Kuliah Maghrib 28 September 2025, Dr. Haji Abdullah Ismail

Tarikh Penceramah Tajuk
28/09/2025 Dr. Haji Abdullah Ismail

Nota Kuliah

Dikatakan bahawa kerajaan-kerajaan Melayu yang bermula sekitar tahun 1400 berkembang sebagai pusat perdagangan yang sangat berpengaruh. Kegemilangan ini berlangsung sehingga tahun 1511 apabila Melaka ditawan. Pada masa itu, pusat perdagangan ini telah berasaskan Islam dan dihubungkan dengan pelbagai negara Islam lain termasuklah hingga ke Istanbul. Namun, kejatuhan Melaka pada tahun 1511 membuka laluan kepada kuasa penjajah Barat yang membawa agenda kolonial masing-masing.


Melaka serta sebahagian tanah air kita ditawan Portugis dari tahun 1511 hingga 1641, iaitu lebih 130 tahun. Apabila Portugis berundur, tanah air ini tidak merdeka, sebaliknya diserahkan pula kepada Belanda dari tahun 1641 hingga 1824 (183 tahun). Selepas itu, kuasa British mengambil alih dari tahun 1824 hingga 1941 (117 tahun). Kemudian, Jepun menakluk Tanah Melayu dari tahun 1941 hingga 1945 (4 tahun), sebelum British kembali semula selama 12 tahun sehingga kita mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.


Kesimpulannya, tanah air kita telah dijajah selama lebih kurang 450 tahun. Ia bukan satu tempoh yang singkat, sebaliknya meninggalkan sejarah pahit dengan kesan yang mendalam kepada bangsa kita dan generasi akan datang.


Orang Barat pada asalnya datang dengan alasan mencari rempah. Namun, hakikatnya mereka bukan sahaja mengejar hasil bumi, tetapi juga berhasrat untuk menawan negeri-negeri yang berpotensi, seterusnya mengaut keuntungan daripada tanah yang subur, emas, bijih besi dan bijih timah. Selama 450 tahun lebih, hasil bumi kita dikaut sehingga menjadikan negara-negara Barat begitu kaya raya.


Selain itu, mereka datang dengan misi kristianisasi untuk melemahkan pegangan umat Islam dan merosakkan anak bangsa. Dalam tempoh panjang penjajahan itu, mereka melaksanakan pelbagai dasar termasuk dasar "pecah dan perintah". Orang Melayu ditempatkan di kampung-kampung, orang Cina di bandar untuk menguasai perdagangan dan perlombongan, manakala orang India pula ditempatkan di estet.


Keadaan ini mewujudkan jurang ekonomi dan jurang kaum yang besar, sehingga menimbulkan pertelingkahan antara sesama rakyat. Sedangkan itulah strategi penjajah: mewujudkan perbalahan agar kita lupa tujuan asal mereka iaitu untuk merosakkan tanah air kita.


Alhamdulillah, akhirnya Malaysia mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 sehingga ke hari ini. Berapa lamakah tempoh itu? Jika dihitung, negara kita baru sahaja 68 tahun merdeka. Tempoh ini masih singkat jika dibandingkan dengan 450 tahun kita dijajah.


Sudah tiba masanya kita muhasabah dan merenung semula tentang nilai serta peri pentingnya untuk sentiasa mensyukuri nikmat kemerdekaan yang telah dikecapi negara ini. Kesyukuran ini tidak boleh dibiarkan hanya menjadi bisikan hati, tetapi mesti dizahirkan melalui pengakuan lisan dan amalan hidup. Justeru, marilah kita lafazkan puji-pujian kita kepada Allah s.w.t. dengan ucapan Alhamdulillah sebagai manifestasi penghargaan tertinggi terhadap kurniaan keamanan dan kemakmuran ini.


Negara yang tidak merdeka menanggung beban yang amat berat. Lihatlah keadaan saudara-saudara kita di bumi Gaza. Mereka sukar mendapat makanan, pendidikan terhalang, apatah lagi untuk membina negara sendiri. Hospital musnah, anak-anak sudah tiga tahun tidak bersekolah. Bayangkan generasi mereka lima hingga enam tahun akan datang – inilah kesan kehilangan nikmat kemerdekaan.


