Kuliah Subuh 29 Disember 2024, Ustaz Hairulazam Abd Rahman

Tarikh Penceramah Tajuk
29/12/2024 Ustaz Hairulazam Abd Rahman

Nota Kuliah

Surah Maryam berada di Juzuk ke-16, dan mengandungi 98 ayat dan semuanya tergolong dalam kategori Makkiyah. Makkiyah bermaksud ayat-ayat yang diturunkan sebelum hijrah Nabi Muhammad SAW. Dalam perbincangan mengenai Al-Quran, istilah Makkiyah dan Madaniyah sering diulang. Tidak semua ayat Al-Quran diturunkan di Mekah atau Madinah; ada juga ayat yang diturunkan di tempat lain, walaupun jumlahnya tidak banyak.


Makkiyah merujuk kepada ayat-ayat yang diturunkan sebelum hijrah, manakala Madaniyah merujuk kepada ayat-ayat yang diturunkan selepas hijrah. Insya-Allah, kita akan melihat perbincangan dari ayat pertama hingga ayat yang kesembilan berdasarkan tafsiran yang dibuat oleh Imam Ibnu Kathir Rahimahullah.

Surah Maryam dimulai dengan huruf-huruf muqatta'ah seperti Kaf Ha Ya 'Ain Sad. Huruf-huruf ini merupakan salah satu keindahan Al-Quran yang tidak diketahui maksudnya secara jelas kecuali oleh Allah SWT. Para ulama memberikan pelbagai tafsiran, tetapi tiada riwayat sahih daripada Rasulullah SAW yang menjelaskan maknanya.

Ayat kedua dimulai dengan:
(Ini ialah) perihal limpahan rahmat Tuhanmu (wahai Muhammad), kepada hambaNya Zakaria.

(Ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi Zakaria berdoa kepada tuhannya dengan doa permohonan secara perlahan.

Allah SWT memulakan kisah tentang Nabi Zakaria a.s. Pada suatu hari baginda berdoa kepada Allah dengan suara yang perlahan dan lembut. Dalam usia 120 tahun, dengan isterinya yang berumur 80 tahun, Nabi Zakaria berharap untuk dikurniakan seorang anak. Beliau berdoa dengan penuh kelembutan dan keikhlasan;



Ia merayu dengan berkata: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya telah lemahlah tulang -tulangku, dan telah putih melepaklah uban kepalaku; dan aku - wahai Tuhanku - tidak pernah merasa hampa dengan doa permohonanku kepadaMu.


Zakaria a.s. berdoa kepada Allah SWT dengan suara yang perlahan dan lembut. Ini adalah salah satu adab berdoa yang diajarkan. Ada kalanya imam menguatkan suara ketika berdoa supaya makmum dapat mendengar, tetapi dalam kebanyakan keadaan, doa tidak perlu dikuatkan. Nabi s.a.w. pernah menegur seorang sahabat yang berdoa dengan suara yang terlalu kuat, kerana berdoa seharusnya dilakukan dengan perlahan dan penuh khusyuk. Dalam satu hadis, Nabi SAW bersabda; 

"Wahai sekalian manusia, rendahkanlah diri kalian karena kalian tidak menyeru kepada Dzat yang tuli dan juga bukan Dzat yang jauh. Dia selalu bersama kalian dan Dia Maha Mendengar lagi Mahadekat. Mahasuci nama-Nya dan Mahatinggi kebesaran-Nya"— HR. Bukhari no.2770


Walaupun umurnya sudah mencecah 120 tahun dan isterinya 80 tahun, Nabi Zakaria tetap memohon kepada Allah untuk dikurniakan seorang anak. Nabi Zakaria hidup pada zaman yang hampir dengan Nabi Isa a.s., sekitar 600 tahun sebelum zaman Nabi Muhammad s.a.w. Ketika itu, umur manusia semakin pendek berbanding zaman Nabi Adam a.s. atau Nabi Nuh a.s., yang mencapai usia hingga ribuan tahun. 


Perbuatan Nabi Zakaria a.s berdoa ini merupakan pelajaran bagi kita, apabila hendakkan sesuatu maka berdoalah kepada Allah dengan adab-adab berdoa yang benar. Walaupun Allah sudah mengetahui kehendak kita, tetapi sebagai adabnya dalam berdoa, kita perlu menceritakan, merintih, dan merayu kepada Allah akan hajat yang kita inginkan. 

