Kuliah Maghrib 27 Disember 2024, Ustaz Zarimi Abu Zih

Tarikh Penceramah Tajuk
27/12/2024 Ustaz Zarimi Abu Zih

Nota Kuliah

Tadabur Surah Yasin 77-79


Sebelum itu, imbas kembali ayat 74 dan 75 yang menyentuh mengenai bagaimana orang yang dikurniakan nikmat oleh Allah SWT. Tentunya, ayat-ayat ini diturunkan kepada penduduk Quraisy, kerana Surah Yasin diturunkan di Mekah pada waktu Nabi SAW sedang berdakwah kepada penduduk Mekah untuk beriman kepada Allah. Namun, mereka menolak ayat-ayat yang disampaikan oleh Nabi SAW. Antaranya, Nabi SAW membaca dan menyebutkan tentang nikmat-nikmat yang dikurniakan oleh Allah kepada mereka. Namun, mereka tidak mengambil iktibar, tidak merenung, dan tidak bersyukur dengan nikmat yang telah diberikan.


Bahkan, Allah berfirman dalam Surah Yasin, ayat 74; 

"Tergamak kamu mengambil Tuhan selain daripada Allah yang kamu harapkan dapat menolong kamu." — Yasin 36:74

Ini merujuk kepada tuhan-tuhan selain Allah yang mereka sembah.

Allah berfirman, jika kamu merasakan bahawa tuhan-tuhan yang kamu sembah itu dapat membantu kamu, maka mintalah pertolongan daripada mereka, sama ada di dunia mahupun di akhirat. Namun, pada ayat yang 75, Allah menjelaskan bahawa berhala-berhala yang mereka sembah tidak akan mampu menolong mereka, sebagaimana firmannya;

"Benda-benda yang mereka sembah itu tidak dapat sama sekali menolong mereka, sedang benda-benda itu sendiri menjadi tentera yang akan dibawa hadir (pada hari kiamat, untuk memberi azab seksa) kepada mereka." — Yasin 36:75


Berhala-berhala itu akan dibawa ke hadapan pada hari kiamat untuk memberi azab kepada mereka. Allah menegaskan bahawa apa yang mereka sembah itu tidak akan memberi manfaat, bahkan akan menjadi sumber azab bagi mereka.


Seterusnya, dalam ayat 76, Allah memberi peringatan kepada Nabi SAW, sebagai motivasi kepada baginda untuk terus berusaha menyampaikan wahyu dan tidak berputus asa dalam menghadapi penolakan dari kaumnya.

"Maka janganlah engkau (wahai Muhammad) berdukacita disebabkan tuduhan-tuduhan mereka (terhadapmu). Sesungguhnya Kami sedia mengetahui apa yang mereka sembunyikan dan apa yang mereka nyatakan."— Yasin 36:76


Mereka yang berusaha melakukan kebaikan, seperti mengajak orang solat dan mengamal amar ma'ruf nahi munkar, pasti akan diuji dengan tohmahan dan fitnah. Ini adalah ujian dalam perjuangan. Apa yang berlaku kepada Rasulullah SAW, begitu juga akan dihadapi oleh orang yang mengikuti jejak langkah Baginda. Mereka pasti diuji seperti yang pernah dilalui Nabi SAW. 


Contohnya, sebuah kerajaan negeri telah melaksanakan hukum sebat menurut syariat Islam. Di mana, hukuman begini disebut dalam al-Quran (rotan) dan disaksikan oleh sekumpulan orang beriman. Namun, cabaran untuk melaksanakan perintah Allah datang daripada pelbagai pihak yang menentang, seperti NGO dan kumpulan tertentu yang menghina dan memalukan, sedangkan dari segi undang-undang syariat dalam negara kita, ia tidak menyalahi perlembagaan. Kita yang beriman berusaha melaksanakan syariat Allah SWT. Alhamdulillah, ini adalah perkembangan baik untuk undang-undang syariah di negara kita dan mudah-mudahan satu hari nanti, Pahang juga akan melaksanakan hukum syariat Allah.


Allah menurunkan ayat untuk mengingatkan kita agar tidak berduka cita atau lemah semangat dengan tohmahan dan cacian daripada orang lain, kerana Allah lebih mengetahui apa yang tersembunyi dan terzahir. Apabila kita bersama perjuangan Allah dalam Islam, kita tidak perlu bimbang. 