Kita, sebaliknya, telah diberikan nikmat kemerdekaan. Maka bukan sahaja wajar, malah wajib bagi kita mensyukuri anugerah ini. Syukur itu bukan sekadar ucapan, tetapi juga azam untuk membina negara agar terus makmur, maju, stabil dari segi ekonomi dan politik, serta menjadi negara yang kuat. Dengan kekuatan itu, kita dapat membantu negara-negara lain, khususnya negara Islam yang masih lemah.


Firman Allah SWT dalam Surah Al-Hujurat, ayat 13:

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, dan Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling berkenalan.”


Bangsa dan kaum yang wujud adalah ciptaan Allah SWT. Tidak ada sesiapa yang meminta untuk dilahirkan sebagai Melayu, Cina atau India. Allah yang menciptakan kepelbagaian bangsa dan bahasa di muka bumi ini supaya kita saling mengenali dan beramah mesra antara satu sama lain.


Inilah arahan Allah. Justeru, kita wajib membuang semangat perbalahan antara kaum yang merupakan warisan penjajah dahulu. Sebaliknya, kita perlu mencari jalan untuk saling mengenali, memahami dan bekerjasama. Dengan itu, insya-Allah, kita dapat membawa kebaikan bukan sahaja kepada negara kita, bahkan juga kepada masyarakat lain di seluruh dunia.


Sebagai perkongsian, kisah seorang aktivis pendakwah Orang Asli dari Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan ini merumuskan bahawa pendekatan berkesan dalam dakwah memerlukan pemahaman mendalam tentang adat dan budaya tempatan.


Pada permulaannya, usaha dakwah menghadapi kegagalan dan penolakan (malah menimbulkan kemarahan) kerana strategi awal mungkin secara tidak sengaja telah melanggar adat-adat tertentu komuniti Orang Asli.


Walau bagaimanapun, kejayaan dicapai apabila pasukan baharu mengubah strategi dengan tidak terus berdakwah. Sebaliknya, mereka memilih pendekatan memahami gaya hidup, suka, dan duka komuniti tersebut, meluangkan masa untuk duduk bersama, bergaul, dan berinteraksi.


Pendekatan membina hubungan erat ini (konsep litaarafu atau saling kenal-mengenali) telah menghasilkan penerimaan yang mudah. Hasilnya, selepas diterima dan berinteraksi dengan baik, ramai daripada ahli komuniti tersebut secara berbondong-bondong memeluk Islam dengan mengucap syahadah.


Pengajaran utamanya ialah kejayaan dakwah bergantung kepada pembinaan hubungan dan pemahaman budaya sebelum menyampaikan mesej agama.


Dengan nikmat kemerdekaan yang kita kecapi ini, marilah kita terus memelihara keamanan negara agar generasi kini dan generasi akan datang dapat merasai manfaat dan keberkatan daripada kemerdekaan tersebut.




Seterusnya, sempena bulan Rabiulawal yang lalu, kita membicarakan tentang insan agung junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Ada banyak sisi pandang dalam memperingati kelahiran baginda.


Ada kuliah yang menekankan tentang sunnah Nabi: bagaimana cara baginda makan, berpakaian, dan solat. Semua itu adalah amalan yang wajar kita ikuti. Ada pula kuliah yang membicarakan tentang sirah Nabi: kelahiran, ibu bapa, para sahabat hingga kepada saat kewafatan baginda. Semua itu baik dan patut kita pelajari supaya kita mengenali Nabi dari awal hingga akhir.


Namun, terdapat beberapa sisi pandang lain yang perlu juga diketengahkan iaitu dengan kita menyenaraikan jasa-jasa besar Nabi SAW yang ditinggalkan kepada umatnya. Jasa baginda terlalu banyak, hingga tidak mampu disenaraikan satu persatu. Malah, Allah SWT menegaskan dalam firman-Nya: Maksudnya: 

“Tidaklah Kami mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan sebagai rahmat untuk seluruh alam.” (Surah Al-Anbiya’, ayat 107)


Jika tidak kerana Nabi, kita tidak tahu batas-batas dalam kehidupan. Kita mungkin berpakaian tanpa panduan, makan tanpa tahu halal atau haram, atau berkahwin tanpa aturan yang sah. Kehidupan manusia akan terumbang-ambing tanpa pedoman. Nabi SAW datang membawa rahmat, memberi panduan, menunjukkan garis pemisah antara halal dan haram, antara dosa dan pahala, antara syurga dan neraka.


