Kuliah Maghrib 25 Disember 2024, Ustaz Dr. Ahmad Irfan Ikmal

Tarikh Penceramah Tajuk
25/12/2024 Ustaz Dr. Ahmad Irfan Ikmal Hisham

Nota Kuliah

Ibrah Dari Syria (Bahagian 2)

Jelmaan semula Firaun

Allah menggambarkan perangai Firaun sebagai seorang yang jahat dan melampaui batas dalam pemerintahannya.

Sikapnya yang berlebihan membawa kepada kesombongan hingga dia berani mengaku dirinya sebagai Tuhan.

Perilaku Firaun ini telah dirakamkan oleh Allah dalam firman-Nya.

"Sesungguhnya Firaun telah berlaku sombong di muka bumi, dan menjadikan penduduknya berpuak-puak, dengan menindas segolongan dari kalangan mereka, menyembelih anak lelaki mereka dan membiarkan hidup anak perempuan mereka. Sesungguhnya dia adalah daripada golongan yang melakukan kerosakan."— Al-Qasas 28:4

Allah turut menceritakan tentang Firaun, yang memecahbelahkan penduduknya kepada puak-puak untuk melemahkan mereka. Taktik "pecah dan perintah" ini bukanlah sesuatu yang baru diperkenalkan semasa penjajahan moden, tetapi sudah diamalkan sejak zaman Firaun untuk memastikan kuasanya kekal mutlak.


Semasa zaman Nabi Yusuf, hubungan antara orang Mesir dan Bani Israel tidak bermasalah. Menurut pendapat ahli sejarah, pada masa itu, Mesir diperintah oleh pemerintah yang berasal dari Kota Syam (Asiatik), iaitu orang Arab berkulit cerah yang menjajah Mesir. Ketika itu, penduduk asal Mesir berkulit gelap. Pemerintah Mesir pada zaman Nabi Yusuf tidak digelar sebagai Firaun, tetapi disebut sebagai Malik (Raja).


Pada zaman ini, salah satu tokoh yang dianggap zalim adalah keluarga Al-Asad.


Kerajaan Rom Timur pernah berpusat di sekitar Damsyik dan mereka juga pernah menjajah Baitul Maqdis serta menjadikannya pusat pemerintahan mereka sehingga ia ditukar kepada Elia Capitolina. Ini berlaku semasa zaman Nabi Muhammad SAW. Terdapat riwayat yang disampaikan kepada beberapa sahabat, apabila mereka bercakap mengenai Baitul Maqdis, mereka merujuknya sebagai Iliya. Iliya ini berasal daripada nama Elia Capitolina, yang diberikan oleh kerajaan Rom.


Kita juga telah membincangkan kedudukan Syam, khususnya Syria, semasa zaman kerajaan Uthmaniyah (Ottoman). Wilayah Uthmaniyah merupakan wilayah yang sangat besar (Syria, Jordan, Palestin, Lubnan, dan sebagainya). Pada zaman Uthmaniyah, pemerintahan mereka berlangsung lama. Namun, Uthmaniyah jatuh pada Perang Dunia Pertama, sekitar tahun 1917. Pada tahun itu, Baitul Maqdis diserahkan oleh pihak Turki Uthmaniyah kepada General Allenby.


Setahun sebelum itu (1916), penjajah dari Perancis dan British membuat perjanjian yang dikenali sebagai Perjanjian Sykes-Picot. Perjanjian ini adalah satu bentuk pecah dan perintah (divide and rule). Dalam perjanjian tersebut, panglima perang British (Mark Sykes) dan Perancis (François Georges-Picot) bersetuju untuk membahagikan wilayah Uthmaniyah. Mereka berjaya melemahkan perpaduan orang Islam dengan menanam semangat kebangsaan Arab, mengatakan bahawa orang Arab ditindas oleh Turki. Hasilnya, wilayah Arab bangkit menentang pemerintahan Uthmaniyah.


Maka, ketika orang Arab bangkit memberontak, ketika itulah British dan Perancis (Sykes-Picot) telah melukis sempadan baru bagi membahagikan wilayah-wilayah ini, menghasilkan peta seperti yang kita lihat hari ini — Syria, Palestin, Lubnan, Iraq, dan Turki.