SURAH YASIN AYAT 77

Allah SWT berfirman; 

"Tidakkah manusia itu melihat dan mengetahui, bahawa Kami telah menciptakan dia dari (setitis) air benih?. Dalam pada itu (setelah Kami sempurnakan kejadiannya dan tenaga kekuatannya) maka dengan tidak semena-mena menjadilah ia seorang pembantah yang terang jelas bantahannya." — Yasin 36:77

Allah mengingatkan kita agar tidak lupa asal-usul kita, bahawa kita diciptakan daripada air mani, dan kemana kita akan pergi selepas ini. Kerana sekarang ini kita diibaratkan sedang bermusafir, dan ke mana hala tuju kita. Cukupkah hanya sekadar makan, tidur dan sebagainya. Contohnya hari ini, masih ramai umat Islam yang tidak menjaga solat, terutama solat Jumaat dan lima waktu. Ini adalah kerja kita untuk menyelamatkan umat Islam, terutamanya dalam menjaga solat. Sampaikanlah walaupun satu ayat yang kita tahu, terutamnaya kepentingan menjaga solat.


Allah mengingatkan kita agar tidak lupa asal usul, kerana kita diciptakan dari air mani yang sangat lemah, yang ia jika jatuh ke tanah ia langsung tidak berharga, namun selepas ia (Air mani) bercantum dengan telur, ia membentuk manusia yang sempurna. Walaupun asal-usul kita lemah, kita mesti ingat bahawa kita mempunyai Tuhan, Allah SWT, yang menciptakan kita dan memberi nikmat kepada kita. Ayat ini juga merupakan peringatan untuk kita semua, bukan hanya untuk orang kafir Quraisy. Oleh itu, kita perlu belajar dan memahami ayat-ayat al-Quran. Allah perintahkan kita untuk mentadaburi, merenung dan menghayati ayat-ayat-Nya. Sebagaimana firman Allah; 

"Maka apakah mereka tidak mentadabburi Al-Qur'an..."— Muhammad 47:24

Tadabur ialah; menghayati dan berusaha mengamalkan.


Namun terdapat beberapa halangan untuk kita mentadaburi al-Quran, terutama bila berhadapan dengan ayat yang sukar di fahami, tentang tujuan ayat itu diturunkan. Contohnya; Hukum syariat yang dilaksanakan di depan orang ramai, seperti sebatan, mengapa Allah suruh hukum di hadapan orang ramai?. Antaranya ialah ialah hendak melihat, adakah manusia boleh taat kepada suruhan Allah tersebut, dan untuk memberi pengajaran kepada orang yang melihat agar tidak melakukan kesalahan yang serupa, bagi orang yang beriman dia akan mengambil pelajaran tidak akan melakukan kesalahan tersebut kerana merasa malu dan itu adalah sifat yang ada pada orang beriman.


Dalam soal ini, banyak perkara dalam al-Quran yang mungkin sukar difahami dengan akal kita yang terbatas. Sebagai umat Islam, kita perlu mengakui bahawa akal kita tidak boleh mendahului perintah Allah. Sebagai contoh, ada kumpulan NGO yang membantah hukuman sebatan, kerana tidak memahami hikmah dari perintah hukuman tersebut. Begitu juga dengan hukum faraid, pembahagian harta pusaka yang telah ditetapkan oleh Allah. Walaupun ada yang berpendapat ia tidak adil, kita sebagai umat Islam wajib mengikut peraturan yang telah Allah tentukan. Mengabaikan hukum ini boleh menyebabkan perselisihan dan pertikaian, terutama dalam kalangan ahli keluarga yang tidak memahami hakikat hukum faraid. Oleh itu, penting untuk kita belajar dan memahami hukum ini agar tidak berlaku perselisihan yang boleh merosakkan hubungan kekeluargaan.


Ramai yang kini menjadi penentang atau pembantah terhadap ayat-ayat Allah, yang sering kali berlaku akibat kejahilan dan tidak memikirkan asal-usul kejadian diri serta hubungan kita dengan Allah. Kita semua berasal dari setitis air mani yang tidak berharga, yang sepatutnya menyedarkan kita tentang hakikat penciptaan diri kita. 


Tadabur adalah proses memikirkan dan memahami ayat-ayat Allah. Ada ayat yang jelas dan mudah untuk difahami, tetapi ada juga yang memerlukan kita merujuk tafsiran untuk benar-benar memahaminya. Kita tidak boleh sewenang-wenangnya menafsirkan al-Qur’an tanpa ilmu yang betul. Tafsiran al-Qur’an mestilah berdasarkan ajaran Nabi Muhammad SAW dan para sahabat.