Contohnya, percakapan kita. Ada perkataan yang mendatangkan dosa, dan ada perkataan yang mendatangkan pahala. Begitu juga dengan perbuatan seharian — ada yang mendatangkan kebaikan, ada pula yang membawa keburukan. Semua panduan ini kita peroleh melalui ajaran Nabi SAW yang menyampaikan wahyu Allah secara beransur-ansur.


Secara umum, jasa Nabi amat luas. Namun menyorot enam jasa besar Nabi yang sangat khusus, yang tidak diberikan kepada umat lain, melainkan hanya kepada umat Nabi Muhammad SAW.




Jasa pertama:
Umat Nabi Muhammad SAW mendapat ganjaran pahala yang berlipat ganda atas amalan yang sedikit. Satu amalan yang dilakukan boleh menghasilkan pahala berganda-ganda.


Analogi mudah: seperti kita membeli air di sebuah kedai. Harga air itu mungkin hanya RM1, tetapi apabila membeli, kita diberikan tambahan hadiah berupa 10 barangan lain secara percuma. Begitulah ibaratnya ganjaran ibadah umat Nabi Muhammad SAW. Amalan yang kecil, tetapi pahalanya besar dan berlipat kali ganda.


Untuk lebih memahami, marilah kita ambil beberapa contoh.


Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda bahawa solat berjemaah lebih utama daripada solat bersendirian sebanyak 27 darjat (riwayat al-Bukhari dan Muslim). Maknanya, apabila kita menunaikan solat berjemaah, seolah-olah pahala yang diperoleh sama seperti menunaikan solat sebanyak 27 kali.


Bayangkan, sekiranya sepanjang sebulan kita tidak pernah meninggalkan solat berjemaah di masjid, maka ganjarannya seolah-olah kita telah menunaikan solat berjemaah selama setahun empat bulan. Besarnya kelebihan itu.


Masjid ini mula beroperasi pada tahun 2010, dan kini sudah berusia 15 tahun (2025). Saya yakin ada antara jemaah yang sejak awal pembukaan masjid hingga ke hari ini tidak pernah meninggalkan solat berjemaah. Ulang-alik ke masjid setiap hari.


Jika dihitung, 15 tahun solat berjemaah itu bersamaan dengan ganjaran hampir 400 tahun di sisi Allah SWT (15 tahun × 27 kali ganda). Inilah kelebihan dan nikmat besar yang dianugerahkan hanya kepada umat Nabi Muhammad SAW.


Contoh kedua:
Diriwayatkan daripada Aisyah RA, Nabi SAW bersabda:
“Dua rakaat solat sunat fajar (sebelum Subuh) lebih baik daripada dunia dan seluruh isinya.”

Bayangkan, hanya dengan dua rakaat solat sunat sebelum Subuh, pahala yang diperoleh lebih besar daripada nilai dunia dan segala isinya. Betapa besar ganjaran ini untuk umat Nabi Muhammad SAW.


Contoh ketiga:
Diriwayatkan daripada Uthman bin Affan RA, Nabi SAW bersabda:
“Sesiapa yang menunaikan solat Isyak secara berjemaah, seolah-olah dia telah mendirikan separuh daripada malam. Dan sesiapa yang menunaikan solat Subuh secara berjemaah, seolah-olah dia telah mendirikan solat sepanjang malam.” (Riwayat Muslim, al-Tirmizi dan Ahmad)

Cuba bayangkan, hanya dengan menunaikan solat Isyak dan Subuh secara berjemaah, pahala yang diperoleh menyamai ibadah sepanjang malam.


Inilah keuntungan menjadi umat Nabi Muhammad SAW. Walaupun umur kita pendek, antara 60 hingga 70 tahun sebagaimana disebut dalam hadis sahih, namun nilai amalan yang diberikan Allah SWT jauh lebih besar daripada umat terdahulu yang hidup sehingga ratusan tahun lamanya.


Sekiranya seseorang baru benar-benar sedar dan istiqamah ke masjid pada usia 50 tahun, kemudian meninggal dunia pada usia 55 tahun, itu hanyalah lima tahun beramal. Namun, dengan rahmat Allah dan keistimewaan yang dianugerahkan kepada umat Nabi Muhammad SAW, amalan yang sedikit itu dilipatgandakan sehingga menyamai umur ibadah yang jauh lebih panjang.