Bangsa Kurdi (bangsa Salahuddin Al-Ayubi) yang merupakan bangsa perang dan alim, turut dipecah-belahkan. Wilayah Kurdi dibahagikan kepada tiga negara: Turki, Syria, dan Iraq. Akibatnya, bangsa Kurdi menjadi minoriti di setiap negara tersebut dan mereka tidak dapat bersatu kerana mereka bernaung di negara masing-masing.


Antara kesan yang ditinggalkan oleh penjajah ini bagaikan bom jangka. Apabila mereka meninggalkan wilayah ini, penduduknya sukar untuk bersatu kerana sudah dipecah belahkan dan ini terbukti dengan situasi yang berlaku sekarang di Syria. Namun di Iraq mereka diberikan satu wilayah autonomo yang digelar Kurdistan, tetapi bilangan mereka tidak ramai. Ini adalah hasil percaturan yang dilakukan oleh penjajah suatu masa dahulu.


Dari segi demografi Syria, majoriti penduduknya adalah orang Arab, diikuti oleh bangsa Kurdi (10%), bangsa Turkmen (5%), dan lain-lain. Dari segi agama, 70% penduduk Syria adalah Sunni, dengan sebahagian kecil Kristian Ortodoks, Yahudi, dan Syiah (Ismailiyah). Kristian Ortodoks di Syria dipercayai hampir dengan Kristian asal yang dipengaruhi ajaran Hawariyyun.


Setelah Perancis memerintah Syria, pengaruh Perancis menjadi jelas dalam identiti budaya dan politik negara itu.


Namun, pada tahun 1946, Syria berjaya mencapai kemerdekaannya dan menubuhkan kerajaan republik. Selepas kemerdekaan, negara ini mengalami ketidakstabilan politik, yang ditandai dengan beberapa kali rampasan kuasa oleh pelbagai kumpulan politik dan tentera.


Syria telah menggunakan sembilan bendera berbeza sepanjang sejarah moden, menggambarkan perubahan dalam struktur pemerintahan dan ideologi negara, terutama setiap kali kepimpinan negara bertukar.


Selepas penubuhan Israel pada tahun 1948, Syria melihat Israel sebagai ancaman serius terhadap kedaulatan wilayah dan identiti dunia Arab. Oleh itu, pada tahun 1958, Syria dan Mesir bersatu untuk membentuk Republik Arab Bersatu (United Arab Republic, UAR), sebagai langkah untuk memperkukuhkan kekuatan politik dan ketenteraan dalam menghadapi ancaman luar. Namun, kesatuan ini hanya bertahan hingga tahun 1961 apabila Syria menarik diri kerana ketidakpuasan terhadap dominasi Mesir dalam kesatuan tersebut. Pada masa itu muncul pula Parti Ba'ath yang berorientasikan sosialis. Kesannya dapat dilihat semasa pemerintahan Assad yang mana sekutunya adalah negara-negara seperti Russia, dan Iran yang cenderung kepada sosialis. Pada tahun 1970, ketika Hafez al-Assad (ayah Bashar Al-Assad) yang pada waktu itu merupakan Menteri Pertahanan, tidak berpuas hati dengan presiden Syria yang ketika itu, Nur al-Din al-Atassi. Lalu dia menyingkirkan presiden Syria dan melantik dirinya sebagai pemerintah Syria yang baru. Dia juga menangkap Nur al-Din al-Atassi dan memenjarakannya. Gambar-gambar Hafez al-Assad memang terdapat di merata-rata tempat di Syria, ia adalah langkah mendoktrinkan pemikiran rakyat bahawa Hafez al-Assad adalah pemerintah selama-lamanya. Pada hari ini, kita juga mudah untuk menjumpai patung-patung Hafez al-Assad di Syria. Namun dengan kejatuhan rejim baru-baru ini patung-patung tersebut telah dimusnahkan oleh rakyat.


Pemerintahan Hafez al-Assad adalah bersifat diktator dan dia sangat memusuhi reformasi Islam. Contohnya adalah dalam peristiwa Hama Massacre pada 1982, yang melibatkan penindasan kejam oleh rejim Hafez al-Assad terhadap pemberontakan yang dilakukan oleh Ikhwanul Muslimin.


Pada tahun 2000, akhirnya Hafez al-Assad meninggal dunia dan digantikan oleh anaknya, Bashar al-Assad untuk mengambil alih pemerintahan. Bashar, seorang doktor mata yang menerima pendidikan di London, pada awalnya dilihat sebagai simbol pembaharuan dan harapan bagi rakyat Syria. Namun sebaliknya berlaku kerana tiada perubahan berlaku.


