
Tarikh | Penceramah | Nota |
---|---|---|
24/12/2024 | Ustaz Ramizul Amin | Ganti |
Besyukur kerana kita dikurniakan masa dan dapat menunaikan solat Maghrib berjemaah di masjid pada malam ini. Mudah-mudahan perkongsian ilmu pada malam ini dapat memberi kebaikan di dunia dan akhirat.
Hadis
Hadis merupakan satu perkara yang penting kerana ia daripada lidah Rasulullah, jadi ia perlu tepat dari sudut kefahaman dan sifat hukum mestilah bertepatan dengan apa yang dinyatakan oleh Nabi SAW, tidak boleh ikut sesuka hati, sama juga seperti Al-Quran, yang merupakan kalam Allah. Maka, kita perlu memastikan sesebuah hadis itu bertepatan dengan apa yang disampaikan dan dimaksudkan oleh Rasulullah SAW.
Apabila menyebut tentang ibadah, setiap perbuatan hendaklah bertepatan dengan suruhan Allah dan Rasulullah. Ia perlu memenuhi dua rukun, iaitu; Amal fizikal (rukun pertama) perlu bertepatan mengikut syariat, misalnya perbuatan fizikal rakaat dalam solat. Rukun yang kedua ialah rukun hati, amalan batin. Ibadah tertolak jika tidak mempunyai kedua-dua rukun ini atau jika tidak bertepatan dengan apa yang telah disyariatkan.
IKHLAS
Sifat ikhlas mempunyai beberapa ciri-ciri seperti yang dinyatakan di dalam Al-Quran dan hadis, antaranya ialah:
Sebagaimana firman Allah:
"Sesungguhnya kami memberi makanan kepadamu hanyalah kerana mengharapkan keredaan Allah. Kami tidak menghendaki balasan daripadamu dan tidak pula (ucapan) terima kasih." — Al-Insan 76:9
Setiap perbuatan kita hendaklah mengharapkan keredaan Allah sahaja tanpa mengharapkan sebarang balasan atau penghargaan manusia.
Orang-orang yang mengharapkan redha Allah juga akan berjalan di muka bumi ini dengan perasaan rendah hati, sebagaimana firman Allah:
"Dan hamba-hamba Tuhan Yang Maha Penyayang itu ialah orang-orang yang berjalan di bumi dengan rendah hati." — Al-Furqan 25:63
Seseorang yang mengharapkan redha Allah, tidak akan memandang tinggi kepada dirinya sendiri meskipun amal ibadahnya banyak. Sebaliknya, dia tetap melangkah dengan penuh kerendahan hati tanpa sedikit pun merasa tinggi diri.
Firman Allah SWT:
"Sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwanya." — Asy-Syams 91:9
Orang yang sentiasa ikhlas dan bermuhasabah diri berusaha untuk memperbaiki amalannya, dengan tujuan mencapai kesempurnaan iman dan takwa kepada Allah SWT.
Amalan kebaikan ada dua iaitu;
Firman Allah SWT:
"Jika kamu menampakkan sedekahmu, itu adalah baik sekali. Dan jika kamu menyembunyikannya dan memberikannya kepada orang-orang fakir, maka itu lebih baik bagimu." — Al-Baqarah 2:271
Walaupun ayat di atas merujuk kepada sedekah, pengajaran yang boleh diambil adalah ia mencakupi segala bentuk amal ibadat kepada Allah. Namun, ada kebimbangan bahawa dengan mempamerkan perbuatan sedekah, ia boleh menimbulkan perasaan riak dalam hati.
Meskipun begitu, menzahirkan sedekah tidak menjadi kesalahan sekiranya seseorang itu mampu menjaga hati dan tetap ikhlas dalam perbuatannya. Keikhlasan adalah kunci utama dalam setiap amal ibadat, kerana hanya Allah yang mengetahui niat sebenar di dalam hati hamba-Nya.
Dalam masa yang sama, kita juga dilarang menilai niat orang lain yang mempamerkan sedekahnya, sama ada dia ikhlas atau tidak. Hal ini kerana kita tidak mengetahui apa yang ada di dalam hati manusia. Sebagaimana kisah sahabat Nabi, Usamah bin Zaid, yang dalam satu peperangan telah membunuh musuh yang telah mengucapkan dua kalimah syahadah. Usamah menyangka bahawa ucapan tersebut hanyalah helah untuk menyelamatkan diri. Apabila perkara itu sampai kepada Rasulullah SAW, baginda memanggil Usamah dan menegurnya dengan sabda:
"Adakah kamu telah membelah hatinya untuk melihat apakah dia ikhlas atau tidak?" — HR. Bukhari no.4269: Kitab al-Maghazi
Kisah ini mengajarkan kita untuk tidak membuat andaian atau menghukum niat seseorang, kerana hanya Allah yang mengetahui isi hati manusia.
