
Tarikh | Penceramah | Tajuk |
---|---|---|
26/01/2025 | Ustaz Hairulazam Abd Rahman | — |
Surah Maryam Ayat 22 - 26
Ayat 22
Lalu Maryam mengandungnya (Nabi Isa AS), kemudian dia mengasingkan diri
dengan kandungannya itu ke suatu tempat yang jauh.
Ayat 23
Maka, rasa sakit untuk bersalin memaksanya (bersandar) pada pangkal
sebatang pohon kurma. Dia berkata:
"Aduhai! Alangkah baiknya jika aku mati sebelum ini, dan aku menjadi
sesuatu yang tidak dikenang dan dilupakan."
Ayat 24
Maka, dia diseru oleh (malaikat) dari arah bawahnya:
"Janganlah engkau bersedih hati, sesungguhnya Tuhanmu telah menjadikan
di bawahmu sebatang anak sungai."
Ayat 25
"Dan goyangkanlah pangkal pohon kurma itu ke arahmu, nescaya ia akan
menggugurkan kepadamu buah kurma yang masak."
Ayat 26
"Maka, makanlah dan minumlah serta tenangkanlah hatimu. Sekiranya
engkau melihat seseorang, maka katakanlah: Sesungguhnya aku telah bernazar
berpuasa kerana (Allah) Yang Maha Pemurah, maka aku tidak akan bercakap dengan
sesiapa pun pada hari ini."
Sebelum Nabi Isa A.S. dilahirkan, Maryam diuji oleh Allah
S.W.T. dengan ujian besar. Dalam kisah ini, Allah S.W.T. memerintahkan Maryam
untuk melahirkan seorang anak tanpa seorang bapa, sebagai tanda kekuasaan-Nya.
Allah S.W.T. menyebutkan dalam al-Quran bahawa Maryam akan mengandung anak
tersebut, dan ia adalah ujian yang amat besar bagi
beliau.
Allah S.W.T. turut
menceritakan detik-detik Maryam mengandung dan bagaimana beliau memilih untuk
meninggalkan kampung halamannya serta mengasingkan diri daripada manusia.
Ketika itu, kebetulan isteri Nabi Zakaria A.S. juga sedang mengandung.
Pengalaman kelahiran Nabi Isa A.S. dan Nabi Yahya A.S. hampir serupa kerana
kedua-duanya merupakan anugerah luar biasa daripada Allah S.W.T. Isteri Nabi
Zakaria A.S. amat gembira kerana doanya telah dimakbulkan oleh Allah S.W.T.
Dalam al-Quran, Allah S.W.T. tidak menyebutkan secara spesifik lokasi tempat Maryam bersalin, tetapi menceritakan saat beliau berada dalam keadaan sakit hendak melahirkan anak. Ketika itu, beliau bersandar pada sebatang pohon kurma dan berkata, "Aduhai, alangkah baiknya jika aku mati sebelum ini dan aku menjadi sesuatu yang tidak bererti lagi dilupakan orang." Ini menggambarkan kesedihan dan kepayahan beliau dalam menjalani ujian berat tersebut. Kita juga diajar untuk berdoa dalam menghadapi ujian besar. Sebagai contoh, doa Nabi Zakaria A.S. yang berbunyi, "Ya Allah, hidupkanlah aku jika kehidupan ini baik untuk agamaku dan duniaku, dan matikanlah aku jika kematian itu lebih baik untuk agamaku dan duniaku." Doa ini mengajarkan kita untuk memohon kebaikan dalam hidup atau kematian dengan penuh tawakal kepada Allah S.W.T.
Dalam sejarah Islam,
kita dapat mengambil pengajaran daripada kisah para ulama seperti Imam Bukhari
Rahimahullah. Beliau merupakan tokoh hadis terkemuka yang menghadapi banyak
cabaran dan fitnah sepanjang hidupnya. Imam Bukhari pernah difitnah memiliki
fahaman ajaran sesat sehingga diusir dari tempat tinggalnya. Dalam perjalanan
pulang ke kampung halaman, beliau mendapati fitnah itu turut dipercayai oleh
penduduk di sana. Akhirnya, beliau berdoa kepada Allah, memohon agar diberikan
kematian jika itu lebih baik untuk dirinya. Doa beliau dimakbulkan, dan beliau
meninggal dunia dengan penuh ketenangan.
Kisah-kisah seperti
ini mengingatkan kita untuk sentiasa bersabar dan berdoa kepada Allah S.W.T.
dalam menghadapi ujian hidup. Kita juga diajar untuk mendoakan orang lain,
terutama mereka yang sedang sakit atau menghadapi ujian yang tidak tertanggung.