Di Syria, rejim keluarga al-Assad telah lama menggunakan pelbagai strategi untuk memastikan kesetiaan rakyat kepada pemerintahan mereka, termasuk melalui sistem pendidikan. Anak-anak sekolah dilatih sejak kecil untuk memberikan kesetiaan mutlak kepada keluarga al-Assad. Program seperti Briged Ba'ath diwujudkan untuk menanam ideologi rejim, menjadikan sekolah sebagai alat indoktrinasi.


Ketegangan mula memuncak apabila seorang kanak-kanak sekolah yang menulis grafiti di dinding: "Telah pun tiba giliran kamu, wahai doktor", merujuk kepada Bashar al-Assad yang sebelum menjadi presiden adalah seorang doktor mata. Tulisan ini mencerminkan kekecewaan dan kemarahan terhadap rejim yang telah sekian lama menindas rakyat.


Tindakan ini dianggap sebagai penghinaan besar kepada pemerintah. Reaksi rejim sangat keras:


Penahanan dan Penyiksaan:

Kanak-kanak yang terlibat, bersama beberapa guru sekolah, ditangkap oleh pasukan keselamatan. Penahanan kanak-kanak tersebut mencetuskan kemarahan rakyat dan protes aman yang dibalas dengan kekerasan rejim, memulakan pemberontakan besar terinspirasi oleh Arab Spring.


Rejim Bashar al-Assad melancarkan serangan ke atas penduduk Ghouta dengan menggunakan senjata kimia. Serangan ini menyasarkan rakyat yang bangkit memberontak dan penduduk awam, menyebabkan kematian ribuan orang, termasuk kanak-kanak. Ghouta pernah disabdakan oleh Nabi SAW;

"Tempat perhimpunan kaum Muslimin pada hari peperangan besar adalah di Ghouta, dekat dengan sebuah kota yang disebut Damsyik, salah satu kota terbaik di Syam." — HR. Abu Daud no.4285 (Hasan).


Baru-baru ini, di pinggir Damsyik, Syria, satu konflik besar berlaku antara tentera Bashar al-Assad dengan pemberontak yang dianggap sebagai musuh kepada sistem pemerintahan negara.


Baru-baru ini, di pinggir Damsyik, Syria, satu kawasan yang pada awalnya dianggap tanah lapang ternyata merupakan kawasan perkuburan besar. Penemuan ini terbongkar selepas pembebasan Kota Damsyik. Ratusan mayat, yang kebanyakannya adalah banduan, telah ditanam tanpa identiti. Pekerja dari rejim Assad mendedahkan bahawa bomba terpaksa dipanggil untuk menyiram jenazah-jenazah yang telah membeku dan melekat antara satu sama lain.


Penduduk setempat tidak mampu untuk melaporkan hal tersebut kepada dunia luar, kerana mereka hidup dalam ketakutan dan kecurigaan kerana sistem pemantauan regim yang ketat. Rejim menggunakan taktik memomokkan rakyat dengan idea bahawa orang terdekat mereka mungkin pengintip, mencetuskan rasa wasangka dan menghalang mereka daripada melaporkan keadaan sebenar kepada dunia luar.


Pada tahun 2012 ulama-ulama Syria melaporkan jumlah rakyat Syria yang dibunuh lebih dari setengah juta, lebih ramai dari rakyat Palestin yang dibunuh oleh z-10=nis. Namun pada masa itu ramai yang tidak mempercayainya.


Kini penderitaan rakyat Syria telah tamat, Al Assad telah disingkirkan oleh pergerakan Hayat Tahrir al-Sham (HTS) pimpinan Abu Muhammad al-Julani. Kini Syria dipimpin oleh Mohammed al-Bashir sebagai Perdana Menteri sementara untuk negara tersebut hingga Mac 2025.


Mohammed al-Bashir adalah seorang tokoh politik yang berperanan sebagai perdana menteri di wilayah Idlib, yang merupakan kubu kuat pembangkang di Syria. Dia adalah seorang teknokrat yang memiliki ijazah dalam bidang syariah dan bukan asing dalam pentadbiran. Idlib sendiri menjadi kawasan yang dikuasai oleh kelompok pembangkang dan militan, dengan kerajaan yang berfungsi secara de facto di bawah kawalan mereka.


Gambar-Gambar
Nota
Gambar

0 Ulasan

Catat Ulasan

Post a Comment (0)

Terbaru Lebih lama