Siapakah di antara kita hari ini, sejak Subuh tadi hingga Maghrib ini, sudah tamat membaca 37 surah al-Quran? Pasti tiada.

Namun sebenarnya, kita semua berpeluang memperoleh pahala yang besar. Nabi SAW bersabda, sesiapa yang membaca Surah al-Ikhlas:

Bismillahirrahmanirrahim. Qul huwa Allahu ahad. Allahus-samad. Lam yalid wa lam yulad. Wa lam yakullahu kufuwan ahad.

 

Maka ganjarannya seolah-olah membaca sepertiga daripada al-Quran. Jika seseorang membaca Surah al-Ikhlas sebanyak tiga kali, seolah-olah dia telah menamatkan bacaan 30 juzuk al-Quran.


Alangkah besar keuntungannya bagi umat Nabi Muhammad SAW. Sebab itu ulama menyarankan kita melazimi bacaan Surah al-Ikhlas, pagi dan petang. Dengan membacanya tiga kali, seolah-olah kita telah khatam al-Quran 30 juzuk pada waktu pagi, dan sekali lagi 30 juzuk pada waktu petang.


Contoh berikutnya, dari Umar al-Khattab RA, Nabi SAW bersabda:

"Tidaklah seseorang mengambil wuduk lalu menyempurnakannya dengan baik, kemudian membaca doa selepasnya, melainkan akan dibukakan baginya lapan pintu syurga, dan dia boleh memilih untuk masuk dari mana-mana pintu yang dia suka." (Riwayat Muslim, al-Tirmizi dan al-Nasa’i)

Syurga itu sesuatu yang mahal, yang dibayar dengan pengorbanan besar – darah dan air mata para sahabat. Ada sahabat yang meminta izin untuk berpuasa sepanjang masa, tidak mahu berkahwin, hanya mahu beribadah semata-mata. Namun Nabi SAW melarang mereka. Baginda bersabda: “Aku Nabi, namun aku tetap berpuasa dan berbuka. Aku solat, tetapi aku juga menunaikan hak isteriku. Aku tetap berkahwin.”


Sahabat berbuat demikian kerana mereka tahu syurga itu sangat mahal. Tetapi untuk umat Nabi Muhammad SAW, Allah SWT mempermudahkan jalan ke syurga dengan amal yang mudah, seperti wuduk yang sempurna dan doa selepasnya, lalu dibukakan lapan pintu syurga.


Contoh berikutnya ialah puasa. Nabi SAW bersabda:
"Sesiapa yang berpuasa penuh di bulan Ramadan, kemudian diikuti dengan enam hari dalam bulan Syawal, maka pahalanya seolah-olah dia berpuasa sepanjang tahun."

Maka dengan rahmat Allah SWT kepada umat Nabi Muhammad SAW, amalan yang sedikit diberikan ganjaran yang sangat besar.


Marilah kita merenung, betapa sayangnya Nabi SAW terhadap umatnya. Baginda tahu kita ini banyak kelalaian, umur kita pendek, mudah berubah, dan tidak istiqamah. Lalu Nabi SAW berdoa kepada Allah SWT agar amalan umatnya walaupun sedikit, tetap diberikan ganjaran pahala yang besar.




Jasa Kedua
Amalan yang dilakukan di dunia bukan sahaja diberi pahala semasa hidup, bahkan pahalanya masih terus mengalir selepas seseorang itu meninggal dunia.


Nabi SAW bersabda:

“Apabila mati anak Adam, maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan, dan doa anak yang soleh untuknya.” (Riwayat Muslim)

 

Hadis ini ringkas menyebut tiga perkara, tetapi implikasinya sangat besar.