Manusia tidak pernah terlepas daripada ujian. Bukan kerana mereka tidak bijak, tetapi ujian adalah sebahagian daripada kehidupan. Sebagai manusia, adalah lumrah untuk berdepan dengan cabaran, lebih-lebih lagi bagi mereka yang melalui situasi luar biasa. Dalam rentang 25 hingga 70 tahun kehidupan, pelbagai dugaan hadir sebagai sebahagian daripada takdir.
Berbalik kepada Maryam, beliau berada dalam keadaan yang sangat sukar, bersendirian di bawah naungan sebatang pokok tamar. Malaikat Jibril menyerunya dari tempat rendah, menyampaikan pesan Allah: “Janganlah kamu bersedih hati, sesungguhnya Tuhanmu telah menjadikan aliran sungai di bawahmu.” Dengan izin Allah SWT, Maryam melahirkan Nabi Isa AS seorang diri.
Kisah ini membawa kita untuk merenung betapa besar pengorbanan wanita, terutamanya seorang ibu. Sebagai seorang suami, pengalaman melihat isteri melahirkan anak adalah sesuatu yang sangat menyentuh hati.
Pengorbanan wanita seperti Maryam perlu dihargai. Kita harus menghormati isteri dan ibu kita yang telah melalui pelbagai kesukaran demi keluarga. Dalam situasi Maryam, pertolongan Allah sentiasa hadir. Selepas melahirkan, Maryam diberi air untuk membersihkan tubuh dan anaknya. Ujian itu tidak datang tanpa penyelesaian, dan Allah sentiasa menyediakan jalan keluar bagi hamba-Nya.
Keajaiban dalam kisah ini jelas terbukti apabila Nabi Isa AS bercakap sejak masih dalam buaian, suatu mukjizat yang menunjukkan kekuasaan Allah SWT. Kisah ini mengajar kita untuk menghargai setiap anugerah kehidupan dan memahami kebesaran Allah melalui firman-Nya dalam Al-Quran.
Allah juga mengingatkan bahawa hidup memerlukan usaha. Maryam diminta menggoyangkan pokok tamar untuk mendapatkan buahnya, meskipun beliau dalam keadaan lemah selepas melahirkan. Ini menjadi pengajaran bahawa rezeki tidak akan datang tanpa usaha. Kita harus berusaha dan bertawakal, kerana setiap usaha yang disertai doa akan membawa hasil yang baik.
Kisah Maryam juga memperlihatkan kebergantungan total seorang hamba kepada Allah SWT. Walaupun diuji dengan cabaran yang besar, Maryam tetap tenang dan berserah kepada Allah. Begitulah juga kita, dalam setiap ujian yang dihadapi, perlu yakin bahawa Allah akan membantu.
Pengajaran lain dari kisah ini adalah menghormati wanita, terutama ibu dan isteri, yang sering melalui cabaran yang tidak terbayangkan. Kadangkala, tekanan dan beban kerja membuatkan mereka berbicara lebih banyak, namun Rasulullah SAW mengajar kita untuk bersikap sabar, bercakap dengan baik, dan penuh hikmah. Jika tiada perkara baik untuk diucapkan, lebih baik kita diam. Maka, kita perlu menjaga percakapan. Kata-kata yang tidak dijaga boleh membawa keburukan. Nabi SAW pernah bersabda bahawa bercakap perkara yang baik adalah sebahagian daripada adab yang mulia.
Keimanan dan Kebergantungan Kepada Allah S.W.T.
Maryam menghadapi ujian yang sangat besar dengan penuh kesabaran dan
kebergantungan kepada Allah. Uujian adalah sebahagian daripada kehidupan.
Walaupun berat, ia mendidik kita untuk bersabar dan tetap berdoa kepada Allah.
Doa dan Tawakal
Doa Maryam dan Nabi Zakaria A.S. menjadi bukti bahawa kita perlu memohon
pertolongan Allah dalam setiap keadaan, baik ketika menghadapi ujian atau
memohon kebaikan dalam hidup.
Keajaiban Rezeki Dari Allah
Maryam diarahkan untuk menggoyangkan pohon kurma meskipun beliau dalam keadaan
lemah. Ini mengajar bahawa usaha perlu disertai tawakal kepada Allah, kerana
rezeki tidak datang tanpa usaha. Ini juga menunjukkan pentingnya bekerja keras dan tidak hanya bergantung kepada doa.
Keutamaan Menghormati Wanita dan Ibu
Kisah Maryam mengingatkan kita untuk menghormati wanita, terutamanya ibu,
kerana mereka melalui pengorbanan besar dalam hidup, termasuk dalam melahirkan
dan membesarkan anak.
Pertolongan Allah Tidak Pernah Lewat
Ketika Maryam merasa sedih dan bersendirian, Allah memberikan air dan makanan
sebagai pertolongan. Ini mengingatkan bahawa Allah tidak akan meninggalkan
hamba-Nya dalam kesulitan.

























Catat Ulasan