lokasi program CSR tahun ini adalah berdasarkan kriteria tertentu yang dipenuhi oleh pihak masjid.  


En. Ikmal juga berkongsi serba sedikit mengenai latar belakang AKRAB, sebuah organisasi yang diwujudkan untuk melahirkan rakan pembimbing sekerja. Organisasi ini bertujuan mewujudkan suasana kerja harmoni serta budaya kerja positif di jabatan atau agensi kerajaan.  


Sebagai simbolik penyerahan bantuan kepada golongan asnaf, yang merupakan salah satu agenda utama program ini, En. Ikmal Borhan menyerahkan lima pek bantuan kepada asnaf terpilih di bawah seliaan Biro Sosial dan Kebajikan MTTJ (BKS), dengan diiringi oleh Dr. Haji Abdullah Ismail dan En. Ab Manaff Bin Safien (Pengerusi BSK MTTJ). Secara keseluruhan, sebanyak 30 pek bantuan makanan telah disediakan untuk disalurkan kepada 30 individu asnaf. Pek-pek ini adalah hasil sumbangan daripada AKRAB dan syarikat Mamee Double-Decker Berhad.


Setelah majlis di Dewan Seminar MTTJ tamat, program diteruskan dengan aktiviti CSR berupa gotong-royong membersih dan mengecat landskap di halaman utama masjid.


Program CSR AKRAB 2024 di MTTJ melabuhkan tirainya sekitar jam 4.00 petang. Para peserta berkesempatan menikmati minum petang sebelum berangkat pulang ke Melaka sekitar jam 4.30 petang.  


0 Ulasan

Catat Ulasan

Post a Comment (0)

Terbaru Lebih lama