Di dalam doa Nabi Zakaria juga terdapat doa;

"... tetapi aku tidak pernah kecewa dalam berdoa kepada-Mu, wahai Tuhanku"

Doa ini mengajarkan kita untuk sentiasa bersangka baik kepada Allah SWT walau dalam apa keadaan sekalipun. 


Nabi Zakaria menggambarkan kelemahannya, rambutnya yang sudah beruban tetapi keyakinannya kepada Allah tetap teguh. Walaupun usia dan keadaan fizikalnya tidak memungkinkan untuk mendapatkan zuriat, beliau tetap memohon dengan penuh harapan. Apabila Allah memakbulkan doa Nabi Zakaria, baginda sendiri merasa terkejut.


Tujuan Baginda berdoa memohon anak atau zuriat sebenarnya adalah kerana Baginda bimbang tentang keluarganya setelah ketiadaan Baginda. Kebimbangan Nabi Zakaria itu adalah berkaitan dengan akhirat, bukan soal harta atau keduniaan. Baginda memohon agar anaknya menjadi seorang Nabi yang akan meneruskan atau meewarisi tugas baginda dalam menyampaikan ajaran agama dan memberikan teguran kepada ahli keluarga serta kaumnya. Ia menjadi pelajaran  buat kita bahawa kebimbangan terhadap agama itu lebih penting. Ironinya masyarakat pada hari ini lebih bimbangkan keadaan anak cucu mereka di masa hadapan yang berkaitan dengan keduniaan seperti kenaikan harga barang dan sebagainya. 


Mengambil iktibar daripada kisah Khalifah Umar bin Abdul Aziz, beliau pernah berkata; Anak-anakku, hanya ada dua kemungkinan, sama ada mereka menjadi orang yang baik atau tidak baik. Jika mereka tidak baik, tiada faedah meninggalkan harta kepada yang tidak baik. Namun, jika mereka baik, sesungguhnya Allah akan menjaga orang yang baik. Sungguhpun begitu, terdapat juga hadis dari Nabi Muhammad SAW yang menggalakkan umatnya meninggalkan harta kepada ahli waris. Sebagaimana yang diriwayatkan oleh Sa'ad bin Abi Waqqas r.a., beliau berkata: 

"Aku berkata: 'Wahai Rasulullah, aku mempunyai harta yang banyak, dan tidak ada yang mewarisiku kecuali seorang anak perempuanku. Apakah aku boleh menyedekahkan dua pertiga dari hartaku?' Beliau bersabda: 'Jangan.' Aku bertanya: 'Setengahnya?' Beliau bersabda: 'Jangan.' Aku bertanya: 'Sepertiganya?' Beliau bersabda: 'Sepertiga, dan sepertiga itu sudah banyak. Sesungguhnya jika engkau meninggalkan ahli warismu dalam keadaan kaya, itu lebih baik daripada engkau meninggalkan mereka dalam keadaan miskin, meminta-minta kepada orang lain.'"— HR. Muslim no.1628


Perbuatan doa Nabi Zakaria a.s menunjukkan bahawa kita boleh meminta apa sahaja kepada Allah, kecuali perkara yang tidak logik. Namun jika perkara itu boleh dicapai tetapi sukar, maka dibolehkan berdoa. Kita juga digalakkan berdoa untuk apa-apa sahaja bentuk hajat keduniaan, lebih-lebih lagi hajat yang berkaitan dengan akhirat.


Doa Nabi Zakaria a.s menunjukkan bahawa baginda bukan hanya meminta anak, tetapi meminta anak yang soleh, yang mampu menjadi pewaris kepada perjuangan agama. Para nabi tidak meninggalkan harta, tetapi ilmu dan hikmah.


Kita juga harus berdoa supaya dikurniakan anak yang bukan sahaja membawa kebahagiaan dunia, tetapi juga menjadi bekalan akhirat. Jangan sekadar berdoa untuk kebaikan dunia sahaja, tetapi pohonlah kebaikan yang dapat membawa manfaat di dunia dan akhirat.

Gambar-Gambar
Nota
Gambar

0 Ulasan

Catat Ulasan

Post a Comment (0)

Terbaru Lebih lama