Pertama: Sedekah jariah.
Orang yang rajin bersedekah, berinfaq, dan berwakaf semasa hidupnya, pahala itu tetap mengalir setelah dia meninggal dunia. Sebagai contoh, Sayidina Uthman RA pernah membeli sebidang tanah untuk diwakafkan bagi kegunaan Masjid Nabi SAW. Nilai tanah itu dianggarkan lebih RM20,000 pada ketika itu. Bayangkan, sejak lebih 1,500 tahun lalu hingga hari ini, manusia masih tidak berhenti menjejakkan kaki ke Masjid Nabawi. Pahala wakaf itu terus mengalir kepadanya. Begitu juga, ada orang yang bersama-sama membangunkan masjid ini pada tahun 2010. Walaupun ada antara mereka sudah meninggal dunia lebih 10 tahun, pahala amal jariah mereka tetap mengalir tanpa henti.

Kedua: Ilmu yang bermanfaat.
Ilmu yang diajarkan dan dimanfaatkan oleh orang lain juga menjadi amal jariah. Guru yang mengajar anak-anak membaca al-Quran, mendidik solat, atau memberi ilmu agama dan kemahiran – apabila murid-murid itu mengamalkan ilmu tersebut, pahala tetap mengalir kepada guru, walaupun guru itu telah lama meninggal dunia.

Ketiga: Doa anak yang soleh.
Doa anak yang soleh adalah bekalan paling berharga bagi ibu bapa setelah mereka meninggal dunia. Kita sebagai anak mungkin tidak banyak jasa, tetapi doa kita selepas solat mampu menjadi sumber pahala berterusan untuk mereka di alam kubur. Begitu juga kita sebagai ibu bapa, perlu mengajar anak-anak dari sekarang agar mereka sentiasa mendoakan kita apabila kita telah tiada.

Di zaman ini, anak-anak sibuk dengan dunia media sosial – TikTok, Facebook, hiburan yang melalaikan. Maka kita perlu berpesan: “Anakku, ayah dan ibu pasti akan mati suatu hari nanti. Jangan lupa, setiap kali selepas solat, doakanlah kami.” Jika pesan ini ditanam sejak awal, insya-Allah anak-anak akan melakukannya, dan doa itu akan menjadi pahala yang berterusan buat kita.


Inilah jasa Nabi SAW yang kedua kepada umatnya – pahala yang tidak terhenti walaupun setelah kita meninggal dunia.




Jasa yang ketiga ialah amalan yang sangat menguntungkan. Mengapa? Kerana satu amalan memberikan dua manfaat: pertama mendapat pahala, dan kedua dihapuskan dosa. Alangkah beruntungnya umat Nabi Muhammad SAW kerana amalan yang ringan diberi ganjaran berlipat kali ganda.




Jasa yang keempat, doa Nabi SAW. Doa baginda mustajab dan tidak pernah ditolak oleh Allah SWT. Baginda bukan sahaja berdoa untuk dirinya, tetapi juga memperuntukkan doa mustajab khusus untuk umatnya. Maka kita sebagai umat perlu yakin bahawa doa itu menjadi penyelamat kepada kita, sesuai dengan firman Allah SWT: “Berdoalah kepada-Ku, nescaya Aku perkenankan doa kamu.”




Jasa yang kelima ialah syafaat Nabi SAW. Apabila kita meninggal dunia dan dibangkitkan di Padang Mahsyar, mungkin ada antara kita yang tidak bernasib baik, lalu dicampakkan ke dalam neraka. Pada saat itu, Nabi Muhammad SAW akan datang memberikan syafaat. Syafaat ini adalah hak baginda, tidak diberi kepada nabi-nabi lain. Inilah salah satu bukti kasih sayang Nabi kepada umatnya.




jasa yang keenam, Nabi SAW meninggalkan kepada kita mukjizat yang agung, iaitu al-Quran. Mukjizat ini kekal sehingga hari kiamat. Melihat al-Quran sudah mendapat pahala, membaca al-Quran diberi pahala, mentadabbur isi kandungannya lebih besar pahalanya, dan beramal dengan ajarannya lebih besar lagi ganjarannya di sisi Allah SWT.




Inilah enam jasa besar Nabi Muhammad SAW yang sangat istimewa untuk umatnya:


Maka, sebagai tanda syukur kerana dikurniakan Nabi yang begitu kasih kepada umatnya, marilah kita memperbanyakkan selawat ke atas baginda setiap hari. Mudah-mudahan dengan banyaknya selawat itu, kita akan layak berada di sisi Nabi SAW di akhirat kelak.


Gambar-Gambar
Nota
Gambar

0 Ulasan

Catat Ulasan

Post a Comment (0)

Terbaru Lebih lama