Salah satu pengajaran dari ayat-ayat ini adalah supaya kita tidak merasa sombong dan mengingati bahawa kita semua adalah makhluk yang bergantung sepenuhnya kepada Allah. Tidak ada yang terjadi tanpa izin dan hidayah-Nya. Sebagai contoh, kita tidak boleh berkata bahawa kita mampu datang ke masjid hanya kerana usaha kita sendiri, tetapi kerana izin dan hidayah dari Allah.


Dalam Surah Yasin (ayat 78), Allah menyebutkan tentang mereka yang mempertikaikan kekuasaan-Nya, dengan berkata;

"Siapakah yang dapat menghidupkan tulang-tulang yang telah hancur seperti debu?" 

Ini adalah perbandingan yang dikemukakan oleh orang kafir yang tidak mengakui kekuasaan Allah. Mereka melupakan asal-usul penciptaan mereka yang bermula dari tiada menjadi ada. Mereka tidak menyedari bahawa Allah yang menciptakan mereka dari tiada, pasti mampu menghidupkan kembali tulang-tulang yang hancur.


Penting untuk kita semua memahami bahawa penciptaan manusia dari air mani yang lemah lebih menakjubkan berbanding menghidupkan kembali tulang-tulang yang telah hancur. Namun, orang kafir sering kali mencari alasan dan dalih untuk menolak kebenaran dan tidak menerima petunjuk Allah SWT.


Berkata Ibn Jawzi dalam tafsirnya (Zad al-Masir), jika dilihat kepada sebab khusus ayat ini dan ayat sebelumnya, turun kepada siapa, maka terdapat lima pandangan. Salah satunya, ia berasal daripada satu peristiwa; Ubay bin Khalaf seorang kafir datang bertemu dengan Nabi SAW dengan membawa seketul tulang, kemudian dia hancurkan tulang itu depan Nabi sehingga tulang itu menjadi debu. Kemudian dia biarkan debu itu diterbangkan angin. Dia berkata kepada Nabi, "Wahai Muhammad, siapakah yang mampu menghidupkan semula tulang yang telah dihancurkan dan diterbangkan oleh angin ini?"Nabi SAW menjawab, "Allah yang akan menghidupkannya, kemudian Allah akan mematikannya. Kemudian Allah akan memasukkan kamu ke dalam api neraka." 


Kadang-kadang Nabi memberikan jawapan yang tegas dan perlu berani menjawab dengan jelas bila orang kafir cuba merendahkan Islam. Mereka sering mempertikaikan, mempersendakan Allah dan agama kita, dan kita tidak boleh diam.


Jika ada orang yang mempertikaikan ajaran Islam, kita mesti bertindak. Kadang-kadang mereka cuba mengejek, seperti orang yang menulis dalam bukunya bahawa dia adalah duta Tuhan, atau orang yang mengajak orang Islam untuk menyambut Krismas. Itu adalah ujian yang berat bagi kita. Perbuatan seperti ini harus kita hindari dan beri amaran.


Maksudnya, jika ada anak-anak kita atau saudara-saudara kita yang bekerja di tempat yang menjual arak atau terlibat dengan perkara haram, kita harus menasihati mereka. Jangan biarkan mereka terus terlibat dalam perbuatan yang dilarang. Jangan hanya membenci dalam hati, tetapi perlu ada tindakan yang jelas.


Allah menjawab pertanyaan orang-orang kafir itu dengan firmannya;

Katakanlah: "Tulang-tulang yang hancur itu akan dihidupkan oleh Tuhan yang telah menciptakannya pada awal mula wujudnya; dan Dia Maha Mengetahui akan segala keadaan makhluk-makhluk (yang diciptakanNya). Yasin 36:79


Ayat ini diturunkan sebagai peringatan bahawa Allah berkuasa untuk menghidupkan semula tulang-tulang yang hancur. Nabi SAW menjelaskan bahawa Allah yang menciptakan kita pada awalnya, dan Dia juga yang akan menghidupkan semula kita di akhirat nanti.


Semoga kita semua mendapat pengajaran daripada ayat ini, bahawa Allah Maha Berkuasa untuk menghidupkan kita selepas mati, dan semoga kita digolongkan dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang sentiasa mentaati perintah-Nya dan akhirnya dimasukkan ke dalam syurga-Nya.


Gambar-Gambar
Nota
Gambar

0 Ulasan

Catat Ulasan

Post a Comment (0)

Terbaru Lebih lama