Dalam sebuah hadis Qudsi Allah berfirman;
"Wahai hamba-hamba-Ku, sesungguhnya Aku mengharamkan kezaliman atas diri-Ku, dan Aku menjadikannya haram di antara kalian, maka janganlah kalian saling menzalimi. Wahai hamba-hamba-Ku, sesungguhnya kalian semua sesat, kecuali orang yang Aku beri petunjuk, maka mohonlah petunjuk kepada-Ku, niscaya Aku akan memberi petunjuk kepada kalian. Wahai hamba-hamba-Ku, sesungguhnya kalian semua lapar, kecuali orang yang Aku beri makan, maka mohonlah makanan kepada-Ku, niscaya Aku akan memberi makan kepada kalian. Wahai hamba-hamba-Ku, sesungguhnya kalian semua telanjang, kecuali orang yang Aku beri pakaian, maka mohonlah pakaian kepada-Ku, niscaya Aku akan memberi pakaian kepada kalian. Wahai hamba-hamba-Ku, sesungguhnya kalian melakukan kesalahan pada malam dan siang hari, dan Aku mengampuni semua dosa, maka mohonlah ampunan kepada-Ku, niscaya Aku akan mengampuni kalian. Wahai hamba-hamba-Ku, sesungguhnya kalian tidak akan dapat memberi mudarat kepada-Ku sehingga kalian dapat memudaratkan-Ku, dan kalian tidak akan dapat memberi manfaat kepada-Ku sehingga kalian dapat memberi manfaat kepada-Ku. Wahai hamba-hamba-Ku, seandainya orang yang pertama hingga yang terakhir dari kalian, baik manusia maupun jin, berada dalam keadaan paling bertakwa seperti hati orang yang paling bertakwa di antara kalian, itu tidak akan menambah kerajaan-Ku sedikit pun. Wahai hamba-hamba-Ku, seandainya orang yang pertama hingga yang terakhir dari kalian, baik manusia maupun jin, berada dalam keadaan paling jahat seperti hati orang yang paling jahat di antara kalian, itu tidak akan mengurangi kerajaan-Ku sedikit pun. Wahai hamba-hamba-Ku, seandainya orang yang pertama hingga yang terakhir dari kalian, baik manusia maupun jin, berdiri di satu tempat lalu mereka memohon kepada-Ku dan Aku memberi setiap orang dari mereka apa yang dimintanya, itu tidak akan mengurangi apa yang Aku miliki, kecuali seperti jarum yang dimasukkan ke dalam laut. Wahai hamba-hamba-Ku, sesungguhnya semua itu adalah amal kalian, Aku mencatatnya untuk kalian, kemudian Aku akan membalasnya kepada kalian. Maka barang siapa yang mendapati kebaikan, hendaklah ia memuji Allah, dan barang siapa yang mendapati selain itu, maka janganlah mencela kecuali dirinya sendiri."— HR. Muslim no.2577
Pengajaran Hadis
Segala amalan yang kita lakukan tidak dapat menambah kebesaran Allah, sebaliknya amalan itu adalah untuk diri kita sendiri. Begitu juga dengan memohon kepada Allah, yang mana ia adalah untuk kebaikan kita, sedangkan Allah Maha Kaya, dan gambaran kekayaan-Nya adalah seperti jarum yang dicelupkan ke dalam lautan, yang tidak memberi kesan sedikit pun pada luasnya lautan tersebut.
Setiap orang yang beriman perlu menyedari bahawa Allah SWT adalah Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Oleh itu, kita hendaklah sentiasa memohon keampunan dan kembali kepada-Nya dengan penuh keikhlasan. Dalam beribadah dan berdoa, kita disarankan untuk memohon kebaikan serta rahmat daripada Allah dengan hati yang khusyuk dan rendah diri.
Allah melimpahkan kasih sayang-Nya ke dalam jiwa setiap orang mukmin. Jika seseorang tidak merasakan kasih sayang Allah, maka dia perlu bermuhasabah dan memperbaiki jiwanya. Allah SWT sendiri menyeru semua hamba-Nya, termasuk mereka yang mukmin mahupun kafir, untuk menyembah-Nya semata-mata. Kita seharusnya tersentuh hati apabila mendengar peringatan melalui ayat-ayat Allah. Meskipun kita tidak memahami sepenuhnya maksud ayat-ayat al-Quran, ia tetap mampu menyentuh hati dan memberikan kenikmatan kepada orang-orang mukmin yang membacanya dengan penuh keikhlasan kerana ia adalah mukjizat dari Allah SWT.
Rasa kasih kepada ibadah akan terbit, contohnya orang yang kerap solat berjemaah di masjid akan merasakan perasaan tidak senang dan kehilangan sekiranya dia terlepas walaupun satu waktu untuk solat berjemaah di masjid. Begitu juga dengan orang yang melazimi solat sunat sebelum subuh, jika ia terlepas walau sekali, dia pasti akan terasa ada yang kurang dan tidak sempurna kehidupan pada hari itu. Semua ini berlaku kerana Allah telah meletakkan kasih sayang kepada ibadah di dalam jiwa hambanya.
Sepatutnya orang beriman mendidik hatinya untuk sentiasa merendahkan diri dan berhajat kepada pertolongan Allah, serta memuji Allah setiap kali menerima nikmat dari-Nya.
Nikmat terbesar yang Allah berikan adalah nikmat iman dan Islam. Namun, terdapat juga individu yang diberikan nikmat Islam tetapi tidak dianugerahkan nikmat iman. Oleh itu, kita yang dikurniakan nikmat iman dan Islam hendaklah sentiasa bersyukur atas anugerah tersebut. Memang benar, ramai yang beragama Islam, tetapi tidak semua benar-benar beriman. Orang yang beriman adalah mereka yang taat kepada perintah Allah SWT serta menjauhi segala larangan-Nya.
Orang yang memohon hidayah dan bantuan Allah pasti akan dikabulkan permintaan mereka. Kita harus yakin bahawa doa yang dipohon kepada Allah akan dimakbulkan, sama ada dengan segera atau lambat, atau Allah akan menggantikannya dengan sesuatu yang lebih baik. Sebagai contoh, seseorang yang berdoa memohon rezeki dari Allah, namun doanya tidak dimakbulkan dan dia menyangka bahawa Allah tidak memperkenankan doanya. Namun, dia tidak mengetahui bahawa takdirnya telah ditentukan, yang mana dia akan ditimpa kemalangan di tengah jalan. Allah telah mengangkat doanya dengan menjauhkan dia dari kemalangan tersebut, sehingga dia dapat terus bekerja dan mencari rezeki. Jika doanya dimakbulkan dan dia tidak dilindungi dari kemalangan itu, dia mungkin tidak dapat bekerja dan mencari rezeki lagi. Oleh itu, hendaklah kita sentiasa berbaik sangka kepada Allah SWT, kerana Allah sentiasa memberikan yang terbaik untuk hamba-Nya.
Allah mendidik kita agar sentiasa berfikir tentang sumber makanan, pakaian, dan segala nikmat yang kita terima. Semua nikmat itu adalah dari Allah SWT, bukan hasil usaha kita sendiri, walaupun usaha itu adalah sebahagian daripada sunnah.
Sehebat manapun seseorang melakukan kejahatan, ia sedikit pun tidak memberi kesan kepada Allah dan Allah mengetahui segala kebaikan dan kejahatan hamba-Nya. Maka, setiap individu harus sentiasa merasakan dirinya berada dalam pemerhatian Allah SWT.
Allah tidak menghukum pelaku maksiat dengan segera, tetapi menangguhkan hukuman tersebut hingga ke akhirat. Ini adalah peluang yang diberikan Allah kepada manusia untuk bertaubat, dan inilah bentuk ehsan Allah kepada hamba-hamba-Nya. Itulah kasih sayang Allah SWT.
Setiap hamba memerlukan bantuan Allah dalam segala urusan dunia dan akhirat. Kerana itu antara sebaik-baik doa adalah; Rabbana Atina Fiddunya Hasanah wa Fiyal-Akhirati Hasanah wa Qina ‘Adzab An-Nar — Al-Baqarah, ayat 201
(Ya Tuhan kami, berikanlah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, serta peliharalah kami daripada azab neraka). Doa ini meliputi dan mencakupi segala kebaikan di dunia (kesihatan, rezeki, jodoh dll) dan juga di akhirat (sewaktu timbangan,mizan dll hingga ke syurga).
- Salah faham tentang wali, yang biasa dianggap seorang yang mempunyai karomah, boleh berjalan di atas air atau sebagainya. Namun maksud sebenar wali ialah orang yang dirinya dekat dengan Allah. Kerana itulah doa mereka makbul. Jelaslah orang yang dekat dengan Allah ini biasanya orang yang sentiasa menjaga ibadahnya dan dia juga dikurniakan dengan banyak kelebihan, antaranya makbul doanya. kerana itu jika kita melihat ada seseorang yang bagus amal ibadahnya, maka kita boleh meminta didoakan oleh orang itu, mudah-mudahan dia termasuk dalam golongan para wali.
- Hadis Qudsi adalah hadis yang maknanya berasal dari Allah SWT, tetapi lafaznya disampaikan melalui Rasulullah SAW.
- Kezaliman manusia kepada Allah ialah SYIRIK
- Hidayah adalah milik mutlak Allah SWT, dan ini dapat dilihat dalam sejarah, seperti kisah Abu Talib dan Abu Lahab, yang meskipun sangat rapat dengan Rasulullah SAW, tetap tidak menerima hidayah untuk memeluk agama Islam.












Catat Ulasan